PAGE

Rabu, Disember 16, 2009

Lelaki pisau cukur

Ezrul raih lima angka sebulan layan perempuan kaya.

PESAN Ezrul, perempuan jangan mudah terpedaya. - Gambar hiasan

LAZIMNYA panggilan pisau cukur dikaitkan dengan perempuan cantik. Tapi kini, kaum lelaki juga sudah ada yang memegang gelaran itu. Kaki kikis wang wanita atau lelaki ‘spedo’ ini lebih suka hidup senang dengan menagih kemewahan daripada kekasihnya tanpa ada rasa malu. Mereka juga sanggup dibeli dengan wang ringgit dan mengetepikan pandangan negatif umum terhadap mereka.

Bertemu dengan lelaki yang pernah terjebak dengan dunia ‘duit segera’ ini sememangnya merungkai banyak persoalan. Apatah lagi Ezrul, 28 (bukan nama sebenar), langsung tidak lokek berkongsi kisah hidupnya.

“Kemewahan perlu dirasai semua orang. Lebih-lebih lagi bagi yang bijak menggunakan peluang. Mempergunakan orang lain juga adalah satu medium untuk mendapatkan wang, bukan?” lelaki bertubuh sederhana ini memulakan cerita.

‘Ikan emas’

Ezrul mendakwa lantaran tersepit dengan masalah kewangan, dia terdorong untuk mencari kemewahan segera. Apatah lagi dia sekadar lahir dalam keluarga yang sederhana.

“Maklumlah, ibu saya seorang suri rumah dan ayah pula sudah bersara. Adik-adik saya pun masih bersekolah. Jadi kalau nak harapkan duit pencen ayah memang tak cukup untuk menampung perbelanjaan harian. Lebih-lebih lagi saya masih belajar pada masa itu. Keinginan untuk merasai kemewahan juga salah satu faktor saya bertukar menjadi kaki kikis,” ujarnya.

Menceritakan lagi pengalamannya, Ezrul mengakui telah mula menjadi kaki cukur sejak menuntut lagi. Sasarannya pula pastilah wanita-wanita kaya tidak kira muda ataupun yang telah berusia.

“Kalau kita nak hidup mewah, kita kenalah bela ‘ikan emas’. Betul tak? Jadi kebanyakan mangsa saya terdiri daripada wanita yang datang daripada keluarga yang berada. Kadang-kadang wanita yang sedikit berumur dan bekerjaya kukuh pun saya layan. Tak kisahlah bagaimana rupa paras wanita itu, janji saya dapat apa yang saya nak,” Ezrul berterus-terang.



Facebook

Dalam dunia yang serba moden ini, bukanlah perkara yang sukar untuk kaki kikis mencari mangsa.

“Dengan mengakses laman web sosial seperti Myspace dan Facebook sahaja sudah boleh mendapat mangsa. Malah kalau ada yang ‘sangkut’, sampai ke luar negara pun mereka sanggup tanggung,” katanya.

Ezrul berpendapat kaum wanita mudah terpedaya. Mereka terlalu cepat tertipu dengan janji-janji manis lelaki.

“Zaman sekarang bukan lelaki cari perempuan. Tapi perempuan cari lelaki. Lebih-lebih lagi mereka yang dahagakan kebahagiaan. Orang kata dengan duit pun kita boleh beli kebahagiaan. Jadi bagi lelaki seperti saya, memang saya perlukan duit. Kerja saya mudah. Gembirakan mereka dan saya akan dimandikan dengan kemewahan.”

Sejak mendekati perempuan kaya, Ezrul boleh meraih pendapatan sebanyak lima angka sebulan.

“Bayangkan pula hidup saya untuk bulan-bulan yang seterusnya. Tapi semua itu tidak datang dengan percuma. Banyak yang terpaksa saya lakukan untuk kekal hidup mewah. Sepanjang masa saya terpaksa berpura-pura dan melayani kerenah mereka. Tapi bagi memastikan mereka tidak meninggalkan saya, saya mengugut untuk menyebarkan 'aksi-aksi' yang dirakam,” tutur Ezrul tanpa segan silu.

Sering bertukar-tukar pasangan juga menjadi satu kemestian. Kata Ezrul, kalau dia bersama dengan seorang sahaja, tidak mungkin dia boleh hidup senang.

Isteri orang

Katanya lagi, hendak hidup kena pandai termasuk menyimpan rahsia.

“Orang kata pandai makan pandai simpan,” begitu prinsip lelaki ini. Menurut Ezrul, barang paling berharga yang pernah dia dapat ialah seutas jam tangan Rolex yang berharga ribuan ringgit. Jam tersebut adalah pemberian daripada pasangannya yang merupakan isteri kepada seseorang yang berpangkat.

“Bila keluar bersama, saya tak perlu keluar duit. Mereka pun faham kerana saya ialah seorang pelajar pada masa itu. Tak kurang juga ada yang memberi saya kad kredit untuk kegunaan saya. Saya gunakan seribu satu alasan untuk mendapatkan duit daripada mereka. Ada lelaki mereka akan ‘pakai’ sesuatu untuk pujuk pasangan. Tapi saya masih belum sampai ke tahap itu,” katanya berkias.

Setelah bertahun-tahun menjalani hidup dalam keadaan tidak bermoral itu, Ezrul akhirnya menemui peluang untuk berubah.

“Dulu saya sendiri pun tak pasti sampai bila akan jadi begitu. Tapi semuanya berubah apabila ibu saya ternampak saya bersama seorang wanita berusia dalam keadaan berpelukan. Saya jadi kaku dan hanya tuhan yang tahu perasaan saya ketika melihat air mata ibu berlinangan dan dia hampir rebah.”

“Bila saya kenang balik perbuatan saya, saya jadi takut untuk terus bergelumang dengan dosa. Saya juga ada adik perempuan. Sebagai abang, mestilah saya tak nak orang buat perkara seperti itu pada adik saya. Jadi kini, saya dah tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Nasihat saya pada kaum perempuan, jangan terpedaya dengan lelaki sebegini. Nak cari kebahagiaan kena ikut jalan yang betul.”

“Jangan terlalu obses terhadap lelaki. Sebab mereka akan ambil kesempatan di atas kebaikan kita,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta. Ada tanda kejujuran daripada matanya. Ezrul sekarang kembali menjalani kehidupan yang normal dan sederhana. Dia tekad untuk berubah tetapi belum terfikir untuk berumah tangga.

“Buat masa ini biarlah saya sendiri. Lagipun saya dah puas menemani orang lain selama ini. Mungkin inilah masanya untuk saya bermuhasabah diri. Saya ingin tebus balik kesalahan saya dan bertaubat. Saya berharap tuhan boleh ampunkan dosa-dosa saya dan kuatkan hati saya untuk terus berubah demi keluarga saya,” ujarnya.

Sumber : Kosmo!

1 ulasan:

  1. Jgn salahkan si-pisau cukur ni..tak kira samada lelaki maupun pompuan..
    Asking diri sendiri tu..
    kenapa mudah kena tipu?
    atau kenapa sengaja suka ditipu..?
    tepuk sebelah tangan tak kan berbunyi..
    p/s - tapi tepuk gendang tetap berbunyi walau pun sebelah tangan..hee

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...