PAGE

Ahad, Januari 24, 2010

CERPEN : Pak Kaduk

Oleh Nassury Ibrahim


"EH, bukankah itu Pak Kaduk," kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri bagi mengecam dan memastikannya.

"Yelah, bang. Pak Kaduk."

"Apa yang dia buat tu?"

Setelah tiga hari bersembunyi daripada buruan polis kerana mencopek kupu-kupu malam dan merasai diri tidak selamat lagi kerana wajahnya tersiar dalam visual televisyen, Pak Kaduk bercadang melarikan diri dan menyusup masuk ke Malaysia. Dia memberi alasan kepada isterinya mahu mencari kerja kerana ramai yang pulang dari Malaysia jadi jutawan.

"Aku juga mahu jadi jutawan, bu," Isterinya tidak berkata apa-apa.

Hasil bantuan seorang Tekong Malam, dengan bayaran Rp2 juta, Pak Kaduk berjaya menjejakkan kaki di tanah emas Malaysia. Melalui petunjuk seorang teman, dia menemui Bung Karim di Chow Kit dan 'melaporkan' tujuan kedatangannya. Bung Karim menasihati agar dia tidak terlalu mempercayai seseorang dan berhati-hati ketika berada di tempat awam.

"Di sini," Bung Karim menunjukkan jari telunjuknya ke bawah. "Pak Kaduk dianggap pendatang haram."

"Apa itu, Bung?"

"Pendatang tanpa izin."

"Oooo... Aku ke mari mahu cari kerja, Bung. Mahu kerja," bersungguh-sungguh dia menyakinkan tujuan kedatangannya.

"Ah, itu gampang saja!" Bung Karim membetulkan sila. "Di sini kita tidak usah cari kerja. Di sini kita bikin kerja," nasihat Bung Karim, pemegang kad pengenalan merah.

"Kerjanya apa, Bung?"

"Apa-apa saja, asal lumayan."

Maka dijelaskan oleh Bung Karim akan kerja yang sesuai dan hasilnya lumayan. Kata Bung Karim, Pak Kaduk patut jadi dukun.

"Masakan!" Terkejut Pak Kaduk mendengarnya.

"Jadi dukun tak perlu modal besar, Pak. Asal saja pandai bercakap dan diyakini. Pak Kaduk akan dapat wang lumayan dan bisa hidup senang,"

"Aku tidak tahu ilmu pedukunan. Masakan aku bisa jadi dukun! Ah! Main-main aje Bung Karim. Aku berkata benar," jelas rasa kecewa di mukanya.

"Betul, Pak, betul. Kerja ini tak perlu modal besar. Untungnya lumayan."

Bung Karim memujuk agar Pak Kaduk sanggup menjadi dukun merawat tenaga dalam lelaki. Bung Karim memberi beberapa tip untuk berjaya, termasuk berjanji menyediakan modal awal, tempat tinggal dan peralatan niaga.

"Sebagai balasnya, bapak mesti bayar tiga kali ganda daripada modal aku beri," sambil mengangkat tiga batang jarinya. "Kalau bersetuju, aku akan bantu perniagaan bapak."

Setelah berfikir sejenak, Pak Kaduk pun menyatakan persetujuannya. Maka Bung Karim menelefon rakan-rakan agar menghantar segera segala jenis kayu-kayuan: Tongkat Ali, Perdu Bumi, Bakawali, Jarum Emas, rempah-ratus, halia, kunyit dan segala macam. Bahan-bahan itu dimesin dan dimasak bersama-sama minyak nyor. Sisa kayu-kayuan itu dibuat majun.

Berbekalkan minyak nyor dan majun itulah, Pak Kaduk keluar ke Chow Kit menjual impian. Minyak dan majun itu dipamer bersama-sama gambar ghairah wanita dari majalah Playboy dan gambar lelaki kecewa patah berjuang.

"Bapak-bapak jangan jadi seperti lelaki ini," demikian kata Pak Kaduk setiap kali memulakan perniagaan. Kata-kata itu seperti magnet, cepat menarik para lelaki yang lalu-lalang. "Kalah sebelum berjuang," sambil menunjukkan gambar lelaki berkenaan. Para pengunjung mula mengerumuni.

"Kesian wanita ini," sambil menunjukkan gambar wanita ghairah. "Kecewa kerana hajat tidak kesampaian. Mahukah isteri bapak-bapak jadi seperti wanita ini?" Pak Kaduk menatap wajah para lelaki di hadapannya. Semua diam, menanti kata-kata Pak Kaduk seterusnya.

"Kalau begini, isteri bapak akan cari lelaki lain," jarinya menunjuk ke langit. "Tiada guna wang berjuta kalau ini (menunjukkan aksi dengan jari) tidak bisa berfungsi. Mahukah?" Sekali lagi Pak Kaduk memerhati wajah para pengunjung di hadapan. Pak Kaduk rasa makin bersemangat.

"Mahukah digelar lelaki dayus, kalah sebelum berjuang dan isteri dikebas orang?" Pak Kaduk menatap satu demi satu wajah di hadapannya.


Biodata: NASSURY IBRAHIM - NAMA pena bagi Maniyamin Ibrahim yang dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan. Lulusan Diploma Falsafah Sains Islam dan Sarjana Pengajian Melayu ini menulis dalam genre puisi, esei, berita dan kritikan sastera. Karyanya mendapat tempat dalam majalah, akhbar dan buku dalam mahupun luar negara. Kini berkhidmat sebagai Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Sumber : BHarian 2009/10/31

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...