PAGE

Isnin, Oktober 26, 2009

Dahulukan memberi, bukan menerima


Assalamualaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh...

Segala puji-pujian ke hadrat Allah subhanahu wata’ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Sebuah akhbar harian melaporkan satu hasil kajian mengenai kelebihan sifat pemurah sebagai penyumbang kepada keceriaan kehidupan. Kajian terbaru ini mendedahkan bahawa individu yang menderma kepada orang lain sebagai hadiah atau tujuan amal lebih gembira sementara mereka yang hanya menghabiskan wang untuk diri sendiri adalah sebaliknya.

Analisis secara statistiknya mendedahkan bahawa menghabiskan wang untuk tujuan persendirian tidak memiliki apa-apa hubungan dengan kegembiraan manusia, sementara menghabiskan wang untuk orang lain dan kebajikan mempunyai hubungan dengan pemangkin kegembiraan.

Menurut Elizabeth Dunn, ahli psikologi dari University of British Columbia, Vancouver, Kanada yang mengetuai kajian tersebut berkata, “Tidak kira bagaimana banyaknya pendapatan seseorang itu, mereka yang menghabiskan banyak wang untuk orang lain dilaporkan lebih gembira, sedangkan orang yang menghabiskan kebanyakan wang untuk dirinya sendiri tidak sedemikian.” Hasil penelitian ini terbit di jurnal ilmiah dunia, Science, volume 319, 21 Mac 2008. Judul karya ilmiah yang membongkar mitos di bidang ilmu ekonomi itu bertajuk “Spending Money on Others Promotes Happiness” (Membelanjakan Wang untuk Orang Lain Meningkatkan Kebahagiaan).

Melihat gelagat anak-anak kecil bersama ibu bapa ketika berkunjung ke kedai-kedai atau ke pasar-pasar sering menyentuh emosi. Sudah kebiasaan, anak-anak kecil mahukan itu dan ini, sama ada berbentuk makanan ataupun mainan. Ibu bapa yang tidak kisah dalam soal berbelanja, permintaan si anak seumpama itu tidak menjadi masalah untuk ditunaikan.

Saat paling menyentuh emosi apabila melihat hajat si anak tidak ditunaikan. Maka pelbagai cara terpaksa dilakukan ibu bapa agar anak-anak tidak dimanjakan dengan kemewahan hingga semua yang mereka mahukan, akan diperolehi. Selalunya episod seperti ini berakhir dengan luahan emosi kekecewaan di kedua-dua belah pihak.

Episod yang dipaparkan ini merupakan sebahagian dari apa yang kita semua lalui dalam kehidupan. Berbekalkan sumber pendapatan yang diperolehi, sebanyak itulah juga yang terpaksa dibelanjakan bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Bagi individu yang berpendapatan tinggi, soal untuk berbelanja tidak menjadi sebarang masalah. Sebaliknya, tekanan hidup sering terjadi berpunca daripada sumber pendapatan yang terhad.

Amalan berbelanja

Amalan berbelanja demi kepentingan orang lain sudah menjadi cara hidup Islam semenjak zaman Rasulullah SAW. Apa yang menarik tentang kajian yang dipaparkan ini ialah kaitan amalan berbelanja dengan menjana kecerdasan emosi individu terbabit. Kajian ini membuktikan sifat pemurah menyumbang kepada kegembiraan dan keceriaan hidup kita.

Allah SWT menjelaskan, “Orang-orang yang membelanjakan hartanya di waktu malam dan siang, sama ada secara sembunyi ataupun terang-terangan, maka mendapat ganjaran di sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 274)

Dengan kata lain, ganjaran yang Allah sediakan untuk orang-orang yang murah berbelanja untuk orang lain tidak terbatas ganjaran pahala sahaja. Bagi individu yang ikhlas berbelanja, Allah SWT memberi kekuatan emosi dan spiritual dengan cahaya kegembiraan memerangi hati mereka. Pada zaman Rasulullah SAW, ayat al-Quran diturunkan sempena memuji sahabat yang lebih mengutamakan orang berbanding dirinya sendiri. Pada suatu hari, seorang tetamu berkunjung ke rumah Rasulullah, tetapi baginda tiada apa-apa untuk dihidangkan kepada tetamu tersebut. Maka seorang sahabat dari golongan Ansar menjemput tetamu tadi berkunjung ke rumahnya.

