PAGE
▼
Jumaat, Jun 12, 2009
Pentingnya ilmu keibubapaan
Assalamualaikum warahmatullah,
Keibubapaan atau parenting hari ini tidak sama dengan zaman dahulu. Perubahan yang mendadak di dalam keadaan hidup kita ibarat tsunami yang memberi kesan bukan sahaja tentang corak pekerjaan kita, malah apa yang berlaku di rumah kita. Anak-anak zaman ini mempunyai ciri-ciri perwatakan yang juga berbeza.
Apa yang telah terjadi kepada masyarakat Malaysia hari ini? Kita sering dipaparkan dengan berita perbalahan atau pergaduhan baik di peringkat bawahan hinggalah ke peringkat pemimpin. Gejala sosial seperti samseng jalanan (a.k.a. mat rempit), samseng sekolah (a.k.a. kaki buli), bohsia, penagih rokok, penagih dadah, penagih gam dan seumpamanya akan dikatakan berpunca daripada kesilapan ibubapa dalam mendidik dan menangani disiplin anak-anak. Sebenarnya, siapakah yang bersalah hingga kita melahirkan dan membesarkan generasi seperti ini?
Ada kalanya ibubapa menggaru kepala mencari jawapan bagaimana hendak menyelesaikan pelbagai masalah yang asing yang tidak pernah wujud pada masa ibubapa itu sendiri membesar. Sekurang-kurangnya, jika ibubapa pernah melalui masalah yang sama, mudahlah sedikit untuk mengatasinya. Itulah antara sebabnya mengapa kita patut menyarankan agar ibubapa diberi ilmu keibubapaan yang tepat, jelas, betul dan tidak mengelirukan. Berapa ramai di antara kita yang mahu melaungkan masa membaca buku-buku keibubapaan atau menghadiri kursus-kursus keibubapaan? Berapa ramai pula di antara kita yang pandai-pandai sendirilah berfungsi sebagai ibubapa, tanpa mendapat panduan yang sesuai tentang keibubapaan?
Di samping itu, oleh kerana kedua ibubapa bekerja, maka satu polisi dan program diwujudkan supaya anak-anak tidak dipajak-gadaikan di merata-rata dan diberi peluang untuk memperolehi kasih-sayang dan layanan yang sebaik-baiknya. Jambatan, lebuh raya dan bangunan tinggi mampu kita jaga, tetapi anak-anak, kita biarkan. Ilmu yang ada tidak diamalkan bergitu juga dengan budi bahasa. Di mana-mana pun kita perhatikan keadaan seperti ini wujud.
Kesan sosial
Setiap hari kita lihat keadaan semakin buruk. Apabila ada seseorang membuat keputusan untuk keluar rumah untuk bekerja dan meninggalkan tugas asas sebagai isteri, ibu dan surirumah, seharusnya ada polisi dan program siapa pula yang akan menjalankan tugas-tugas ini? Dalam pada itu, kita juga seharusnya memberi penekanan tentang waktu kelahiran dan dalam masa 6 bulan pertama seseorang anak. Masa ini apat penting sekali bagi pembangunan anak kerana daripada waktu itulah otak dan sistem sarafnya amat pesat membangun. Kalau dulu kit aniasa mendengar risiko melahirkan anak dengan sindrom Down sekiranya hamil selepas umur 40 tahun, tetapi kini sudah ada ibu berusia bawah 25 tahun melahirkan anak pertama dengan masalah ini, akibat stress atau tekanan yang dialami ibu di tempat kerja di samping faktor sukar melahirkan, mengalami pembedahan dan juga mengambil berbagai ubat sewaktu mengandung. Anak juga tidak dapat diberikan susu ibu kerana ibu terpaksa bekerja lepas dua bulan dan susu ibu pula digantikan dengan susu lembu. Aduhai… natijahnya ramailah generasi sekarang berpenyakit sosial… Ngeri rasanya bila saya fikirkan bagaimanakah anak-anak saya di zaman mereka remaja nanti, which is in another 10 years….?
Saya masih belajar menjadi ibu yang sempurna untuk anak-anak saya. Saya akui, masih banyak kekurangan yang perlu saya tampung kerana bukan satu tugas yang mudah untuk saya menjadi seorang ibu yang sempurna untuk anak-anak. Hari ini saya ingin kongsikan tips untuk berjaya dalam keibubapaan yang saya titikan daripada Puan Rozieta Shaari, pakar pembangunan modal insan di Al Advancement of Human Potential. Semoga kita sama-sama belajar menjadi ibubapa yang berjaya melahirkan generasi yang cemerlang dari segi akhlak, di dunia dan juga di akhirat, insya Allah.
