“Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ‘arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi. Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan.”
(Surah al-Hadiid [057], ayat 3-5)
Lima petua mendapat syurga perkahwinan dunia akhirat terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Balasan untuk mereka itu ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.” (Surah ali-‘Imran, ayat 133-136)
Ayat di atas memberi kesimpulan kepada kita tentang lima langkah penyembuhan ketika dilanda konflik perkahwinan.
1. Jangan kedekut
Memujuk isteri atau suami senang saja, beri apa yang dia suka. Ambil hatinya dengan hadiah, sentuhan dan kelembutan, masakan yang sedap, bercuti dan ambil hati ibu bapanya. Ayat di atas memang sesuai diamalkan oleh mereka yang mahu memperbaiki hubungan yang panas kerana konflik.
Jangan boikot pasangan, cubalah petua ini. “Orang-orang yang menafkahkan hartanya” memberi maksud sifat pemurah amat penting untuk mengekalkan hubungan cinta. Sedekah atau memberi hadiah kepada pasangan akan menceriakan hubungan, menghapuskan kesusahan, cemburu atau sangka buruk dan yang paling penting ialah hadiah membawa makna perasaan yang dalam iaitu diri anda paling istimewa di sisinya. Sifat kedekut yang ditonjolkan kepada pasangan membuat dia merasa tidak dihargai, dipersia-sia dan dimanafaatkan sesuka hati tanpa penghargaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak ada suatu hari pun yang seorang hamba bangun pagi-pagi melainkan turun dua malaikat ke bumi. Yang satu berdoa, ‘Ya Allah! Berilah ganti kepada hamba-Mu yang menafkahkan hartanya.’ Dan yang satu lagi berdoa, ‘Ya Allah! Binasakanlah ke atas harta orang-orang yang kedekut.’” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Memang telah dinyatakan di dalam al-Quran bahawa Allah SWT akan sentiasa merahmati dan memberi kesenangan kepada hamba-Nya yang berhati mulia dan bersikap pemurah sesama manusia. Manakala sesiapa yang mementingkan diri sendiri (kedekut) di muka bumi ini akan mendapat kehidupan yang tidak berkat dan tidak tenteram dalam hidupnya yang semakin hari menjadikan dia bertambah tamak dan tidak takut melakukan perkara yang salah dan berdosa sehingga sanggup menipu dalam berniaga, makan riba, menerima rasuah, menindas orang lain, dengki dan khianat. Allah menjadikan dunia ini sebagai syurga untuk mereka manakala bila di akhirat nanti neraka akan menjadi balasannya. Sesungguhnya harta merupakan ujian Allah SWT kepada umatnya dan kemewahan semata-mata bukanlah kayu pengukur kebahagiaan. Oleh itu tidak kira banyak atau sedikit rezeki yang kita dapati, apa yang penting adalah keberkatan dan limpahan rezeki itu adalah dengan cara yang halal dan diredhai.
Daripada Sa’ad bin Abi Waqas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “Sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu nafkah sama sekali untuk mencari keredhaan Allah melainkan engkau diberi pahala atasnya sehinggakan apa yang engkau masukkan dalam mulut isteri mu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Seseorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan tanggungannya semenjak mula berlakunya akad nikah, sekalipun isterinya itu seorang yang kaya raya. Hak isteri tersebut untuk mendapatkan nafkah tidak akan berubah dan kewajipan itu tetap ke atas suami. Justeru, suami wajib berusaha mencari nafkah yang halal bagi menampung kehidupan keluarga. Kewajipan memberi nafkah ini juga dinyatakan dengan jelas dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] misalnya telah memperuntukkan dengan jelas tentang hal pemberian nafkah dalam peruntukan Seksyen 59 hingga peruntukan Seksyen 71. Selain itu, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 juga memperuntukkan hal pemberian nafkah di dalam peruntukan Seksyen 60 hingga peruntukan Seksyen 70. Demikianlah halnya dengan peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri lain di seluruh Malaysia yang turut menyatakan perihal pemberian nafkah ini. Peruntukan-peruntukan ini dibuat untuk memastikan seseorang suami itu tidak lari dari tanggung jawabnya memberikan nafkah kepada isteri dan orang di bawah tanggungannya.