Secara kebetulan, sahabat Ansar itu juga tidak cukup makanan di rumahnya, yang ada hanya sedikit sahaja. Apabila tiba waktu makan, sahabat Ansar itu berpakat dengan isterinya supaya lampu dipadamkan ketika waktu makan dan berpura-pura turut makan bersama-sama tetamu tadi, sebagai tanda layanan baik kepadanya. Apabila tiba waktu makan, makanan dihidangkan kepada tetamu yang sudah lama menunggu. Ketika hendak makan, sahabat Ansar dan isterinya melaksanakan apa yang dirancang sebelum itu, iaitu lampu dimatikan dan mereka berpura-pura turut sama makan bersama tetamu berkenaan dalam suasana gelap. Semua itu dirancang supaya tetamu yang hadir itu berasa selesa dengan layanan yang disediakan.

Pada keesokan harinya, Rasulullah SAW menemui sahabat Ansar ini dengan membawa wahyu daripada Allah SWT yang memuji tindakannya melayan tetamu pada malam sebelumnya. Allah memuji sahabat itu kerana sifat mereka yang mengutamakan orang lain dengan firman-Nya, “Dan orang-orang yang telah menempati (mendiami) Kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan (memerlukan apa yang mereka berikan itu). Dan barang siapa yang terpelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung (bahagia).” (Surah al-Hasyr [059], ayat 9)

Kisah Saidina Uthman

Dalam satu peristiwa di zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, pernah berlaku suatu keadaan kekurangan bekalan makanan yang sangat kritikal di kalangan penduduk Madinah. Keadaan itu benar-benar menguji kehidupan masyarakat sehinggakan Khalifah Abu Bakar terpaksa menenangkan keadaan dengan ungkapannya, “Bersabarlah sehingga Allah SWT menolong kamu semua.”



Pada suatu hari, Saidina Abu Bakar mendapat berita bahawa seribu ekor unta yang sarat membawa bekalan makanan telah sampai ke rumah Saidina Uthman al-Affan. Berita itu amat menggembirakan Saidina Abu Bakar kerana kekayaan sebanyak itu datang kepada seorang sahabat yang terkenal dengan sifat dermawan dan suka membantu perjuangan Islam dengan harta kekayaan yang dimilikinya. Beberapa orang peniaga Madinah segera pergi ke rumah Saidina Uthman bertujuan mendapatkan bekalan makanan bagi dijual kepada seluruh penduduk yang amat memerlukannya. Kedatangan para peniaga sudah diduga oleh Saidina Uthman.

Beliau bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu semua mahukan?”

Mereka menjawab, “Kamu mendapat berita bahawa seribu ekor unta yang membawa bekalan makanan telah sampai kepada tuan. Jualkanlah barangan tu kepada kami supaya kami dapat membahagikannya kepada fakit miskin di Madinah.”

Saidina Uthman bertanya kepada para peniaga, “Berapa keuntungan yang kamu sanggup berikan kepada aku bagi barangan yang aku belikan dari Syam ini?”

Mereka menjawab, “Setiap sepuluh dirham, kami bayar dua belas dirham.”

Balas Saidina Uthman, “Aku pernah ditawarkan dengan keuntungan yang lebih daripada itu.”

Mereka berkata, “Kami tawarkan sepuluh dirham dengan empat belas dirham.”

Balas Saidina Uthman pula, “Aku ditawarkan lebih lagi daripada itu.”

Balas peniaga, “Kami tawarkan sepuluh dirham dengan lima belas dirham.”

Jawab Saidina Uthman, “Aku ditawarkan lebih lagi.”

Para peniaga Madinah itu bertanya pula, “Siapakah yang akan membayar keuntungan sebanyak itu kepada kamu, sedangkan kami adalah peniaga-peniaga di Madinah?”

