Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Dalam hidup ini, apa yang disarankan kepada kita adalah teruskan berusahadan beramal dalam apa juga aktiviti hidup yang kita lakukan. Lakukan sesuatu tanggungjawab itu secara bersungguh-sungguh tanpa perasaan jemu dan putus asa. Sekiranya dengan usaha yang kita lakukan itu membuahkan kejayaan, kita patut bersyukur.
Namun, sekiranya di penghujung usaha itu adalah kegagalan dan kekecewaan, fikirkan hikmah di sebalik kegagalan itu dan mengambil pengajaran daripadanya. Dengan usaha dan amal inilah kita akan diberi ganjaran sesuai dengan tanggungjawab yang telah kita lunaskan.
Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT, tugas kita adalah berfikir, merancang, bekerja dan beramal dengan sebaik-baiknya. Inilah tugas manusia yang diangkat sebagai khalifah di atas muka bumi dengan diberi pelbagai kelebihan dan keistimewaan. Semua keistimewaan itu melayakkan manusia melakukan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sungguhpun begitu, ada di kalangan manusia yang cuba melaksanakan kerja yang sepatutnya ia tidak lakukan. Dengan kata lain, tugas manusia hanyalah bekerja dan beramal dan bukannya menentukan hasil yang patut dia perolehi daripada usaha yang telah dilakukannya itu. Hasil sesuatu usaha itu ditentukan oleh Allah SWT, bukannya oleh kita sebagai makhluk yang serba kekurangan.
Apa yang ingin dikatakan di sini, ada waktunya di dalam kehidupan ini kita cuba melakukan sesuatu yang di luar batas kemampuan kita. Apa yang kita lakukan itu bukan kerja-kerja kita, tetapi ianya adalah kerja Tuhan. Seharusnya kita lakukan kerja-kerja kita dan biarlah Allah SWT dengan keluasan Rahmat dan Pengetahuan-Nya menentukan natijah di atas setiap ketentuan-Nya kepada kita.
Sering terjadi dalam kehidupan ini, seserang individu itu telah menetapkan sesuatu hasil atau natijah terhadap sesuatu usaha atau tindakan yang akan ia lakukan. Ia bertindak atau berfikir seolah-olah ia sudah pun mengetahui apa yang bakal ia perolehi daripada sesuatu kerja yang akan dilakukannya. Hasilnya sudah ada walaupun usaha dan ikhtiar belum bermula.
Cara berfikir dan cara bertindak sebegini sering mengundang tekanan emosi serta menghilangkan semangat untuk terus bekerja dan beramal. Apa tidaknya, kerana apa yang dilakukan itu bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang diperintah untuk bekerja dna beramal, bukan menentukan hasil daripada apa yang telah diusahakan itu.
Elak sangkaan negatif
Sebagai contohnya, dalam hubungan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak, sering terjadi perkara ini. Ketika si ibu atau si bapa ingin menyuruh si anak melakukan sesuatu atau jangan melakukan sesuatu perkara, si ibu atau si bapa tentu terfikir ataupun sengaja berkata-kata, “Kalau aku suruh budak ini buat begini-begini, tentu dia tak dengar cakap punya, tentu dia tak nak punya.” Kata-kata lain seumpamanya, “Budak ini memang tak ada harapan nak dapat 8A dalam peperiksaan, buat apa buang-buang duit hantar tuisyen.”
Sering kita perhatikan apabila ibu atau bapa menyuruh anaknya dengan arahan tersebut, hasil yang berlaku kepada si anak kebiasaannya menyamai dengan apa yang telah difikirkan atau dikatakan oleh si ibu atau si bapa sebelum itu. Ibu atau bapa telah menentukan natijah atau hasil yang akan berlaku ke atas anak tersebut, maka terjadilah seperti mana yang dihajati oleh kedua-duanya.
Sutuasi yang sama juga boleh berlaku dalam suasana persengketaan rumahtangga. Kita baiasa mendengar dialog pasangan yang suka gaduh-gaduh, antaranya, “Ini kalau balik rumah nanti ni, pasti gaduh punya” dan seumpamanya. Dalam suasana tekanan emosi, kata-kata yang terkeluar atau apa yang difikirkan biasanya ke semuanya bersifat negatif atau tidak enak didengar. Kebiasaannya sangkaan-sangkaan negatif ini benar-benar terjadi seperti mana yang telah difikirkan atau dicakapkan sebelum itu. Jika kata-kata itu menggambarkan ‘kemahuan ingin bergaduh’ maka terjadilah pergaduhan. Kita telah menentukan hasil negatifnya, maka kita akan terima kesan negatifnya.
Begitu juga yang sering berlaku di dalam dunia pekerjaan ataupun kegiatan keusahawanan. Individu pekerja atau usahawan telah menentukan apa yang akan terhasil daripada sesuatu kegiatan yang akan dilakukannya. Individu pekerja berasa sekiranya kertas cadangan projek ini disiap dan dihantarkan kepada pelanggan, projek tersebut bukannya boleh dapat. Kalau buat pun nanti sia-sia sahaja. Walaupun bagaimanapun, kena buat juga sebab sudah diarahkan bos.