Tetapi jangan pula kemurahan hati suami disalah-guna sehingga anda kufur nikmat dan tidak puas-puas dengan pemberiannya. Suami pula jangan terlalu boros atau terlalu kedekut, bersikap adil dan seimbanglah dalam memberi nafkah keluarga.
2. Tahan marah
Marah berasal dari syaitan. Bagaimana menahannya? Sebelum marah-marahkan isteri, marahkan diri sendiri terlebih dahulu, cari kesilapan-kesilapan diri. Siapakah yang patut dipersalahkan apabila isteri melakukan maksiat dan dosa? Tentu suami yang tidak pandai mengajar isteri, tak gitu? Begitu pula sebaliknya, isteri juga bersalah jika membiarkan suami hanyut tanpa pegangan agama. Apa-apa perbuatan pasangan sebenarnya berkait rapat dengan perbuatan kita, kerana suami isteri saling mempengaruhi.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW, “Berwasiatlah kepadaku.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Rasulullah SAW menjawab, “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat daripada orang yang alim untuk membentuk peribadinya. Islam menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa agar iman dan ketaqwaannya kepada Allah SWT semakin meningkat. Hakikat marah menurut Islam ialah marah yang terpuji dan marah yang tercela. Kemarahan yang ditujukan untuk mempertahankan diri, agama, kehormatan, hak atau untuk menolong orang yang dizalimi adalah marah yang dituntut. Sebaliknya yang selain daripada itu adalah marah yang datang daripada sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya. Sesuatu persoalan atau wasiat yang memerlukan jawapan daripada seseorang, janganlah diminta secara mendesak atau menunjukkan kemarahan, tetapi hendaklah menggunakan tutur kata yang baik, bersopan dan sabar.
Jadi jangan marahkan pasangan jika dia bersalah, kerana anda sedikit sebanyak telah mempengaruhi sikap dan tindakannya. Anggaplah jika anda mengata isteri, ‘bodoh’ sebenarnya adna mengata diri sendiri juga ‘bodoh’. Jadi, mengapa mesti panas baran?
3. Maafkanlah
“Kemaafan, adalah dendam yang terindah...” Pernahkah anda mendengar bait lagu ini? Ya, sesuatu yang paling cantik dari hati seseorang ialah kemampuannya untuk memaafkan orang lain. Susah, berat dan sakit pada mulanya tetapi jika difikirkan lebih dalam lagi, buat apa kita menyimpan dendam kerana sesuatu yang disimpan selalu akan diingati dan boleh memberi tekanan kepada kita.
Lain halnya bila kita memaafkan dan melupakan saja, maka ia akan terus hilang dari minda kita. Tidur pun nyenyak, makan kenyang, dada lapang, fikiran tenang dan yang paling penting, hati gembira. Tetapi, kata maaf itu tidak akan berhasil tanpa tiga langkah yang mesti dibuat : Maafkan diri sendiri kerana berbuat salah, maafkan orang lain dan minta maaf kepada Allah SWT, maka barulah akan lahir sifat pemaaf yang kental dan murni kerana Allah. Cuba katakan dalam hati anda kepada suami, “Aku maafkan kamu kerana Allah SWT.” Insya Allah, ketenangan akan jadi milik anda.
Pohonlah keampunan dan kemaafan sebelum terlambat
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Setiap umat Islam adalah dituntut menyelesaikan segala kesalahan, hutang-piutang dan sebagainya di dunia ini sebelum berpindah ke alam akhirat di mana jika ada apa-apa hak orang lain padanya maka mestilah ia mengembalikannya dan jika tidak dapat dikembalikan hendaklah ia meminta perlepasan daripada pemiliknya. Ini termasuk juga hak-hak Allah SWT hendaklah diselesaikan seperti mengqadha’kan amal-amal fardu yang pernah ditinggalkan dahulu dan sebagainya. Sesungguhnya sesuatu perbuatan yang menyakiti hati orang atau makhluk lain akan menyebabkan dosa. Oleh itu kita diseru supaya segera meminta maaf dan bertaubat memohon keampunan selagi ada kesempatan (sebelum ajal mendatang). Jika tidak penyesalan yang amat besar akan ditanggung di akhirat kelak.
