PAGE

Selasa, Mei 12, 2009

Tajdid Iman: Wanita Muslim perlu hijab syarie elak kehancuran

Oleh Dr Juanda Jaya


SENTIASA mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah jaminan untuk Muslim hidup aman damai di dunia dan akhirat. - Gambar hiasan

Pergaulan bebas atas dasar ikut arus kemodenan hanya jauhkan generasi baru daripada agama

FENOMENA mutakhir yang menakutkan umat Islam muncul di mana-mana. Pergaulan bebas seolah-olah menjadi lumrah kemodenan seiring sambutan hangat tanpa berbelah bahagi kepada industri hiburan tanah air amat membimbangkan.

Sepatutnya ibu bapa dan perancang hala tuju negara menjadi orang yang paling sedih melihat benih maksiat serta kehancuran semakin rancak mempengaruhi anak generasi masa depan mereka.

Agama sudah semakin luntur daripada menjadi pegangan dan kecintaan generasi Islam baru, bahkan hiburan serta kebebasan pergaulan menjadi kegilaan mengatasi agama dan segala-galanya. Mereka yang tersesat di belantara dunia ini adalah anak kita, saudara seagama yang perlukan bimbingan.

Anak perempuan yang terlanjur mengandung bayi tanpa nikah secara sah itu mungkin tidak pernah mendengar kata nasihat dalam al-Quran dan hadis Baginda SAW. Mereka mungkin buta agama, tidak pernah didedah keindahan Islam, dibimbing ilmu dan penghayatan agama yang benar.

Pernahkah mereka mendengar hadis mengenai batas pergaulan? Diriwayatkan daripada Safiyah binti Syaibah, katanya: Ketika kami di sisi 'Aisyah, kami mengingati wanita Quraisy dan kelebihan mereka, 'Aisyah berkata: "Sesungguhnya bagi wanita Quraisy itu ada kelebihan dan sesungguhnya aku demi Allah tidak pernah melihat wanita yang lebih mulia daripada wanita Ansar dan tidak ada yang lebih membenarkan kitab Allah dan beriman dengan apa yang diturunkan, berbanding mereka."

Apabila diturunkan surah al-Nur, ayat 31, yang bermaksud: "Katakanlah kepada wanita beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah suami mereka, atau putera mereka, atau putera suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau putera saudara lelaki mereka, atau putera saudara perempuan mereka atau wanita Islam, atau budak yang mereka miliki, atau pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak yang belum mengerti mengenai aurat wanita, dan janganlah mereka memukulkan kakinya supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman supaya kamu beruntung."

Kata Aisyah: "Suami wanita Ansar membacakan apa yang diturunkan Allah kepada mereka di dalamnya, seorang lelaki membaca kepada isterinya, anak perempuannya dan saudara perempuannya dan kepada setiap kaum kerabat mereka, tidak adapun di kalangan wanita itu melainkan mereka bangun mengambil kain bulu mereka yang digunakan dalam permusafiran, lalu mereka menyelubungkan kepala dengannya sebagai membenarkan dan beriman kepada apa yang diturunkan Allah dalam kitab-Nya lalu mereka berjalan di belakang Rasulullah SAW dalam keadaan berselubung seolah-olah di atas kepala mereka ada burung gagak." (Fathul Bari Syarhu Shahihil Bukhari, kitab al-Tafsir: Bab hendaklah wanita itu melabuhkan tudungnya di atas leher mereka)

Semoga Allah SWT merahmati wanita Muhajirin dan Ansar, alangkah kuatnya iman mereka, benarnya Islam mereka, cantiknya kepatuhan mereka mentaati kebenaran ketika ia diturunkan.

Bagaimanakah dengan anak perempuan Muslimin saat ini? Ramai yang sedar dan kembali ke pangkal jalan. Tidak sedikit yang masih mengekalkan al-Quran dan sunnah Rasul sebagai pegangan hidup dalam keluarga dan masyarakat.

