PAGE

Ahad, September 20, 2009

Hargai hari penubuhan Malaysia

Sekarang akibat dari kehidupan yang selesa maka kita boleh lihat sendiri tentang apa signifikannya Hari Malaysia kepada mereka.
- Khoo Kay Kim

MINGGUAN: Boleh Tan Sri terangkan tentang sejarah awal penubuhan negara ini?

KHOO KAY KIM: Kita kena lihat kembali kepada tarikh 31 Ogos 1957 di mana Tanah Melayu merdeka. Kita cuma tahu kita merdeka daripada penjajahan British. Kebanyakan kita tidak tahu dari segi undang-undang apa yang sebenarnya berlaku. Sebenarnya pada tarikh 31 Ogos ialah kita muncul sebagai sebuah negara bangsa.

Kita wujud sebagai sebuah negara yang mempunyai kewibawaan sendiri dalam membuat keputusan dan kemudian diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dalam keadaan sekarang sebuah negara yang bebas dipanggil nation state atau negara bangsa. Bangsa merujuk kepada warganegara atau rakyat dan state merujuk kepada sempadan tertentu. Kita bukan dijajah oleh British sebenarnya dan mungkin ia dilihat agak ganjil. Mereka hadir di ke negara ini dengan membuat perjanjian dengan raja. Raja memberi hak kepada British untuk mengambil alih pemerintahan. Jadi pegawai British berfungsi sebagai eksekutif dan bukan pemerintah. Maka kedaulatan masih kekal kepada raja.

British menjajah negeri-negeri Selat tetapi bukan kerajaan Melayu. Hanya pada masa Malayan Union di mana British cuba mewujudkan Tanah Melayu sebagai negara bangsa. Namun British berpandangan cara paling cepat ialah dengan tidak bertanya kepada raja dan cuba menggunakan kekerasan dan tipu helah. Tetapi orang Melayu menentang dan British berasa serba salah dan merasa Malayan Union sebagai tidak sesuai. Oleh itu mereka keluar dengan idea baru dengan mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu. Pada masa itu kedaulatan dipulangkan kepada rakyat. Maka dari 1 Februari 1948 bila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan hingga 31 Ogos 1957 kedaulatan ada pada rakyat. Bermula tarikh kemerdekaan, raja memindahkan Perlembagaan kepada rakyat dan raja menjadi Raja Berperlembagaan. Dahulu raja yang berkuasa mutlak dan kemudian kita muncul sebagai negara bangsa yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Demokrasi bermakna pemerintahan ke atas rakyat oleh rakyat untuk rakyat. Jadi kedaulatan ada pada rakyat. Maka sekarang jika ditanya siapa yang memerintah sebenarnya ia adalah rakyat. Itu adalah asal usulnya negara ini.

MINGGUAN: Bagaimana dengan penubuhan Malaysia dan asal usul nama Malaysia itu sendiri?

KHOO KAY KIM: Kerana keadaan politik di mana ada gerakan yang mahu mewujudkan sebuah negara baru yang lebih besar maka Singapura dimasukkan berserta dengan Sabah dan Sarawak. Pada peringkat awalnya Brunei turut dimasukkan tetapi apabila tiba tarikh 16 September 1963 Brunei tidak jadi masuk. Bagi penduduk di Sabah dan Sarawak mereka tidak menerima tarikh 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan kerana mereka masih belum keluar dari tanah jajahan British. Mereka hanya bebas pada 16 September 1963 maka mereka tidak boleh menerima tarikh 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan.

Sebenarnya ini tidak menjadi masalah kerana perbezaan hari antara dua tarikh ini hanya dua minggu maka untuk menjamin semua pihak puas hati perayaan penubuhan hari negara bangsa boleh dilakukan bermula pada 31 Ogos hinggalah 16 September setiap tahun.