Tips # 1 – Mengeluarkan potensi sebenar anak-anak anda
Menghadkan apa yang boleh dicapai adalah penyakit paling serius yang menyakitkan secara mental dan fizikal sesiapa saja, termasuk anak-anak anda, hapuskan penyakit ini dan gantikan dengan kepercayaan positif yang dengannya potensi sebenar anak anda boleh keluarkan.
Tips # 2 – Kuasa perkataan yang tidak diucapkan
Berhati-hati dengan tenaga negatif yang anda hantar kepada anak anda seharian. Perkataan atau kata-kata adalah walaupun mempunyai kuasa dan kesan, tidaklah sehebat perkataan yang tidak dilafazkan, iaitu apa yang anda sampaikan melalui tindakan, gaya tingkah laku, mimik muka atau aura malah pemikiran anda.
Mereka boleh merasa perasaan anda, apa yang anda fikir serta tanggapan anda terhadap diri mereka. Ini amat penting untuk anda sedar kerana ia boleh membantu atau mematahkan semangat anak anda.
Tips # 3 – Putaran kejayaan
Ajarilah anak anda untuk fokus pada kelebihan yang ada pada mereka. Buat mereka faham dan sedar bahawa mereka ini penting, istimewa dan boleh membawa perbezaan ke dalam kehidupan anda.
Tips # 4 – Jadilah orang yang berpencapaian tinggi
Pupuk dalam diri anak anda, semangat untuk menjadi seorang yang berpencapaian tinggi. Seorang yang berpencapaian tinggi adalah mereka yang berjuang untuk melakukan dan memberi sesuatu yang terbaik tetapi dalam masa yang sama, tidak melemahkan semangat orang lain.
Tips # 5 – Pilih perkataan yang betul
Minda adalah punca tenaga yang boleh diprogramkan. Guna perkataan positif dan elakkan daripada menggunakan perkataan negatif. Perkataan positif mempunyai kuasa secara semulajadi dan mengulanginya secara kerap akan meningkatkan kuasa tersebut.
Tips # 6 – Cipta persekitaran yang menggalakkan pembelajaran
Halang diri anda daripada menggunakan kekerasan dalam membesarkan anak-anak anda dan berusahalah untuk melihat dari kaca mata anak anda. Ini akan membantu mewujudkan minat untuk belajar ‘yearn to learn’ dalam diri anak anda. Seperti yang dikatakan oleh Glenn Doman, “Bayi dilahirkan dengan sikap ingin belajar dan untuk mereka, belajar adalah satu pengalaman yang paling berharga yang mereka pernah kecapi di dalam kehidupan mereka.”
Tips # 7 – Biarlah mereka mementukan diri mereka sendiri
Untuk memperkasakan anak, anda perlu memberi mereka kebenaran untuk mereka membuat keputusan sendiri, tidak kira bagaimana senangnya perkata itu. Apabila keputusan itu memberi kesan kepada kejayaan (walaupun bagaimana tidak pentingnya keputusan itu) ini akan menguatkan keyakinan diri anak-anak anda dalam membina hormat diri daripada perasaan berjaya itu.
Tips # 8 – Untuk sesuatu itu berubah, saya mesti berubah terlebih dahulu
Untuk memperkasakan diri sendiri, kita perlu berubah dahulu. Kita perlu mendahului untuk diikuti oleh anak-anak kita. Apabila sesuatu perkara itu tidak berjalan seperti apa yang ktia harapkan, kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri, apa perubahan yang perlu kita buat supaya perubahan positif ini dapat memberi kesan kepada orang lain di sekeliling kita.
Tips # 9 – Memperbetulkan kesalahan dengan tidak menidakkan usaha yang dilakukan
Apabila anda ingin memperbetulakan kesalahan anak anda, lakukan dengan tidak menidakkan usaha mereka. Kawal emosi anda. Bila teguran dilakukan dengan baik, anak anda akhirnya akan rasa lebih disayangi dan selamat, berbanding sebelumnya.
Tips # 10 – Kasih sayang yang tidak terbatas
Jadilah ibubapa yang penyayang namun tegas dalam mempunyai peraturan yang jelas dan mudah difahami. Anda sendiri perlu mengikuti peraturan itu. Sayangi anak anda dan tunjukkan dengan cara yang baik dan jelas.
Ibubapa yang bijak dan berinformasi tepat terhadap keibubapaan dan kecemerlangan akan melahirkan anak-anak yang cemerlang juga, insya Allah.
Renung-renungkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...