Kata Saidina Uthman, “Dia akan membayar sepuluh untuk setiap satu dirham. Adakah kamu sanggup membayar lebih daripada jumlah itu?”

Mereka menjawab, “Tidak, kami tidak mampu membayar setinggi itu.”


Kaya belum tentu bahagia


Akhirnya Saidin Uthman memberitahu kepada semua peniaga yang hadir itu, “Saksikanlah wahai peniaga-peniaga Madinah bahawa semua bekalan makanan ini adalah sedekah aku untuk fakir-fakir miskin di Madinah.” Berita itu amat menggembirakan Khalifah Saidina Abu Bakar yang selama ini amat mengharapkan krisis kekurangan makanan di Madinah dapat diatasi dengan segera.

Sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh Saidina Uthman dengan kata-katanya, “satu dirham dibayar sepuluh” ialah sebagaimana yang difirmankan Allah SWT, “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan harta mereka di jalan Allah adalah seumpama denga sebutir benih yang menumbuhkan tujuh dahan, pada setiap dahan ada seratus biji. Allah melipat-gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261). Firman-Nya yang lain, “Barang siapa membawa satu amalan yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalannya.”

Hati yang rela, melahirkan pekerjaan yang murni. Kerelaan dan kepasrahan menandakan keikhlasan dan kejujuran yang tidak terperi, tanpa kesangsian dan paksaan. Kejujuran inilah yang melahirkan kegembiraan yang sungguh membahagiakan. Apakah yang lebih diharapkan oleh setiap insan di muka bumi ini selain daripada kebahagiaan? Kaya belum tentu bahagia dan miskin bukan ukuran derita dan sengsara. Lebih baik miskin harta tetapi kaya hati. Kekayaan hati inilah pancaran daripada cahaya kasih sayang sesama manusia. Semangat ‘memberi’ lambang kekayaan hati dan kebahagiaan diri yang suci, hanya mengharapkan keredhaan Illahi.

Kelebihan memberi dapat kita lihat dalam al-Quran dan hadis seperti berikut :

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya)". Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba’ [034], ayat 39)

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya. Dan apa saja harta yang baik (halal) yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka kebaikan dan faedah (pahala) itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan karena mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, niscaya kamu akan diberi pahalanya (disempurnakan balasannya) dengan cukup sedang kamu sedikit pun tidak akan dianiaya (dirugikan).” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Firman Allah SWT yang bermaksud, “(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya karena memelihara diri dari minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 273)

Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak boleh irihati melainkan pada dua perkara: (1) Seorang diberikan Allah harta lalu dia menginfaqkannya pada perkara ketaatan dan (2) seorang diberikan Allah hikmah (ilmu berkaitan Al-Quran) lalu dia beramal dengannya dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Siapakah di kalangan kamu yang menyayangi harta warisnya melebihi dia menyayangi hartanya sendiri? Mereka berkata: Wahai Rasulullah, tiada seorangpun dari kami melainkan dia lebih menyayangi hartanya sendiri. Sabdanya: Sesungguhnya harta seseorang itu adalah harta yang telah dia infaqkan manakala harta warisnya adalah harta yang dia simpan (kerana jika dia mati maka harta yang disimpan itu akan diberikan kepada waris sedangkan harta yang dia infaqkan akan diterima balik pada hari kiamat dalam bentuk ganjaran).” (Hadis riwayat Bukhari)

Dari ‘Adiy bin Hatim r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun dengan (menginfaqkan) separuh kurma.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak pernah Rasulullah diminta sesuatu dan Baginda menjawab: Tidak boleh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Dari Abu Hurayrah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Allah Taala telah berfirman: Berinfaqlah wahai anak Adam nescaya Allah berinfaq ke atas kamu (yakni menggantikan apa yang kamu belanjakan).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dar Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu-pintu syurga : “Hai hamba-hamba Allah, ini suatu kebajikan.” Dan sesiapa berada dari golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk di kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk dari golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk dari kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah. Maka berkatalah Abu Bakar: “Engkau ku tebus dengan ibu dan ayah ku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang-orang yang diseru dari pintu-pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab : “Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kelebihan bersedekah

Daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas, dapatlah kita fahami bahawasanya banyak kelebihan bersedekah. Antaranya :
  1. Membawa rahmat kepada pengamalnya
  2. Penebus dan pelupus dosa
  3. Membuka pintu kebajikan yang boleh menghalang daripada api neraka.
  4. Bersedekah menunjukkan seseorang itu bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah di mana ia merupakan kunci utama ketenangan dan kebahagian hidup di dunia.
  5. Akan dimurahkan rezekinya oleh Allah,
  6. Terhindar atau dipelihara daripada bala bencana, boleh mencegah daripada kematian yang buruk di mana orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah)
  7. Dipanjangkan umur,
  8. Menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.
  9. Tidak perlu bimbang tentang kekurangan hartanya kerana Allah Taala berjanji menambahkan keberkatan ke atas hartanya itu.
  10. Memuliakan maruah seseorang
  11. Merupakan latihan jiwa atau rohani agar diri seseorang itu mempunyai perasaan halus (peka dan prihatin) dan sebagai tanda bersyukur di atas nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.
  12. Sesiapa yang melakukan amal kebajikan dalam apa jua bentuk maka di akhirat kelak seluruh pengawal-pengawal pintu syurga, masing-masing mempersilakan masuk orang-orang yang melakukan amal kebajikan ini melalui pintu yang dijaga mereka dan ada juga segolongan orang yang mendapat penghormatan untuk memasuki kesemua pintu-pintu kebajikan.

Ikhlas memberi


Kesucian hati dan pengorbanan yang kita lakukan akan meletakkan kita pada zone yang akan memberikan kita ketenangan jiwa dan perasaan hingga menghasilkan tenaga dalam diri yang cukup kuat. Tenaga dalaman ini menjana keyakinan diri yang tinggi. Dengan keyakinan diri, terpancarlah keyakinan dan kepercayaan yang tidak mengharap apa-apa daripada membelanjakan sesuatu, hanya mengharapkan redha Tuhan.

Sehubungan dengan itu, mekarlah di mana anda berada dengan banyak memberi, bukan menerima. Sifat positif dan ikhlas anda boleh merubah keadaan. Jangan hanyut dengan suasana, malah binalah suasana kemenangan bersama keluarga, tempat kerja dan masyarakat dengan mengharapkan keredhaan Pencipta. Semangat dan budaya hidup yang digerakkan berteraskan konsep memberi, mampu membahagiakan hati ke arah kehidupan yang diredhai-Nya.

Semoga dapat walau sedikit manafaat daripada entry ini.

Sumber : RMJ dan tambahan sendiri.


~ 睡眠不足のママ ~
http://bawangorengnet.blogspot.com

1 ulasan:

  1. Mokhtar Shaharuddin [mokhtar_s@ymail.com]27 Oktober 2009 pada 6:30 PTG

    Moga-moga dapat amal.
    Memberi ialah cara untuk menerima.

    Dalam kisah surah dalam AlQalam, bila 3 orang pemuda berhenti memberi, Allah menahan pemberiaNya pula kepada mereka. Iaitu kisah 3 orang pemuda pemilik kebun yang diwatisi daripada ayah mereka. Ayah mereka seorang saleh, menjadi amalan dia akan membenarkan kaum miskin masuk kedalam kebih mengambil apa yang mereka mahu selepas dia mengambil keperluan dia. Bila anak mewarisi kebun, dua orang daripada mereka berasa yang ayah mereka tidak bijak. Lalu mereka bertiga akhirnya berpakat untuk menghabiskan semua hasil kebun. memberhentikan pemberian yang ayah mereka buat. Akibatnya pada hari mereka berangkat, bila mereka sampai didapati kebun mereka telah musnah. Namum mereka oang yang beriman, bertaubat, lalu Allah mengganti kebun yang musnah itu dengan kebun yang lebih baik.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...