PAGE

Selasa, Disember 01, 2009

Beri 'didikan cinta' kepada suami

Oleh Dr Juanda Jaya



Hari telahpun larut malam tetapi ibu kepada anak-anaknya yang lima orang itu tidak juga pulang-pulang ke rumah. Lelaki itu dihinggapi rasa sesal yang membuka-buak di hatinya, bercampur takut dan risau hingga tubuhnya gementar. Sepuluh tahun usia pernikahan mereka tidak pernah sekalipun dia menyatakan penghargaan cintanya yang tulus kepada sang isteri.

Dia memang lelaki yang tidak romantik. Alasannya cukup mudah, buat apa nak tunggu hari bersejarah untuk menyatakan “I love you”? nak bagi hadiahpun, bila-bila masa boleh. Lelaki ini memang agak pemalu dan tidak memiliki jiwa seni langsung. Dia tidak kenal makna sebuah ungkapan syair cinta, tidak biasa memberikan kejutan yang romantik, Apatah lagi nak korbankan duit untuk benda-benda yang baginya tidak penting.

Mula-mula isteri tidaklah cerewet sangat dengan perangai macam “tunggul kayu” suaminya itu. Tetapi lama kelamaan setelah mendengar dan melihat kawan-kawan suami dan adik-beradiknya sendiri begitu meraikan isteri-isteri mereka, timbul juga rasa dengki dan iri hati. Apatah lagi kalau serangan stress datang saat bulan mengambang. Ish… rasa diri tidak dihargai dan disayangi tiba-tiba melanda hatinya. Malam inilah saatnya dia memberi pengajaran kepada suaminya yang tidak hangat itu. Malam anniversary yang ke sepuluh, biar dia rasa duduk di rumah dengan karenah anak-anak yang terlebih manja.

Ulangtahun perkahwinan

Ibu muda itu masih memandang jauh ke tebing sungai yang menjadi tempat tercantik di tengah kota saat malam mendakap bumi. Dia merasa sunyi, sedih dan gelisah apabila melihat beberapa pasangan muda lalu lalang di hadapannya berpegangan tangan. Pandangannya jadi suram, seiring jatuhnya titisan air hujan di atas cermin hadapan kereta, jatuh juga air matanya yang tergenang di pelupuk mata yang tidak mampu lagi membendung alirannya.

Dadanya rasa sesak dipukul soalan-soalan yang tidak kunjung ditemui jawapannya. Mengapa setiap tahun aku hanya diizinkan Allah Taala merasai gementar saja menunggu surprise romantik daripadanya. Tapi semua itu berlalu tanpa ada apa-apa, mengalir begitu saja seperti aliran air sungai yang tidak peduli perlawanan enjin sampan-sampan comel yang dihiasi berwarna-warni menyeberangi ke sana ke mari. Selama sepuluh tahun aku mencintai lelaki yang seolah-olah tidak mencintai aku. Ish… kalau tidak cinta, kenapa kami ada lima orang anak?

Mengapa sikapnya begitu dingin apabila tiba bulan Disember, takkan kerana musim hujan, kot? Padahal dia tahu akhir Disember adalah hari jadi perkahwinan kami. Mungkin juga hujung tahun banyak kerja yang berganda-ganda beratnya. Makin kuat kerja makin banyaklah duit suamiku, tengoklah beberapa harta yang mampu dimilikinya. Ah, buat apa kaya kalau hati merana? Astagfirullah… mengapa aku menjadi kufur nikmat?! Bukankah Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya, “Kebanyakkan wanita masuk neraka adalah kerana tidak berterima kasih kepada suaminya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengapa aku mempermainkan perasaan dengan rasa tidak puas hati kepada suami? Bukankah dia yang menjaga makan minum kami sekeluarga sementara ramai perempuan yang tidak terbela hidup mereka. Yang menjadi mangsa bukan sedikit, yang tidak diberi nafkah, yang diseksa dengan kekejaman dan keganasan. Semestinya aku bersyukur kerana mendapat suami yang bertanggungjawab, walaupun dia bukan dari spesies romantik. Kalau romantik berlebihanpun susah juga. Boleh saja wanita-wanita lain tergila-gilakannya dengan sifat romantiknya itu. Bukankah lelaki yang baik hati lebih mengancam? Tidak kiralah beristeri ataupun belum.

Didikan cinta

Tapi bukankah Rasulullah SAW juga menyuruh para suami untuk menggauli isteri mereka dengan romantik, sehingga Rasulullah SAW sendiri apabila mahu keluar solat ke masjid selalunya baginda mencium isterinya terlebih dahulu? (Hadis riwayat Abu Daud) hadis ini telah menjadi hujah ulama yang menyatakan boleh menyentuh isteri dan ia tidak membatalkan wuduk. Kalau anda pernah merasai seperti mana yang ibu muda ini rasai, janganlah bersedih. Bawa bertenang, enjoy dan releks hadapi apa jua masalah. Jawapan di atas keperitan yang anda rasai ini senang saja.

Pertama, biasanya (ini merupakan rahsia para suami, biar saya beritahu anda) suami sengaja buat tidak tahu kepada isterinya untuk melihat adakah isterinya itu eka dan mahu memulai dahulu melakukan perkara-perkara romantik yuang boleh dinikmati berdua.

Kedua, dia mahu mendidik anda menjadi isteri yang boleh berdikari. Lelaki mempunyai perwatakan tegas, berwibawa dan tinggi maruahnya haram mempamerkan gaya romantik dalam mempergauli isteri. Dia beranggapan bahawa istei perlu dididiksecara tegas supaya dia boleh berdikari. Kemesraan dan perhatian yang berlebih-lebihan terhadap isteri boleh membuat isteri menjadi congeng dan lebik. Baginya perempuan mesti bertanggungjawab sama seperti lelaki.

Ketiga, romantik seolah-olah membawa makna harus menjadi lelaki lembut. Tentu para suami geli dan rasa bodoh menggayakan sikap yang bukan daripada sikap aslinya.

Jadi buat apa anda pening kepala memikirkan bagaimana membuat suami menjadi romantik?

Sebenarnya, isteri lebih sesuai memberi contoh teladan gaya paling romantik. Walaupun suami tidak peduli, teruskan saja menyentuhnya dan memberi perhatian dan layanan yang terbaik, kerana sikap anda adalah proses ‘didikan cinta’ untuk suami anda. Kalau anda memberi, pasti dia akan membalas lebih hebat lagi. Percayalah!

2 ulasan:

  1. Saya tertarik dengan artikel ini, dan berhajat nak letakkan di dlm blog saya... harap diizinkan

    wan anie
    http://tintacomellote.blogspot.com

    BalasPadam
  2. Salam Wan,

    Terima kasih atas kunjungan.

    Silakan ambil jika bermanafaat.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...