Program pendidikan diharap beri kesan mendalam terhadap pemikiran generasi muda
BARU-BARU ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, menyatakan kerajaan bercadang menjadikan saluran televisyen Islam sebagai ruang interaksi dengan masyarakat terutama dalam soal berunsurkan syariat dan kerohanian.
Siaran televisyen Islam itu percuma kerana ia peluang terbaik untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat luar bandar. Beliau juga menyatakan dari segi rancangan bakal disiarkan tidak mempunyai masalah kerana setakat ini sudah banyak syarikat produksi menawarkan bahan untuk ditayangkan dalam saluran TV Islam itu nanti.
Ia adalah langkah baik sebagai suatu wadah menyampaikan mesej Islam kepada orang ramai terutama kepada golongan luar bandar. Program sebegini perlu bagi memastikan semua golongan mendapat maklumat sebenar mengenai Islam, di samping dapat memberikan program berkualiti kepada masyarakat terutama terhadap isu undang-undang dan syariat.
Jika kita teliti banyak program TV bercorak keislaman yang ada sekarang ini seperti al-kulliyah dan Forum Perdana Islam. Namun, program seperti ini masih tidak cukup berbanding program lain yang sekarang ini mendapat tempat pada hati masyarakat Islam tanpa mengira umur terutama cerita seram serta berbentuk tahyul.
Tanpa kita sedari sekiranya tidak dipantau secara serius akan memberi kesan mendalam terhadap pemikiran anak generasi Islam kita. Apabila TV ini mula beroperasi, diharapkan supaya diperbanyakkan rancangan atau program berbentuk pendidikan terhadap perundangan syariah serta mahkamah syariah.
Program seperti 'Kes syariah' yang diterbitkan Media Prima dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) serta Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) adalah sebagai satu contoh rancangan berkualiti bagi memenuhi kehendak sesetengah pihak dengan didedahkan serta dididik mengenai isu mahkamah syariah.
Begitu juga dengan rancangan berbentuk pendedahan kes di mahkamah syariah disiarkan di saluran 106 Astro Oasis iaitu rancangan 'Sebutan syariah' juga adalah contoh program TV menambat hati penonton dengan menyiarkan kes yang boleh menjadi panduan kepada umum, sekali gus dapat mendidik masyarakat permasalahan berlaku.
Adalah disarankan apabila TV Islam ini beroperasi nanti, rancangan yang baik serta berkualiti seperti ini dapat diikuti bagi tujuan memberi pendedahan hal perundangan serta mahkamah syariah kepada kumpulan sasar iaitu umat Islam yang berada di luar bandar yang tidak mampu untuk melanggan siaran berbayar.
Sebelum ini, hanya mereka yang berkemampuan boleh mendapat maklumat baik serta berkualiti menerusi rancangan disusun stesen TV berbayar ini. Sekiranya kita melanggan siaran TV berbayar ini, kita akan disajikan dengan program keagamaan selama tempoh 24 jam dan program ini amat berkualiti serta dapat merapatkan diri orang mengikuti rancangan ini kepada Pencipta-Nya.
Ada isu berkaitan syariat serta isu semasa perlu diterbitkan kerana saluran TV yang ada tidak dapat menampung keperluan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai. Ia adalah kerana penyiar televisyen tempatan menyediakan program berbentuk keislaman dalam anggaran 10 hingga 18 peratus daripada keseluruhan kandungan program.
Apabila ada televisyen Islam ini, ia dapat memberikan 100 peratus kandungan Islam yang sudah pastinya dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat untuk memahami syariat. Dewasa ini banyak isu perlu didedahkan kepada umat Islam daripada masalah rempit kepada masalah perceraian dan kesannya kepada institusi perkahwinan.
Jamil menyatakan TV Islam yang akan disiarkan itu tidak mempunyai masalah kandungan kerana setakat ini sudah banyak syarikat produksi menawarkan bahan untuk ditayangkan.
Perkara ini amat memberangsangkan, namun apa yang perlu ditekankan pihak pengendali stesen TV Islam ini ialah memastikan syarikat produksi membuat program berbentuk mahkamah syariah seperti menerbitkan drama berlatar belakang syariah dengan mendedahkan masyarakat berkaitan isu undang-undang syariah serta memberi gambaran lebih tepat berhubung perjalanan kes di mahkamah syariah.
Sebelum sesuatu drama berkaitan dengan mahkamah syariah disiarkan, diharap supaya drama itu dirujuk kepada panel khas terdiri daripada pihak yang berautoriti seperti JKSM atau peguam syarie supaya mesej tidak bercanggah dengan perundangan Islam serta menggunakan istilah fikh dalam bahasa Arab serta istilah undang-undang yang tepat.
Pernah ada drama disiarkan cuba menggambarkan suasana dalam prosiding sesuatu kes di mahkamah syariah tetapi dari segi prosedurnya, suasana tidak nampak sesuai.
Hanya mereka yang biasa dengan prosiding mahkamah yang tahu di mana berlaku kecacatannya. Perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh tiadanya pemantauan pihak yang mahir berkaitan prosedur terbabit.
Diharapkan usaha murni ini mencapai kejayaan serta dapat menemui penonton dengan kadar secepat mungkin sebagai suatu rangkaian televisyen alternatif kepada semua orang Islam di Malaysia agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana Islam.
Sekurang-kurangnya ia adalah pendekatan dakwah kepada mereka yang bukan beragama Islam bagi mereka mengkaji serta mendalami Islam dengan ada program berbentuk syariat ini serta isu semasa mengenai Islam.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
Sumber : BHarian 2009/06/25
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...