PAGE

Sabtu, Mei 09, 2009

Sentiasa menjaga iman



Satu hari, Imam al-Ghazali bertanya kepada anak-anak muridnya, “Pertama, apakah yang paling dekat dengan kita di dunia ini?” Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “MATI”. Kerana itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati, seperti firman-Nya yang bermaksud, “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah ali-‘Imran, ayat 185)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan kedua, “Apa yang paling jauh daripada diri kita di dunia ini?” Murid-muridnya ada yang menjawab negara, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling benar adalah “MASA LALU”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, kita tetap tidak akan mampu kembali ke amsa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama kita.

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan ketiga, “Apa yang paling besar di dunia ini?” Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam Ghazali. Tetapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “NAFSU”. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf, ayat 179)

Maka kita harus menjaga hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat Imam Ghazali adalah, “Apakah yang paling berat di dunia ini?” Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan tersebut hampir benar, kata Imam Ghazali, tetapi yang paling berat adalah “MEMEGANG AMANAH”, seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh...” (Surah Al-Ahzab, ayat 72)

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu memikul tanggungjawab setelah Allah meminta mereka untuk menjadi khalifah di dunia ini, tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak daripada manusia masuk ke neraka kerana mereka tidak mampu memegang amanah mereka.

Pertanyaan kelima yang ditanya oleh Imam al-Ghazali adalah, “Apakah yang paling ringan di dunia ini?” Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar, kata Imam Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah “MENINGGALKAN SOLAT”. Disebabkan kesibukkan dalam menjalankan tugas atau pekerjaan mahupun menghadiri mesyuarat dan sebagainya, kita tinggalkan solat.

Kemudian pertanyaan yang keenam dan terakhir ditanya oleh Imam al-Ghazali adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?” Murid-muridnya menjawab denga serentak, pedang... Benar, kata Imam Ghazali, tetapi yang paling tajam adalah “LIDAH MANUSIA”. Kerana melalui lidah, manusia boleh menyakiti hati dan melukai perasaan saudara sendiri.

Islam pada nama atau Islam keturunan

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud, “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku telah redha untuk menjadikan Islam itu sebagai agama kamu.” (ayat terakhir yang diturunkan, surah al-Maa'idah sebahagian daripada ayat 3).

Saidina Abu Bakar r.a. menangis apabila mendengar ayat ini. Beliau faham tentang ayat ini diturunkan di mana Rasulullah SAW akan meninggalkan mereka kerana telah cukup segala ajaran yang disampaikan kepada seluruh manusia. Selang beberapa bulan kemudian, Rasulullah SAW wafat dan meninggalkan kepada manusia dua perkara, iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Sekarang ini, ramai yang mengaku Islam, tetapi hanya sekadar pada nama atau Islam keturunan dan tidak mahu memahami apa itu Islam yang sebenarnya. Sepatutnya kita perlu memahami ajaran Islam kerana Islam adalah agama yang sejahtera (selamat, bahagia, sejahtera). Nescaya apabila kita menganut agama Islam engan hati yang tulus ikhlas, kita akan mendapat kesejahteraan, ketenangan dan keamanan. Sepatutnya kita berbangga dengan agama Islam yang kita anuti.

Sebenarnya orang yang merasakan dirinya dapat menghiburkan orang lain sebenarnya dirinya tidak terhibur. Inilah apa yang terjadi kepada penyanyi-penyanyi popular. Kita sepatutnya merenung diri kita, adalah kita telah menghayati ajaran Islam seperti yang sepatutnya? Kalau manusia tidak mengenal Islam pada sudut yang sebenarnya, perkara-perkara buruk mustahil boleh berlaku. Oleh itu, kita perlu sentiasa belajar agama dan mengenal cara yang betul. Saidina Umar r.a. pernah berkata, “Sesungguhnya ajaran Islam akan terungkai sedikit demi sedikit bila ada individu tidak mengenal ajaran dan perbuatan Islam dan mengamalkan hidup Jahiliyah.”

Berteras pada akidah

Oleh itu, kita perlulah mengikis segala sifat-sifat Jahiliyah yang ditinggalkan dan meninggalkan dengan sifat-sifat Islam dan menunaikan tuntutan-tuntutan Islam dalam hidup kita. Segala sesuatu yang dilakukan hendaklah berteraskan kepada kidah Islam yang sebenarnya. Sebaliknya jika tidak, maka tamadun manusia itu akan runtuh dan masyarakat akan rosak akhlak. Orang yang berada dalam keadaan desak iaitu ketika hendak menemui ajal dan tetap berdegil dengan kesilapan yang lalu, maka dia tergolong dalam golongan orang yang bongkak. Orang yang melakukan sesuatu yang boleh membuatkan orang lain berdosa, maka orang itu juga berdosa. Semoga kita sentiasa menjaga iman dan rahmat Allah SWT adalah hampir kepada mereka yang sentiasa berserah diri kepadanya.

Amiin.




Sumber : Mohd Huzairi Zainuddin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...