Oleh Dr Juanda Jaya
Pemimpin muslim perlu amanah, waspada dengan golongan bencikan kesatuan negara Islam
TANYA seorang sahabat Muslim kepada saya ketika berceramah di Kuching, Sarawak, tidak lama dulu. "Ustaz, adakah sebagai penjawat awam, saya berdosa kerana meluluskan pelan rumah ibadat bukan Islam?"
"Saya pula dalam dilema kerana diarahkan pihak atasan untuk meluluskan permohonan tanah bagi pembinaan kuil di kawasan tapak tanah yang cukup luas," soal seorang lagi sahabat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid di kawasan Petra Jaya.
Saya katakan kepada dua sahabat ini, "Buatlah kerja kamu kerana kamu penjawat awam sebuah negara yang menjalankan polisi memberikan hak dan keadilan kepada semua rakyatnya, Muslim dan bukan Muslim. Bahkan kalau kamu menzalimi golongan zimmi (bukan Islam), dosanya adalah umpama zalim kepada sesama Muslim."
Ini dijelas hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang menyakiti golongan zimmi, maka umpama menyakiti Aku (Nabi SAW)."
Inilah realiti kita di negara ini. Di antara punca dilema ini ialah sebahagian umat Islam tidak faham struktur sebuah negara Islam yang sebahagian rakyatnya adalah golongan bukan Islam yang mengikat perjanjian atau kontrak perlembagaan dengan mereka untuk sama-sama setia kepada sebuah negara.
Apabila sudah berlalunya masa, sebahagian golongan bukan Islam pula lupa daratan dan buat tidak faham terhadap konteks kontrak perlembagaan tadi. Lebih parah apabila isu ini dipolitikkan ke arah merugikan semua pihak.
Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil kepada zimmi yang mengikat perjanjian dengan mereka. Namun yang menjadi masalah ialah apabila sebahagian mukmin lebih menyayangi zimmi berbanding saudara Muslimnya yang dituduh zalim. Mereka tidak menyedari bahawa semangat kebencian keagamaan dalam diri sesetengah manusia terhadap agama lain adalah suatu hal yang tidak dapat dihapuskan dengan mudah.
Tidak dapat dinafikan akan sentiasa wujud pihak yang mahu menimbulkan huru-hara dan anarki dalam masyarakat dengan mencetuskan pelbagai isu yang boleh membakar sentimen terutama isu bangsa dan agama demi memenangkan politik mereka. Sikap mereka yang pandai bermuka-muka tetapi menyimpan agenda jahat terhadap Islam selalu ditopengkan dengan slogan kebebasan bersuara, persamaan hak dan demokrasi. Sekali lagi umat Islam keliru siapa kawan dan siapa lawan dalam membuat keputusan politik.
Mereka mula menuduh sesama Muslim sebagai gagal memberi hak kepada golongan minoriti. Apakah mereka ini sudah 'buta'? Mungkin juga benar mereka 'buta' akibat kerap menukar kaca mata dan sudut pandang hasil berpolitik yang tiada batasan.
Umar bin Abdul Aziz pernah memansuhkan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pentadbiran khalifah sebelumnya mengenai kewajipan membayar jizyah bagi orang yang baru masuk Islam. Padahal dalam syariat, jizyah hanya diwajibkan kepada zimmi saja. Disebabkan jumlah mereka yang ramai masuk Islam sehingga menyusutkan pendapatan negara, maka pentadbir bertindak sewenang-wenangnya mengambil jizyah dari mualaf atas anggapan mereka sengaja masuk Islam secara beramai-ramai untuk menghindari jizyah.
Umar memecat pegawai dan petugas yang zalim ini dan menggantikan mereka dengan orang yang adil dan salih (pandai mentadbir). Beliau memerintahkan hakim agar tidak seorang pun Muslim atau bukan Muslim dihukum tanpa keadilan. (Tarikh al-Tabari Jilid 5 halaman 314-315 dan Al-Kamil oleh Ibn al-Athir Jilid 4 halaman 158).
Meneladani pentadbiran Umar bin Abdul Aziz, pemimpin Islam yang mewakili apa saja bendera politik hendaklah bekerja dengan amanah dan adil, tetapi berwaspada dengan gangguan mereka yang bencikan kesatuan negara Islam. Namun hal ini tidak menyebabkan mereka menafikan hak bukan Muslim yang mengikat perjanjian dengan negara Islam untuk sama-sama menjaga keamanan dan kedamaian masyarakat seluruhnya.
Tuntutan yang bersifat provokasi dan prejudis hendaklah dilayan dengan jawapan yang makruf tetapi tegas dan berwibawa supaya tidak timbul sentimen perkauman yang boleh memusnahkan semua golongan. Jika mereka mahukan penjelasan, kemukakan data dan hujah yang tepat. Jelaskan hak dan tanggungjawab semua pihak, jangan hanya buat perbandingan matematik yang kaku dan tiada perasaan.
Hakikatnya, umat Islam di Malaysia amat menghormati agama lain dan tidak wujud sebarang usaha menzalimi mereka seperti yang dialami umat Islam minoriti di negara lain.
Bukankah ini bentuk bantuan yang lebih bermakna? Padahal umat Islam, contohnya di United Kingdom yang melaungkan slogan kebebasan beragama, amat sukar untuk umat Islam keluar sekejap untuk hadir solat Jumaat, solat Hari Raya sampai perlu dilakukan enam kali kerana masjid yang sempit dan tidak dibenarkan solat serentak hingga memenuhi jalan raya atas alasan mengganggu trafik.
Azan hanya dalam masjid, bahkan sesetengah tempat dilarang pakai mikrofon. Terkini, Switzerland, simbol kebebasan dan demokrasi dunia, melarang pembinaan menara masjid. Apa kaitan menara dengan keadilan dan kebebasan? Inilah slogan yang berbeza dengan amalan, tapi ramai manusia yang 'butakan' kebenaran.
Apa maknanya bantuan wang jika kebebasan beragama disekat, dihalang dan diharamkan? Apakah sehingga perlu pentadbiran agama selain Islam dikuasai pemerintah dan terganggu oleh 'politiking' pentadbir? Pada masa itu nanti, akan timbul tuduhan yang baru pula.
Sumber : BHarianOnLine 2009/12/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...