PAGE

Sabtu, Ogos 01, 2009

Persediaan sebelum melangkah ke hospital

Apa persediaan yang perlu dilakukan ibu hamil sebelum melangkah ke hospital? Walaupun anda mungkin berada di hospital hanya untuk dua hari, sekurang-kurangnya keperluan harian untuk ibu dan bayi baru perlu dipenuhi dengan sebaik-baiknya.

Tidaklah nanti terkejar-kejar ke sana ke mari untuk mencari keperluan yang tidak lengkap. Senarai di bawah barangkali dapat membantu ibu hamil untuk menghadapi saat-saat selepas bayi dilahirkan. Jangan lupa untuk mendapatkan pandangan daripada doktor yang memeriksa anda mengenai kemudahan yang disediakan oleh pihak hospital untuk ibu bersalin. Hal ini kerana sesetengah hospital menyediakan keperluan untuk ibu-ibu yang baru melahirkan seperti tuala wanita, selimut untuk bayi ataupun lampin pakai buang.

Perlu dibawa oleh ibu hamil
  1. Kad klinik yang menyimpan segala maklumat dan data mengenai kehamilan anda sepanjang sembilan bulan
  2. Kad insurans bagi wanita yang telah mengambil insurans yang meliputi kos rawatan bersalin
  3. Bagi yang biasa memakai kanta sentuh, barangkali selepas melahirkan anda lebih memerlukan kaca mata untuk melakukan aktiviti harian bersama bayi baru anda.
  4. Barangan keperluan diri yang mungkin diperlukan sepanjang anda berada di hospital. Misalnya berus gigi, ubat gigi, sikat dan lain-lain. Jika pihak hospital tidak menyediakan kemudahan mandian, jangan lupa untuk membawa sabun, syampu dan losen yang bersesuaian.
  5. Ingatkan diri untuk menyimpan selipar dan beberapa helai stoking untuk kegunaan seharian. Basanya di hospital kerajaan anda akan dibekalkan dengan pakaian sedia ada yang terdapat di hospital. Berbeza halnya dengan hospital swasta, ada yang menyediakan pakaian untuk anda dan ada pula sebaliknya. Jika memakai pakaian sendiri, pilih baju yang selesa dan longgar. Ia untuk memudahkan anda keitak menyusukan bayi kelak.
  6. Sebaiknya bawa bersama kain sarung dan cuba elakkan memakai seluar. Ia memudahkan doktor untuk membuat pemerikasaan pada bahagian servik sebaik sahaja selesai bersalin.
  7. Bagi anda yang beragama Islam, tidak salah membawa bekalan buku-buku yang mengandungi amalan yang boleh dilakukan oleh wanita mengandung dan selepas bersalin. Lebih-lebih lagi jika anda terpaksa ditahan di hospital lebih awal atau bedrest sebelum anda boleh melahirkan disebabkan komplikasi yang tidak dapat dielakkan.
  8. Bawa pakaian dalam yang sesuai digunakan selepas melahirkan seperti coli menusu dan seluar dalam yang selesa.

Persediaan suami
  1. Bagi pasangan pula, bawa juga wang saku yang mencukupi, terutama wang itu akan digunakan untuk membayar duit parkir atau wang kecil untuk membayar mesin air.
  2. Bawa juga beberapa perkara asas untuk membersihkan badan seperti berus gigi, ubat gigi dan penwangi. Baju anda untuk keesokan hari janga pula dilupakan.
  3. Boleh juga membawa makanan ringan dan bahan bacaan untuk anda mengisi waktu sementara menanti bayi anda dilahirkan.
  4. Bawa juga kamera video lengkap kad memori dan bateri untuk merakamkan detik bersejarah semasa bersalin mahupun selepas kelahiran (kerja-kerja merakam ini juga boleh dilakukan atas kebenaran pihak hospital).

Peralatan untuk bayi

Pakaian bayi yang sesuai dan selesa. Bayi memerlukan fabrik yang lembut, apatah lagi kulitnya cukup sensitif dengan permukaan yang kasar termasuklah stoking bayi, barut dan kain bedung. Jangan lupa membawa selimut untuk membalutnya ketika berada di hospital pada malam hari.

Tidak perlu dibawa
  1. Barang kemas. Dibimbangi ketika anda tidak dapat melahirkan secara normal, anda perlu melalui saat-saat kecemasan bersalin secara pembedahan. Sekurang-kurnagnya ia memudahkah kerja-kerja ketika berada di dewan bedah.
  2. Elakkan membawa wang yang banyak, kad kredit ataupun barangan berharga.
  3. Jangan membawa tugasan anda ke hospital. Apatah lagi, menjawab panggilan telefon yang berkaitan dengan kerja atau menghantar email menerusi komputer riba terutama ketika berada di dalam bilik bersalin.

1 ulasan:

  1. Salam kak ,

    yer saya setuju dgn entri ni . sgt2 berguna kpd saya . buat masa ni , prsiapan saya dah dlm 80-90% . Bgmana dgn akak ? Semoga semuanya brjalan dgn lancar ye...

    Selamat bersalin dan semoga dipermudahkan...

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...