Sesungguhnya mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya tidak akan berlaku melainkan dengan melaksanakan perintah dan menjauhkan larangan. Antara tanda wanita Islam mentaati Allah dan Rasul-Nya ialah dia tidak berdua-duaan dengan lelaki asing. Berkhalwat dengan lelaki asing adalah haram hukumnya dengan sepakat oleh ulama.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Jangan sekali-kali seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali ada bersamanya seorang mahram, jangan wanita itu bermusafir melainkan ada bersamanya mahram. Lalu bangun seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteriku keluar untuk menunaikan haji, sedangkan aku diperintahkan menyertai peperangan begini dan begini. Sabda baginda: Pergilah kamu menunaikan haji bersama isteri kamu." (Hadis Muttafaq 'Alaihi)

Mahram ialah setiap orang yang diharamkan berkahwin dengan wanita itu untuk selama-lamanya seperti bapa, saudara lelaki dan bapa saudara. Orang asing pula ialah setiap lelaki yang halal berkahwin dengan wanita itu secara prinsipnya, walaupun dia daripada kalangan kaum kerabat termasuk saudara lelaki suami dan seumpamanya daripada kalangan kaum kerabat.

Haram berdua-duaan dengan mereka kerana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Janganlah kamu masuk menemui wanita. Berkata seorang lelaki Ansar: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu mengenai ipar? Sabda Baginda: Ia adalah demam panas yang membawa mati." (Hadis Muttafaq 'Alaihi)

Wanita Muslimah hendaklah beriltizam dengan hijab syarie apabila keluar daripada rumahnya iaitu pakaian Islam yang istimewa yang ditetapkan bentuknya secara qatie dalam kitab Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya.

Dia tidak boleh keluar dari rumahnya atau menzahirkan dirinya di hadapan lelaki bukan mahram dalam keadaan memakai wangian dan berhias dengan perhiasan kerana dia tahu semua ini haram mengikut nas al-Quran.

Jadi wanita Islam yang berpakaian tidak senonoh dan seolah bertelanjang, terhimpit oleh masyarakat moden yang lari daripada petunjuk dan jauh daripada mentaati Allah SWT, sedarlah. Mereka akan gementar ketakutan dengan gambaran diberitakan.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Dua jenis ahli neraka yang aku tidak melihat kedua-duanya, iaitu suatu kaum yang bersama mereka ada cemeti seperti ekor lembu yang mereka gunakannya untuk memukul manusia dan sekumpulan wanita berpakaian tidak senonoh, bertelanjang, berlenggang-lenggok dan berjalan berlagak sombong, kepala mereka besar seperti bonggol unta (kerana perhiasan yang dibuat-buat), mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya dan baunya akan dapat mereka temui dengan perjalanan sekian-sekian jauhnya." (Hadis riwayat Muslim)

Wanita Islam yang bijaksana menghirup daripada mata air Islam yang suci bersih serta membesar dalam suasananya damai dan tenang tidaklah memakai hijab syarie sekadar kerana adat atau budaya yang dilakukan ibu dan nenek moyang mereka, lalu mereka mewarisinya.

Seperti dakwaan segolongan manusia yang bercakap kosong dan merepek mahu menggambarkan mengenai hijab tanpa sebarang sandaran dan ilmu atau hujah logik berpandukan petunjuk daripada kitab yang jelas.

Wanita Islam hendaklah menggunakan hijabnya dalam keadaan hatinya tenang dengan iman bahawa itu adalah perintah Allah SWT, jiwanya penuh kerelaan bahawa itu adalah agama diturunkan Allah SWT untuk menjaga wanita Islam dan memberikan keistimewaan keperibadiannya, menjauhkannya daripada kegelinciran fitnah, terhumban ke dalam maksiat dan lembah kesesatan.

Dari sini dia menerima perintah itu dengan jiwa yang reda, hati tenang, kerelaan utuh seperti ia diterima oleh wanita Muhajirin dan Ansar pada hari Allah SWT menurunkan kepada mereka hukum-Nya yang qatie dan perintah-Nya yang bijaksana.

Hijab syarie bagi wanita bukanlah perkara baru bahkan sudah wujud dalam semua syariat Allah SWT sebelum Islam, ini disaksikan oleh saki-baki syariat dalam kitab yang diselewengkan, kita melihat ia ada pada pakaian biarawati yang bertudung di kalangan orang Kristian yang tinggal di negara Islam, di seluruh negara Barat dan juga suatu kemestian bagi wanita kitabiyah menutup kepalanya apabila dia memasuki gereja.

Sesungguhnya pelanggaran jelas pada hari ini terhadap pemikiran untuk menutup wanita dengan tudung adalah perlanggaran terhadap semua syariat langit daripada agama Ibrahim, Musa, Isa kepada agama suci dibawa Islam. Maka kembalilah kepada yang asal iaitu hukum al-Quran dan al-Sunnah, agar kita semua selamat.

Firman Allah yang bermaksud: "Manusia dahulunya hanya satu umat, kemudian mereka berselisih." (Surah Yunus, ayat 19).

Sumber : BHarian 2009/05/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...