PAGE

Sabtu, November 14, 2009

Masih ramai wanita tidak tahu hak mereka



JOHOR BAHRU 12 Nov. - Sebanyak 30% daripada 5,000 peserta yang mengikuti program anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Johor sepanjang tahun ini tidak mengetahui mengenai hak mereka.

Malah, akibat 'kejahilan' itu menyebabkan golongan berkenaan terus menjadi mangsa diskriminasi dan penindasan daripada pihak tertentu yang mengambil kesempatan ke atas mereka.

Pengarah Pembangunan Wanita Johor, Rosmawati Mohamad berkata, sikap wanita yang jahil mengenai undang-undang yang boleh melindungi mereka nyata merugikan dan mengganggu kesejahteraan institusi kekeluargaan.

"Kebanyakan mereka yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun dan golongan pertengahan sering berhadapan dengan masalah ini. Mereka tidak memahami konsep pelindungan yang mereka ada.

"Jangan dibiarkan diri kita dijadikan mangsa keadaan disebabkan kejahilan tentang undang-undang. Kita adalah nadi kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program Literasi Undang-Undang untuk Wanita di sini hari ini.

Seminar yang dihadiri kira-kira 200 penjawat awam itu dirasmikan oleh Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) cawangan Johor, Datin Safiah Aris.

Justeru, beliau menegaskan, pemahaman dan pentaksiran tepat berkaitan dengan perundangan khususnya mengenai hak-hak wanita pasti menjamin kesejahteraan wanita, hak asasi dan kebebasan hidup mereka.

Rosmawati berkata, pengetahuan itu juga mampu mengelakkan wanita daripada terus menjadi mangsa keganasan, penderaan, pengabaian serta penipuan golongan yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, adalah penting pengetahuan mengenai undang-undang dipertingkatkan untuk memastikan hak-hak mereka terpelihara dan ketidaksamaan dapat dihindarkan.

Beliau turut menasihati golongan wanita supaya membuang sikap malu untuk mengadu apabila berhadapan dengan masalah yang melanggar hak asasi mereka.

Menurutnya, kebanyakan wanita lebih rela memendamkan sahaja masalah yang dihadapi daripada mendedahkan kepada pihak ketiga yang boleh memberikan khidmat nasihat.

"Sebenarnya banyak kes wanita yang ditindas, namun mereka tidak membuat aduan kerana malu untuk mendedahkan masalah tersebut.

"Kita sering kali mengambil pendekatan pendam dan simpan di dalam hati tanpa kita sedar bahawa ia tidak elok untuk diri sendiri," katanya.

Sumber : Utusan 13/11/2009


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...