PAGE

Khamis, Ogos 06, 2009

Bersederhana dalam hidup


Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...

Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah SAW, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya, ternyata baginda tidak pernah mengecap hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan baginda, sama ada cara berpakaian, perhiasan, dalam soal makanan dan sebagainya, berada di paksi kesederhanaan. Pada hal baginda memang mampu untuk hidup bermewah, namun keimanan yang jitu di dada baginda justeru mengalahkan segala-galanya. Sila ikuti kesederhanaan-rasulullah, secebis sirah teladan tentang kesederhanaan Rasulullah SAW.

Dalam menjalani bahtera kehidupan, Islam memberi garis panduan yang cukup sempurna bagi manusia mencapai puncak kesejahteraan. Hidup menurut ukuran Islam ialah menikmati kesejahteraan di dunia dan di akhirat nanti. Demi merealisasikan harapan yang murni itu, setiap orang Islam haruslah mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap segi kehidupannya. Sifat ini dipraktikkan Nabi Muhammad SAW dan juga para sahabat baginda, sehingga mereka muncul di permukaan sebagai insan yang sewajarnya diteladani, yang cemerlang dan dirahmati Allah SWT.

Suasana sekarang, kenaikan harga barang keperluan harian yang sepertinya tidak terbendung mampu meletakkan masyarakat dalam kerisauan. Apa lagi bagi golongan berpendapatan rendah. Namum kemelut ini boleh dihadapi dengan lapang dada sekiranya ada kesedaran orang Islam mengambil kebijaksanaan bagaimana mengurus kewangan agar supaya dapat menepati konsep kesederhanaan. Antaranya berjimat cermat dan hanya membeli barang yang diperlukan saja (tidak mengikut kehendak hawa nafsu yang merosakkan), serta yang paling utama ialah tindakan yang diambil menepati jalan Allah. Dengan itu, ia dapat mengelak kemurkaan Allah dan sebaliknya memperoleh tambahan nikmat-Nya yang menjanjikan kesejahteraan sejati.

Perhatikan saja firman Allah SWT berikut yang mafhumnya, “Sesungguhnya jika mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), nescaya Kami curahkan kepada mereka air yang lebat (akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak). Untuk Kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya (al-Quran), nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat.” (Surah al-Jin [072], ayat 16~17)


Contoh lelaki sederhana

Jangan kedekut

Orang boros sebenarnya tidak tahu untuk merancang, tidak ada wawasan, tidak gerun dengan masa depannya yang bakal hadir nanti terbiar begitu saja. Akhirnya ditimpa penyakit miskin dan muflis, sebagai modal untuk menjadi orang yang suka berhutang, meminta-minta dan pada pandangan masyarakat pula jelas menjadi hina dan tidak dihormati. Ekoran itu, akan jadi orang yang dibelenggu seribu masalah dan jiwa pun tidak mungkin disentuh ketenangan lagi. Meskipun digalakkan supaya berhemah, namun janganlah pula sampai ke tahap sifat kikir atau kedekut. Sebagaimana termaktub dalam ayat yang bermaksud, “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.” (Surah al-Israa’ [017], ayat 29)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Memang telah dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa Allah akan sentiasa merahmati dan memberi kesenangan kepada hamba-Nya yang berhati mulia dan bersikap pemurah sesama manusia. Manakala sesiapa yang mementingkan diri sendiri (kedekut) di muka bumi ini akan mendapat kehidupan yang tidak berkat dan tidak tenteram dalam hidupnya yang semakin hari menjadikan dia bertambah tamak dan tidak takut melakukan perkara yang salah dan berdosa sehingga sanggup menipu dalam berniaga, makan riba, menerima rasuah, menindas orang lain, dengki dan khianat. Allah menjadikan dunia ini sebagai syurga untuk mereka manakala bila di akhirat nanti neraka akan menjadi balasannya. Sesungguhnya harta merupakan ujian Allah SWT kepada umatnya dan kemewahan semata-mata bukanlah kayu pengukur kebahagiaan. Oleh itu tidak kira banyak atau sedikit rezeki yang kita dapati, apa yang penting adalah keberkatan dan limpahan rezeki itu adalah dengan cara yang halal dan diredhai.

