PAGE

Rabu, Julai 15, 2009

Amalan berlapar dapat mengekang nafsu negatif

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

Kanak-kanak perlu dididik dengan lapar sebagai proses lentur keinginan

KANAK-KANAK biasanya akan memberontak apabila sesuatu yang diinginkan tidak tercapai. Namun, pemberontakan si kecil itu selalunya dapat diatasi dengan senang dan mudah walaupun terpaksa mengorbankan sedikit perbelanjaan.

Tetapi apabila nafsu seorang dewasa memberontak, ia sukar untuk diatasinya, lantaran itu berlakulah pelbagai kejadian tidak sepatutnya dalam kehidupan ini. Ragut, samseng jalanan, pukul-memukul, rasuah, penipuan dan jenayah lain adalah pukulan nafsu yang tidak terkawal.

Oleh itu, selain usaha ke arah menjernihkan keadaan dengan melaksanakan pelbagai sekatan dan hukuman, pemberontakan nafsu sebenarnya boleh dikawal dengan lapar, satu formula terbaik untuk mengendurkan pemberontakan itu.

Ali bin Abi Thalib berkata: "Aku dan nafsuku bagaikan gembala dengan kambingnya. Jika aku menahannya dari satu sisi, ia melompat dari sisi yang lain. Barang siapa dapat menjinakkan nafsunya, dia akan dibungkus dengan kafan rahmat dan dikubur dalam bumi koramah. Tetapi barang siapa membunuh hatinya, terbungkuslah dia dalam kafan laknat serta terkubur di bumi azab."

Demikian juga pesanan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: "Tidak seorang anak Adam penuhkan satu tempat yang lebih buruk selain daripada perutnya. Cukuplah buat anak Adam beberapa suap untuk memelihara kesihatannya. Tetapi jika perlu, maka isilah sepertiga buat makanannya, sepertiga buat minumannya dan sepertiga buat nafasnya."

Perut iaitu telaga yang tiada dasar apabila diisi dengan bermacam juadah mengikut selera dan nafsu umpama limpahan. Oleh itu tidak hairanlah jika segala penyelewengan, keruntuhan akhlak, perbalahan, maksiat serta lain-lain jenayah sering berlaku. Sahal at-Tusturi ada berkata: "Pokok segala kebaikan yang turun dari langit ke bumi ialah lapar dan pokok setiap kejahatan antara langit dan bumi ialah kenyang."

Banyak orang dapat menahan diri daripada bermacam keinginan dan kemahuan tetapi tidak pada makanannya. Makanan sebenarnya banyak mempengaruhi kehidupan manusia, ia mempengaruhi perjalanan sejarah dan seluruh tamadun manusia. Ia juga menyebabkan umat manusia mengalami pelbagai penderitaan dan kemusnahan. Justeru, telaga yang tiada dasar itu perlu dikawal dan didisiplinkan. Lukman al-Hakim berpesan: "Hai anak! Jika perut itu penuh maka tidurlah fikiran, bisulah hikmah dan semua anggota mogok dari mengerjakan kebaikan dan ibadah."

Lapar dan kenyang adalah dua keadaan saling bertentangan yang sering berlaku pada setiap manusia. Dua sifat yang tidak sekata iaitu antara hikmah dan kebodohan. Namun, lapar dan kenyang juga sebenarnya banyak diingatkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Punca segala penyakit itu ialah kekenyangan dan punca kesihatan itu ialah menahan makanan iaitu makan sedikit dan berpantang."

Demikian juga menempuh jalan menuju kebahagiaan adalah kemantapan hati orang yang cerdik, sementara meremehkan kebahagiaan adalah kelalaian orang yang bodoh. Sahal at-Tusturi berkata: "Hikmah dan ilmu itu diletakkan di waktu lapar dan maksiat serat kebodohan itu diletakkan di kala kenyang."

Lapar amat mudah bagi orang yang biasa dengannya dan sebagai benteng memelihara daripada segala keburukan. Begitu juga dengan kenyang, payah ditinggalkan dan menjadi lorong kemusnahan serta kebinasaan. Lapar dapat melentur kegilaan nafsu sementara kenyang memburukkan keinginannya.

Imam al-Ghazali berkata: "Perut itu satu anggota yang aneh jika ia lapar, semua anggota yang lain kenyang dan tenang, tetapi apabila ia kenyang, semua anggota yang lain lapar dan terpesona kepada godaan nafsu."

Justeru, anak-anak serta masyarakat perlu dididik dengan lapar dalam proses melentur nafsunya ke arah lebih baik dan harmoni. Lapar juga menyedarkan diri akan nasib golongan tidak berkemampuan yang terpaksa berlapar kerana tiada makanan.

Sumber : BHarian 2009/07/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...