Nama Malaysia sebenarnya telah lama digunakan, sejak Perang Dunia Kedua nama ini telah ada. Pihak British yang sebenarnya menggunakan nama itu dan nama Malaysia merujuk kepada gugusan kepulauan Melayu. Tetapi dalam laporan banci 31 British telah membezakan antara orang Melayu iaitu mereka yang sudah lama berada di sini dengan orang yang datang dari Indonesia. Dalam laporan banci itu ada dibezakan antara Malays dengan other Malaysians. Dan orang yang berasal dari Indonesia dipanggil other Malaysians. Namun nama Malaysia tetap merujuk kepada rantau ini. Nama ini dapat diterima oleh semua pihak. Kalau Malayans, orang Melayu tidak boleh terima. Mengikut fahaman orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, Malayans bererti orang bukan Melayu dan di negara ini ada Malays dan Malayans.

MINGGUAN: Bagaimana dengan reaksi negara asing terutama negara-negara jiran?

KHOO KAY KIM: Indonesia terutamanya memang sangat marah dengan perkara ini. Saya berpandangan mungkin kerana Indonesia mahu mengawal keseluruhan pulau Kalimantan. Filipina juga tidak berpuas hati, jika kita merujuk balik kepada sejarah memang benar Sabah merupakan sebahagian daripada Filipina. Dua negara ini memang menolak sama sekali penubuhan Malaysia ketika itu, namun Thailand tidak ada masalah tentang hal ini.

Satu perkara yang menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin ketika itu ialah bagaimana untuk menjadikan rakyat Malaysia bersatu padu. Ketika itu kita lihat jika di Indonesia boleh mewujudkan satu ideologi nasional maka Malaysia pun boleh melakukannya. Maka dicadangkan supaya negara ini diadakan satu ideologi nasional iaitu Rukun negara.

Kita tidak boleh nafikan ilham datang dari Indonesia tetapi pengisiannya jauh berbeza sama sekali. Rukun Negara kita sememangnya dibuat berasaskan realiti misalnya yang pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Ini tidak bermakna ada antara rakyat yang menolak agama tetapi setelah berbincang dengan mendalam, majoriti dan keseluruhan rakyat Malaysia tetap percaya kepada tuhan. Tidak timbul soal kita meniru atau cuba menjadi Indonesia kedua. Apa yang dilakukan oleh Malaysia dalam perkara ini adalah berasaskan realiti sebenar negara ini. Kalau dalam soal budaya pun kebanyakan budaya ini dibawa oleh orang Indonesia semasa mereka berhijrah. Jadi apabila mereka membuat keputusan untuk menetap di Semenanjung Tanah Melayu mereka tentunya tidak akan membuang budaya yang telah diamalkan sejak sekian lama.

Ini budaya asal maka mereka terus mengamalkannya. jadi tidak timbul soal mencuri atau meniru dalam perkara ini. Dalam perkara yang dibangkitkan oleh media Indonesia mereka mungkin tidak faham sejarah negara ini. Kita ambil contoh Negeri Sembilan yang sememangnya ditubuhkan oleh orang Minangkabau dari Sumatera. Mereka tentunya tidak akan menghapuskan budaya yang telah diamalkan secara tradisi sejak sekian lama. Selangor pula ditubuhkan oleh orang Bugis dan pengaruh Aceh di Perak sangat kuat. Kita mungkin sudah lupa tetapi orang yang mula-mula membuka bandar Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan ialah orang Mandailing. Hanya ketua mereka yang tidak dilupakan iaitu Sultan Puasa.

MINGGUAN: Kini setelah 46 tahun penubuhan Malaysia, pada pandangan Tan Sri apakah aspirasi yang dirancang tentang penubuhan perkara ini telah berjaya dicapai?

KHOO KAY KIM: Jika kita dilihat dari segi politik, tujuan utama penubuhan Malaysia ketika itu ialah untuk menghalang perluasan ideologi komunis. Dan atas asas ini sememangnya kita telah berjaya. Paling penting ialah untuk menolong Singapura kerana ia pada masa itu sangat kuat dipengaruhi oleh ideologi komunis.

Kemudian, setelah keadaan pulih dengan kemasukan Singapura ke dalam Malaysia, berlaku perselisihan dan singapura dipecat dari Malaysia. Ramai orang yang tidak tahu tentang perkara ini. Sabah dan Sarawak pula sejak dari awal lagi telah meminta lebih banyak autonomi diberikan kepada mereka.