Terbinanya jurang

Ayat [017:29] dan hadis di atas membawa maksud janganlah menahan tangan daripada berbelanja serta memberi nafkah untuk tujuan kebaikan yang mana diumpamakan tangan yang tidak dapat bergerak kerana terbelenggu di leher. Ini adalah kiasan kepada sifat bakhil (Buku Ayat-ayat Hukum: Abdul Latif Muda). Kita perlu ingat dengan larangan Rasulullah SAW terhadap orang kedekut ini sebagaimana maksud hadis, “…dan takutlah kamu dari sifat kikir, kerana sesungguhnya sifat kikir itu telah membinasakan umat sebelum kalian, yang mendorong mereka melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan semua yang diharamkan Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Gambaran hadis di atas begitu jelas sekali, kerana kikir menyebabkan timbulnya golongan miskin disisihkan oleh golongan berada. Terbinalah jurang antara kedua golongan tadi (yang itdak seharusnya wujud dalam sebuah masyarakat). Perasaan hasad dengki, marah, tidak puas hati di kalangan orang itdak bernasib baik terhadap orang yang berharta boleh mencetuskan api perbalahan. Di samping itu, orang yang berharta menjadi semakin sombong dna tamak. Sepanjang masa terisi dengan aktiviti menimbunkan harta. Cinta kepada harta bertambah menebal dari sehari ke sehati. Lalu tidak mustahil, mereka ini menjadi orang yang enggan mengeluarkan zakat. Namun sesungguhnya orang yang beriman tidka pernah menghidap penyakit kedekut sebagaimana sabda Rasulullah, “Tidak boleh berkumpul antara iman dan kikir di dalam hati orang yang beriman selama-lamanya.” (Hadis riwayat Ibn Adiy)

Buruknya sikap boros

‘Curahan air yang lebat’ itu bermaksud rezeki yang banyak, yang melengkapi segala keperluan hidup manusia. Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja mengatasi jarum penunjuk pendapatan, lantaran akibatnya akan menimbulkan pembaziran yang dibenci Allah SWT.

Jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah, sehingga berlaku pembaziran hanya saja akan menggambarkan tingkah laku orang yang itdak tahu bersyukur dengan nikmat Allah.

Menyedari betapa buruknya akibat boros dan kedekut, maka orang Islam hendaklah berada di tengah-tengahnya iaitu bersederhana sebagaiman disuruh syarak, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta mereka tidak berlebih-lebihan (melampaui batas atau tidak boros) dan tidak pula kikir (bakhil), tetapi (sebaliknya) perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian (dalam keadaan betul dan sederhana antara kedua-dua cara tidak boros dan kedekut).” (Surah al-Furqaan [025], ayat 67)

Kesimpulan

Islam menggalakkan umatnya hidup dalam kesederhanaan dari semua aspek. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemah dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.” (Hadis riwayat al-Ibn an-Najjar)

Pengawalan terhadap keinginan dan desakan hati adalah amat perlu sebagai satu cara untuk mengawal nafsu boros. Rezeki dan kemewahan hidup semuanya datang dari Allah SWT. Oleh itu sikap berlumba-lumba mengumpul harta dan kemewahan harus dielakkan kerana ia menunjukkan sikap rakus dan boleh memberikan risiko yang tidak baik dalam perhubungan sehingga menyebabkan berlakunya permusuhan sesama sendiri.

Cara membelanjakan harta menentukan hidup seseorang itu berkat atau tidak di mana kehidupan tidak akan menjadi tenang jika harta disalurkan atau digunakan pada perkara-perkara yang haram dan tidak halal. Bersederhana dalam berbelanja bermaksud bahawa seseorang itu apabila berbelanja dia tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut tetapi berada di tengah-tengah antara dua keadaan tersebut, seperti perintah Allah SWT dalam surah al-Furqaan [025], ayat 67.

Renung-renungkan!

Sumber : Mohd Huzairi Zainuddin dan tambahan sendiri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...