PAGE

Jumaat, Disember 04, 2009

Positif hadapi kritikan


Bergelar seorang manusia, kita tidak dapat mengelakkan diri daripada dikritik, dicaci dan dihina. Sedangkan Allah yang Maha Pencipta, Maha Hebat, Maha Pengasih pun dicerca orang yang tidak berakal, inikan pula kita manusia.

Kala meniti kehidupan, kita selalu memberi, memperbaiki, mempengaruhi dan berusaha bangun setelah jatuh dan semua ini tidak terlepas daripada kritikan yang sinis, pedas dan menyakitkan. Dan tidak mustahil diri kita dihina tanpa henti sehinggalah kematian menjemput diri. Ingatlah, orang yang duduk di atas tanah tidak akan jatuh. Mereka mungkin marah, sakit hati dan benci atas kebaikan, ilmu, harta dan kejayaan kita. Kita mungkin mendahului mereka dalam apa jua perkara.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah kepada mereka (wahai Muhammad): Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati.” (Surah ali-‘Imran [003], ayat 119)

“….Dan mereka tidak mencela (Allah dan Rasul-Nya), kecuali karena Allah dan Rasul-Nya telah melimpahkan karunia-Nya kepada mereka. Maka jika mereka bertobat, itu adalah lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, niscaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pelindung dan tidak (pula) penolong di muka bumi.” (Surah at-Taubah [009], ayat 74)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Apakah tidak menarik hatimu bagaimana Tuhan menghindarkan daripadaku caci maki dan kutukan orang Quraisy? Mereka mencaci maki dan mengutuk orang yang tercela, sedangkan aku orang yang terpuji.” (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada hadis di atas, dapat kita fahami ada dua sifat yang bertentangan iaitu :
  1. 1. yang terpuji (mahmudah) dan
  2. 2. yang tercela (mazmudah).
Rasulullah SAW adalah manusia yang terpuji. Meskipun ditentang, dimusuhi, mula-mula dengan kata-kata, kemudian dengan makian, penghinaan, ancaman dan akhirnya pembunuhan namun baginda tidak pernah membalas kejahatan tersebut. Baginda tidak pernah marah dan bertindak keras bahkan bersikap tenang dan tidak pernah berputus asa. Nama baginda mencerminkan akhlak baginda yang sekaligus melontar kembali setiap tohmahan dan keburukan yang dilemparkan kepada yang mengutuk itu sendiri iaitu musuh-musuh baginda sama ada dari kaum kafir atau pun dari kalangan kaum munafiqin hingga akhirnya mereka melihat kebenaran yang dibawa baginda dan memeluk Islam.

Bukankah Allah SWT telah memberi peringatan kepada Rasulullah SAW tentang betapa manusia akan lari dan menjauhkan diri sekiranya baginda bersikap keras dan kasar. Sedangkan melalui kasih sayang, hati yang keras menjadi lembut dan cair untuk menerima kebenaran.

Jadi, berwaspadalah terhadap kritikan dan cemuhan. Kuatkan jiwa untuk mendengar apa yang mereka katakan. Jika hati kita terasa terusik, ini bererti kita membenarkan keinginan mereka untuk mengotori hidup kita. Cara terbaik yang boleh kita lakukan ialah dengan terus menunjukkan akhlak yang baik. Usah merasa tertekan terhadap usaha untuk menjatuhkan kita. Ini kerana setiap kritikan itu hakikatnya merupakan ungkapan penghormatan untuk kita.

Berdiam diri itu lebih baik untuk memadamkan api yang sedang marak.

Renung-renungkan!

1 ulasan:

  1. Salam,

    bagus sekali kerna ingat mengingati , pesan berpesanan amat digalakan. kerana kita mudah lupa.

    BalasPadam

Kongsikan komen anda di sini...