Kemampuan terbatas
Individu usahawan pula sudah membuat jangkaan, “Kalau buat banyak ini, dapatlah untung banyak ini, kalau buat pemasaran cara begini, tentu tak dapat untung” dan seumpamanya. Dalam contoh yang diberikan ini serta contoh-contoh lain yang berlaku di persekitaran hidup ini, semua menggambarkan bagaimana individu serng bertindak mendahului batas kemampuan yang Allah SWT berikan kepdanya. Kemampuan kita anya berusaha dan beramal, bukan menentukan hasil atau natijahnya. Hasil atau natijah daripada sesuatu kerja dan amal akan ditentukan oleh Allah SWT, buka oleh kita. Kita bukan Tuhan, maka janganlah lakukan kerja Tuhan.
Persoalan yang timbul ialah mengapakah perkara-perkara yang kita anggap hasil atau natijah yang disebutkan itu benar-benar terjadi kemudiannya. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa Allah SWT berikan terus apa yang seseorang itu minta walaupun tanpa disedarinya.
Pergaduhan
Sekiranya ibu atau bapa sudah tentukan anaknya tidak akan buat seperti yang disuruh, maka si anak memang tidak akan mengikut arahan ibu bapanya. Sekiranya pasangan suami atau isteri sudah terfikir untuk bergaduh bila balik ke rumah, maka terjadilah pergaduhan sebaik melangkah kaki ke dalam rumah. Begitulah yang sering terjadi apabila sesuatu hasil atau natijah kepada sesuatu kerja dan amal itu telah disebut atau difikirkan terlebih dahulu oleh seseorang individu atau kelompok.
Perunding motivasi sering menyebut bahawa ‘kamu adalah apa yang kamu fikirkan’ (you are what you think) atau ‘kamu adalah apa yang kamu katakan’ (you are what you say) dan seumpamanya. Kata-kata ini memang terbukti telah ada kebenarannya. Hayati lirik lagu ini:
Jika kau fikirkan kau boleh, Kau hampir boleh melakukan;
Jika kau fikirkan ragu-ragu, Usahamu tidak menentu,
Jika kau fikirkan kekalahan, Kau hampiri kegagalan;
Jika kau fikirkan kemenangan, Kau hampiri kejayaan.
Engkaulah apa kau fikirkan, Terkandung dalam pemikiran;
Kau fikir boleh melakukan, Fikirkan boleh,
Percaya apa kau lakukan, Tabah apa kau usahakan;
Bertindak atas kemampuan, Engkau boleh.
Dalam al-Quran ada menyebut, firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepada kamu. Maka demi Tuhan yang memiliki langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah benar-benar (akan terjadi) seperti perkataan yang kamu ucapkan.” (Surah adz-Dzaariyaat [051], ayat 22~23)
Pada penghujung ayat di atas, Allah SWT bersumpah dengan Kebesaran-Nya yang memiliki kekuasaan di langit dan di bumi bahawa sesuatu akan berlaku mengikut seperti mana yang diucapkan oleh seseorang iotu di dalam hidupnya. Justeru itu, dalam menjalani kediupdan harian, kita lakukanlah kerja kita, jangan lakukan kerja Tuhan. Kita boleh ibaratkan perkara ini seumpama kita menanam sepohon pokok. Setelah pohon itu kita tanam, apa yang kita patut lakukan ialah terus menyiram air kepadanya dan teruslah membaja dan menjaganya hingga ia membuahkan hasil untuk kita nikmati.
Rahmat Allah SWT
Janganlah sekiranya setelah kita tanam pohon itu apabila sampai tempoh seminggu, kita cabut pohon itu untuk melihat keadaan akarnya. Setelah cukup sebulan, kita cabut kembali untuk melihat perkembangan akarnya lagi. Begitulah seterusnya pada bulan-bulan yang mendatang. Jika inilah yang kita lakukan, pasti pohon itu akan mati dan kita tidak mungkin dapat menikmati hasilnya.
Begitulah fitrah kehidupan ini yang kita perlu lalui dengan keinginan dan keazaman untuk terus berusaha dan beramal dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Rancanglah apa yang kita mahukan dalam hidup ini. Setelah itu bekerja dan beramallah sesuai dengan apa yang kita rancang tadi. Usahakan secara yang bersungguh-sungguh, pasti kita akan memperoleh kebaikan daripadanya.
Usahlah kita hadkan pertolongan dan rahmat Allah SWT ke atas diri kita dengan kita sendiri menentukan hasil atau natijah di atas setiap usaha yang kita lakukan. Rugilah kiranya kita awal-awal lagi sudah menolak pemberian daripada pihak yang benar-benar ingin memberi. Yakinlah bahawa sesungguhnya rahmat Allah SWT itu maha luas dan ia sangat suka membantu hamba-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung banyaknya (tanpa hisab).” (Surah ali-‘Imran [003], ayat 37)
Rancang pekerjaan
Sebagai rumusannya, untuk memperoleh kebahagiaan dan keceriaan hidup, maka lakukanlah kerja kita sebagai seorang manusia dengan banyakkan berfikir, merancang dan melaksanakan perancangan tersebut. Hindarkan kita daripada terus menentukan sesuatu hasil atau natijah di atas kerja-kerja yang kita lakukan kerana ianya hak milik Allah SWT untuk menentukannya. Yakinlah rahmat Allah SWT sentiasa memayungi kehidupan hamba-hamba yang terus pasrah dan bertawakal kepada-Nya.
Renung-renungkan!
Sumber : RMJ-MW
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...