PAGE
▼
Isnin, Julai 06, 2009
RM1.00 VS RM50.00
Salam,
Dalam pada kita beramal seperti menderma serta bersedekah serta mengimfakkan harta benda dan wang ringgit kadang kala kita memandang pada besarnya jumlah atau nilai harta tersebut. Tetapi disisi Allah SWT, perkara ini kadang-kala tidak diambil kira kerana ada faktor lain seperti ikhlas, punca harta tersebut dan lainnya. Oleh itu nilai RM50.00 tidak semestinya diterima dan nilai RM1.00 tidak semestinya ditolak oleh Allah SWT, sebab dalam kita beramal yang penting sekali ialah penerimaan amal kita oleh Allah SWT. Sebagai contoh bagi orang bukan Islam, walau sebesar manapun amalnya seperti gunung sekali pun, tidak akan sekali-kali diterima kecuali setelah ia memeluk Islam. Bagi kita yang telah Islam pula akan diteliti lagi atas kerana apa kita berbelanja harta tersebut.
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang bersedekah dengan sebutir kurma dari usaha yang halal, maka Allah akan menerimanya dengan baik, lalu dipelihara-Nya seperti kamu memelihara anak kambing atau anak unta sehingga sedekahmu itu bertambah besar menjadi sebesar gunung atau lebih besar daripada itu.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya, “Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Membantu orang yang tidak berada dan berkongsi menggunakan suatu kemudahan adalah salah satu daripada sifat yang amat dituntut di dalam Islam. Setiap umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya untuk melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam hidupnya sama ada dengan memberikan bantuan tenaga, buah fikiran atau memberikan nasihat yang berguna kepada orang lain di mana semua ini dinilai sebagai sedekah.
Kategori sedekah yang paling minimum adalah dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang jahat (buruk) di mana dengan cara itu seseorang telah dianggap menyelamatkan masyarakat sekitarnya daripada keburukan dirinya yang boleh membahayakan orang lain. Bersedekah hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan bukan diiringi dengan perasaan ingin menunjuk-nunjuk (riya’) kerana ini akan menghilangkan pahala bersedekah.
Bersedekah membawa keberkatan dan kemuliaan
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Orang yang bersedekah dengan ikhlas kerana Allah Taala tidak perlu bimbang tentang kekurangan hartanya kerana Allah Taala berjanji menambahkan keberkatan ke atas hartanya itu. Keampunan yang diberikan oleh Allah ke atas hamba-Nya adalah semata-mata sebagai suatu kemuliaan Allah kepadanya. Hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan bersifat tawadduk serta rendah diri akan diangkatkan darjatnya.
Islam menggalakkan umatnya sepaya rajin bersedekah. Bagi orang-orang yang kaya hendaklah membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhai Allah dengan memberi sumbangan kepada golongan yang amat memerlukan.
Renung-renungkan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...