Maka Semenanjung perlu menghormati Sabah dan Sarawak bagi menjamin apa-apa yang boleh ditafsirkan sebagai percubaan oleh Semenanjung untuk campur tangan dalam hal ehwal kedua negeri ini. Satu masa dahulu, kita merujuk Sabah dan Sarawak sebagai Malaysia Timur dan di Semenanjung sebagai Malaysia Barat.

Kini tidak lagi dan dikenali sebagai Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak. Namun saya lihat aspirasi dari segi hubungan membentuk dan menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum itu masih perlu mengambil masa lagi. Tempoh 46 tahun masih belum cukup dan mungkin masa yang agak lama perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

Namun saya lebih suka untuk melihat satu usaha serius dan mendalam untuk mendidik golongan muda kita supaya mereka memahami dan mengenali antara satu sama lain. Jika tidak, masih lagi berlaku keadaan di mana kita tanya sesuatu tentang keadaan di Sabah atau Sarawak kepada orang di Semenanjung atau sebaliknya mereka masih tidak dapat memahami atau menerangkan dengan baik.

Sistem pendidikan kita perlu melakukan sesuatu tentang perkara ini kerana saya masih tidak nampak usaha dilakukan tentang perkara ini. Golongan muda perlu ditekankan tentang semangat bahawa kita hidup di sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum terutama di Sabah dan Sarawak itu sendiri. Saya sendiri pernah disoal oleh seorang pelajar dari Kelantan tentang apakah mata wang yang digunakan oleh Sabah. Begitu juga jika kita tanya orang bukan Melayu di Johor tentang Terengganu, saya yakin kebanyakan mereka tidak tahu. Saya pelik kenapa perkara ini berlaku dan seharusnya sistem pendidikan kita perlu diubah untuk menerap pemahaman tentang semangat penubuhan Malaysia.

MINGGUAN: Kenapa tidak sebarang sambutan yang signifikan untuk meraikan 16 September sebagai Hari Malaysia?

KHOO KAY KIM: Ini kerana kebanyakan orang di sini sibuk dengan sambutan 31 Ogos sedangkan di Sabah dan Sarawak mereka tidak biasa dengan 31 Ogos. Namun saya melihat sekarang adalah perlu untuk kita melakukan sesuatu tentang Hari Malaysia. Kita jangan hilangkan semangat ini dan ia boleh dilakukan seperti yang saya katakan tadi, kita mula dengan sambutan 31 Ogos di sini dan dilanjutkan sehingga 16 September.

Tempoh hanya dua minggu sahaja dan kita boleh isikan dengan pelbagai program sepanjang tempoh tersebut. Jika dilaksanakan, ia adalah selari dengan gagasan 1Malaysia supaya kita boleh mendedahkan kepada golongan muda apa sebenarnya yang dimaksudkan tentang hari Malaysia. Generasi muda sekarang saya lihat hidup terlalu selesa dan langsung tidak ada keghairahan untuk mewujudkan semangat Kemalaysian.

Mereka tidak faham tentang perjuangan menentang British dan sekarang akibat dari kehidupan yang selesa maka kita boleh lihat sendiri tentang apa signifikannya Hari Malaysia kepada mereka.

MINGGUAN: Apa harapan Tan Sri tentang Malaysia dalam konteks masa depan?

KHOO KAY KIM: Semuanya terpulang kepada pihak pemerintah. Kalau kita hendak membina sesuatu, kita perlukan cara yang berkesan. Kita tidak boleh berharap kepada golongan dewasa sekarang kerana pemikiran dan cara mereka berbeza. Maka kita kena kembali kepada golongan muda terutama mereka di sekolah rendah. Sistem pendidikan seharusnya memberi penumpuan terhadap perkara perpaduan melebihi dari perkara lain. Kita tidak boleh berharap kepada keputusan peperiksaan di mana markah yang tinggi adalah yang terbaik tetapi dalam soal perpaduan mereka masih terkebelakang. Jika kita mahu melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh maka kita boleh melakukannya. Kita tidak boleh bergantung lagi kepada slogan jika ia tidak dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh.

Sumber : Utusan 20/09/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...