PAGE

Ahad, Mei 10, 2009

Kaunselor Anda : Suami buntu isteri mahu cerai


SOALAN :

Puan, masalah saya ringkas tetapi saya gagal menyelesaikannya hingga kini. Isteri saya ingin berpisah dan membuat tuntutan perceraian di pejabat peguam. Namun, saya tidak mahu berpisah kerana masih sayangkan dia dan anak-anak. Isteri tidak mahu berjumpa kaunselor dan dia nekad untuk berpisah. Puan, bagaimana untuk saya menghalang perpisahan ini dari berlaku?
SUAMI SEDIH


JAWAPAN :

Persoalan yang anda kemukakan sangat ringkas tapi menyimpan sejuta persoalan yang menyulitkan untuk dijawab. Mengapa saya kata sulit, kerana tiada cerita yang mendorong mengapa isteri anda mahu bercerai.

Pada kebiasaannya isteri tidak akan bertindak selagi hatinya tidak luka dan jiwanya masih merasa nikmatnya bahagia bersama suami. Apatah lagi sudah mempunyai anak. Untuk pengetahuan anda, dari segi psikologinya kebanyakan wanita paling sukar untuk berubah hati selepas melalui gerbang rumahtangga dan mempunyai anak dibandingkan dengan lelaki. Kecualilah dia ia berasakan suami tidak lagi menjadi pelindung, pembimbing dan pemberi kasih sayang jasmani dan rohani.

Faktor kedua, isteri merasa dirinya tidak diberi nafkah dari segi material dan dari segi moral secara berterusan. Bila perbelanjaan keluarga ditanggung oleh isteri maka akan mudah timbul bosan dan merasa dihina dan tidak diperlakukan sebagai isteri secara sewajarnya.

Ketiga, isteri akan minta cerai bila dia mengetahui atau ‘tercium’ perbuatan suami bermain kayu tiga dan tidak jujur dengan isteri dan anak-anak dan suami gagal memberi penjelasan secara jujur. Apatah lagi bila suami sentiasa bersikap kasar bila bersama isteri dan anak-anak dari segi perkataan, perlakuan dan tindak tanduk. Selain itu isteri akan minta cerai bila suami gagal memberi nafkah yang cukup dari segi batin dan tidak berusaha membaikinya.

Isteri juga tidak sanggup jadi isteri bila tidak dihormati kemahuan yang harapan sehingga dia merasa sangat tertekan bila menjawat jawatan seorang isteri. Apa lagi bila suami terlalu mengongkong isteri sehingga dia terasa berada di dalam penjara. Isteri juga akan sanggup bercerai bila dia merasa suami tidak mampu memberi keyakinan dan harapan akan bertemu bahagia dalam perjalanan hidup bersama melalui perancangan bersama yang ditunjukkan melalui usaha oleh suami. Isteri juga boleh terdorong untuk bercerai bila dia melihat suami tidak pernah hidup mengamalkan ajaran agama dengan bersungguh-sungguh dan tidak membawa dan membimbing keluarga ke arah gaya hidup beragama.

Dakwaan yang mengatakan isteri tidak mahu berjumpa kaunselor, berkemungkinan disebabkan dia tidak yakin kaunselor dipilih suami akan berlaku adil. Maka nasihat saya bawa dia berjumpa kaunselor yang boleh memahami seorang wanita. Bawa dia berjumpa dengan kaunselor wanita agar dia berkeyakinan wanita lebih memahami gaya berfikir wanita. Akhir sekali isteri sanggup menuntut cerai sebab dia berasa hidupnya kosong bersama suami yang pendiam, tidak pandai melayan kerenah isteri di tempat tidur dan tidak pandai merancang untuk masa depan keluarga, tidak tahu memberi idea dan lebih sanggup jadi pak turut dalam membuat keputusan,. Suami juga mungkin renggang dengan keluarga dan tidak pandai menyatakan kasih sayang dalam penampilan harian. Suami juga mungkin tidak mahu membaiki diri mencari ilmu dan kemahiran tambahan hanya sekadar meneruskan apa yang ada dan tidak boleh memimpin menurut perintah agama serta jauh dari Tuhan.

Jika anda mahukan isteri kembali baiki diri dari kelemahan yang dinyatakan. Andainya sudah dibaiki maka sedarlah apa yang berlaku memang menjadi penyebab untuk anda berpisah kerana jodoh hanya setakat itu saja. Kembalikan semua perkara kepada Allah dan mohon agar Allah memberikan yang terbaik bagi anda dan keluarga. Terimalah ketentuan Allah kerana Allah lebih tahu apa yang ada bagi kita. Yakinlah janji Allah pasti dan yang baik pasti dibalas baik kerana Allah tidak pernah tidak adil. Yakinlah itu.

Sumber : Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi) di BHarian 2009/05/10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...