4. Berbuat ihsan
“Beribadat (berbuat kebaikan) seakan-akan kamu melihat Allah.” Ini adalah definasi ihsan. Buat baik kepada pasangan kerana Allah, bukan kerana siapa-siapa dan apa-apa imbalan yang kita dapat daripadanya. Harta boleh lenyap, kecantikan boleh pudar, yang terkenal boleh dilupakan, jawatan dan kuasa boleh terbang. Hanya satu yang kekal untuk suami isteri mithali, cinta kerana Allah, berpisah kerana Allah. Inilah kebahagiaan sejati.
Islam mementingkan kasih sayang
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kasihanilah mereka yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh mereka yang tinggal di langit.” (Hadis Riwayat at-Tabrani)
Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim. Belaian dan layanan yang mesra akan melahirkan suasana yang mesra, harmoni dan tenang dalam kehidupan. Oleh itu Islam amat menekankan tentang pentingnya nilai kasih sayang dalam sistem kekeluargaan dan juga kehidupan bermasyarakat. Antara tumpuan (bentuk) kasih sayang itu adalah:
- Ucapan dan kata-kata yang menggunakan perkataan yang manis dan bersopan.
- Melalui sentuhan yang lemah lembut.
- Melalui pujukan, pujian, penghargaan dan senyuman
5. Cepat bertaubat jika terlupa
Taubat adalah ikatan terakhir yang mengikat hati kita dengan Allah SWT. Peluang terakhir yang diberi kepada setiap insan yang derhaka. Suami isteri yang menginginkan kebahagiaan rumahtangga tidak akan mencapai impian mereka itu tanpa mengamalkan istighfar, muhasabah diri dan cepat memperbaiki kesilapan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “....Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Surah Hud [011], ayat 114)
Dari Ibnu Umar r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai manusia! Bertaubatlah kamu semua kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya seratus kali setiap hari.” (Hadis Riwayat Muslim)
Seorang mukmin yang sedar dan berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama. Oleh itu dinasihatkan apabila kita telah terlanjur melakukan dosa, hendaklah kita segera bertaubat (taubat nasuha) untuk tidak melakukan dosa itu lagi kerana seorang mukmin yang sebenar apabila melakukan dosa, dia merasakan seolah-olah berada di bawah bukit, takut bukit itu akan jatuh ke atasnya. Sedangkan orang yang selalu menderhaka (melakukan dosa) melihat bahawa dosa-dosanya hanyalah seperti lalat yang lalu di atas hidungnya.
Di antara syarat-syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah:
- Meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya orang yang tidak melakukan sembahyang mestilah kembali menunaikan sembahyang atau orang yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji tersebut.
- Menyesali dosa yang telah dilakukan di mana setiap kali terkenangkan dosa yang pernah dilakukan itu dia akan menangis kerana takutkan seksaan Allah SWT.
- Bertekad tidak akan mengulangi dosa.
- Mengembalikan hak kepada yang berhak. Ini adalah kerana seorang yang benar-benar ingin bertaubat, dia begitu mengharapkan agar zaman lampaunya yang dipenuhi dengan dosa dapat dikembalikan dan digantikan dengan kebaikan. Oleh itu jika dia pernah merampas, mencuri atau mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan keizinan tuannya maka hendaklah dikembalikan sama ada ia berbentuk harta benda, wang ringgit dan sebagainya. Namun sekiranya hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon perlepasan (kemaafan) daripada orang tersebut.
- Dalam tempoh masa - iaitu sebelum seseorang itu didatangi ajal di mana pada saat itu taubatnya sudah tidak berguna lagi.
Wallahu’alam.
Sumber : Dr Juanda Jaya dengan tambahan sendiri
Salam.
BalasPadam1st time masuk sini.
1st benda yg saya tertarik : pregnancy sticker.
bawanggoreng ni lelaki ke pompuan?
Salam Hidet,
BalasPadamTerima kasih atas kunjungan ke blog. Pregnancy ticker itu memang menarik, kerana gambarnya...
Jemput datang lagi ya!