PAGE

Selasa, Mei 26, 2009

Sahih Bukhari paling sahih selepas al-Quran

Mohd. Adanan Isman menyampaikan buku Meneladani Rasulullah SAW melalui Amalan Sehari Semalam kepada Dr. Halimah Ali pada seminar ' Tokoh Hadis Imam al-Bukhari'. Turut memerhati ialah Mohd. Farid Ravi.

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Apabila membicarakan tentang hadis, tokoh paling utama yang selalu menjadi rujukan umat Islam adalah Imam al-Bukhari. Beliau terkenal sebagai perawi hadis-hadis sahih yang kemudiannya dikumpul dalam kitabnya, Sahih Bukhari.

Biarpun kita selalu mendengar dan menyebut nama tokoh ini, sebahagian besar umat Islam masih belum mengenali secara terperinci siapakah individu yang telah memberi sumbangan yang amat besar dalam dunia Islam. Sehinggakan manfaatnya dapat kita nikmati sehingga sekarang.

Hadis adalah perkara yang berkisar tentang sunah Rasul SAW dan apa yang disandarkan kepada baginda dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau sunah Rasul SAW adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran.

Menyedari hakikat itu, Institut Kajian Hadis Selangor (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menganjurkan seminar 'Tokoh Hadis Al-Imam Al-Bukhari'.

Seminar sehari yang bertemakan Meniti Kegemilangan Ummah Generasi al-Hadis itu diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, 16 Mei lalu.

Seminar yang membentangkan enam kertas kerja itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali. Turut hadir ialah Rektor KUIS, Datuk Mohd. Adanan Isman.

Turut diadakan ialah pelancaran buku Meneladani Rasulullah SAW melalui Amalan Sehari Semalam terbitan Inhad, KUIS,

Dalam ucaptama seminar, pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Udah Mohsin menegaskan kewajipan berpegang kepada hadis sebagai sumber syariah.

Katanya, ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud, Apa juga yang dibawakan kepada kamu oleh Rasul maka hendaklah kamu mengambilnya dan apa juga yang Rasul menegah kamu hendaklah kamu menjauhinya...(al-Hasyr: 7)

Menurut beliau, oleh kerana berpegang dengan hadis sebagai sumber syariah adalah perintah Allah melalui al-Quran maka mengingkari hadis juga bermaksud mengingkari al-Quran.

"Mengingkari al-Quran adalah menjadi kafir. Oleh itu mengingkari hadis sebagai sumber syariah juga kafir," jelasnya.

Kata Dr. Udah, kitab susunan Imam Bukhari iaitu Sahih Bukhari atau judul asalnya al-Jami' al-Musnad al-Sahih Min Hadith Rasulillah SAW wa Sunanih Wa Ayyamih adalah paling sahih selepas al-Quran.

Ia disusun selepas beliau benar-benar mahir dan pakar dalam bidang hadis sehingga digelar 'orang mukmin dalam hadis'.

Menurut beliau, apa yang dilakukan oleh Imam Bukhari adalah mengumpulkan hadis-hadis yang dipelajari daripada guru-gurunya sehingga sampai kepada Rasulullah SAW.

"Beliau mengambil masa yang agak lama menyiapkan kitab ini. Sebanyak 600,000 hadis yang dikumpulkannya.

"Setiap hadis yang dimasukkan ke dalam Sahihnya telah diyakini sahihnya dan Imam Bukhari terlebih dahulu beristikharah dengan solat dua rakaat," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Inhad, Mohd. Farid Ravi Abdullah berkata, disebutkan bahawa Imam Bukhari bangun 21 kali pada waktu malam untuk menulis hadis.

Imam Bukhari juga terkenal dengan insan yang sangat bertimbangrasa di mana beliau tidak mengejutkan jurutulisnya ketika bangun mentakhrij hadis pada waktu tengah malam.

Terpelihara

"Beliau juga tidak membiasakan diri meminta-minta daripada orang dan berhati-hati dengan setiap tutur kata agar terpelihara daripada melakukan dosa," katanya dalam kertas kerja bertajuk 'Imam al-Bukhari: Suatu Biografi Ringkas'.

Sesungguhnya Sahih Bukhari adalah peninggalan yang amat bernilai dan memberi sumbangan yang amat besar kepada umat Islam seluruh dunia.

Kitab ini menjadi rujukan utama kepada seluruh umat Islam selepas Imam al-Bukhari untuk mengetahui hadis Rasulullah SAW yang benar-benar sabit daripada baginda.

Sumber : Utusan 26/05/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...