PAGE

Sabtu, Jun 27, 2009

Kepentingan menuntut ilmu


Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: ‘Berlapang-lapanglah dalam majlis’, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: ‘Berdirilah kamu, maka berdirilah’, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Mujaadalah [058], ayat 11)

Di dalam kitab Minhajul A'bidin karangan Imam al-Ghazali dinyatakan dengan terperinci tentang kelebihan atau kepentingan ilmu. Ini kerana ilmu adalah kunci kepada amal. Ilmu dan amal diibaratkan sebagai dua permata yang berharga tetapi ilmu lebih mahal dari permata amal. Amal tanpa ilmu merupakan amalan yang sia-sia, tidak akan diterima kerana belum tentu amalan itu menepati sunnah Rasulullah SAW.

Ilmu merupakan penerang jalan hidup di dunia agar kita tidak sesat. Orang yang tidak berilmu umpama seorang pencari kayu api di tengah malam tanpa cahaya, kekadang ular pun di sangka kayu api. Amatlah bahaya kehidupan tanpa ilmu.

Wahyu pertama yang diturunkan juga memperlihatkan kepada kita tentang pentingnya ilmu. Dan semestinya ilmu itu haruslah dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, sang pencipta kita. Ini kerana, firman Allah SWT yang bermaksud, “hanya orang yang takut kepada Allah adalah dari golongan ulama’ (orang alim).”

Jika ilmu di ibaratkan sebagai pokok, maka amal diibaratkan sebagai buah. Daripada ilmu terbit amal. Bak kata pepatah Arab, ilmu tanpa amal, umpama pokok yang tidak berbuah.

Pernah ditanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang paling disukai oleh Allah SWT, jawab baginda, “amal yang sedikit tetapi berterusan.” Ini memberi makna bahawa tidak guna berilmu banyak tanpa penghayatan dan amalan. Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu perkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan.”

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Pengajaran ayat

1. Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah SWT. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu.

Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :
  • Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
  • Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
  • Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.
  • Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.
2. Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.

3. Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

Oleh itu marilah kita semua berusaha untuk menjadikan ilmu tidak memudaratkan amal dan amal tidak memudaratkan ilmu.

Renung-renungkan!

1 ulasan:

  1. tertarik.
    syukran bawang goreng.
    ilmu tu ada banyak sekarang.
    cuma penghayatan ilmu dan amal kepada Allah takde.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...