PAGE

Rabu, Jun 17, 2009

Peguam Syarie Menulis: Hak kebebasan manusia tertakluk peraturan

Oleh Musa Awang

Masyarakat bebas ikut hawa nafsu tanpa berpandukan nilai moral, agama menuju kesesatan

HAK asasi manusia adalah berdasarkan kepada perisytiharan dibuat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948, yang dikenali sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Perisytiharan itu membahagikan hak asasi manusia kepada empat kebebasan utama iaitu kebebasan daripada ketakutan, kebebasan daripada kemahuan, kebebasan bersuara dan kebebasan kepercayaan.

Ia menyenaraikan pelbagai hak asasi manusia, daripada hak sivil dan politik sehinggalah hak ekonomi, sosial dan kebudayaan. Hak kemanusiaan dinyatakan dalam UDHR itu merujuk hak dimiliki semua insan, yang tidak dipengaruhi faktor tempatan, perkauman dan kewarganegaraan.

Hakikatnya, hak kemanusiaan juga tertakluk kepada hak dari segi perundangan dan moral.

Hak kemanusiaan dari segi undang-undang ialah satu bentuk hak dinikmati setiap warga negara seperti termaktub dalam undang-undang negara itu.

Pencabulan hak kemanusiaan akan membawa kepada tindakan undang-undang sewajarnya dan ia berbeza dari satu negara ke negara lain.

Contohnya, walaupun Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan kepada warga negara Malaysia, tetapi ia masih dalam batas tertentu dan tertakluk kepada undang-undang.

Ini kerana Perkara 10 (2) memberikan kuasa kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang yang menyekat kebebasan itu dalam batas tertentu. Sementara hak kemanusiaan dari segi moral adalah satu tanggapan moral yang didukung oleh masyarakat.

Masyarakat perlu mengakui wujudnya hak tertentu yang harus dinikmati individu lain, yang dianggap sebagai 'sebahagian daripada sifatnya sebagai manusia', walaupun ia mungkin tidak termaktub dalam undang-undang.

Oleh itu, masyarakat berkenaan perlu cuba mengelakkan diri daripada mencabuli hak masing-masing dengan penuh perasaan moral. Adalah tidak bermoral dalam negara berbilang kaum dan agama di negara ini, apabila sesuatu kaum mempertikaikan hak sesuatu kaum dan anutan agama kaum lain.

Adalah tidak bermoral apabila segelintir kaum bukan Islam mempertikaikan fatwa pengharaman penkid suatu masa dulu, sedangkan orang Islam tidak pernah mempertikaikan tindakan kaum lain seperti membina tempat ibadat sesuka hati tanpa permit dan lesen sah, hatta di bawah pokok dan tepi jalan.

Ada ayat al-Quran memperuntukkan hak manusia yang perlu dihormati antaranya, hak untuk hidup, mengumpul dan memiliki harta, bersendirian tanpa gangguan, bergerak, anak, keadilan, maruah, penghormatan seseorang dan hak persamaan di bawah undang-undang.

Semua hak itu bersandarkan kepada nas al-Quran. Islam memerintahkan umatnya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah an-Nahl, ayat 125)

Hak kebebasan yang dituntut sebilangan wanita Muslim, kebebasan akhbar, bersuara, beragama dan tuntutan kebebasan lain perlu dilihat daripada sudut neraca Islam, supaya tidak terkeliru dengan kebebasan yang ditaja Barat.

Barat menjana pemikiran bahawa setiap individu boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu biarpun ia bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur.

Islam dari awal lagi sudah menjamin kebebasan selaras dengan fitrah kejadian manusia. Bahkan, Islam tidak membenarkan unsur paksaan wujud dalam ajarannya suci.

Allah berfirman yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Namun, itu tidak bermakna seorang Muslim bebas bertukar agama tanpa had. Kalimah syahadah adalah ikrar atau perjanjian antara seseorang hamba dengan Tuhannya.

Ikrar dan perjanjian itu wajib dikota, dan sesiapa murtad bererti dia sudah melanggar perjanjian itu. Wajarlah Allah mengenakan hukuman keras terhadapnya.

Dimaksudkan dengan kebebasan bersuara dalam Islam ialah kebebasan menyatakan pendapat, buah fikiran, teguran dan kritikan membina kepada pihak bertanggungjawab. Termasuk juga kebebasan akhbar dan internet menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat umum.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebohkan tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab yang amat pedih di dunia dan akhirat, dan Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui." (Surah An-Nur, ayat 19)

Ulama terkenal Syeikh al-Mutawalli al-Sya'rawi menegaskan, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud kepada setiap insan. Kebebasan itu sebenarnya bersifat relatif iaitu dengan maksud ia tidak mengganggu kebebasan orang lain dan tidak bercanggah dengan ajaran agama.

Dan jika ada unsur gangguan dan percanggahan dengan agama, masyarakat ramai akan bertindak mencegah perbuatan melampaui batas itu.

Kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam masyarakat madani kerana masyarakat bertamadun dikawal oleh sistem, peraturan dan undang-undang.

Golongan menjadikan hawa nafsu sebagai panduan bukanlah masyarakat bebas, sebaliknya masyarakat yang sesat.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http: ///www.peguamsyarie.org.

Sumber : BHarian 2009/06/17

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...