Oleh Zalila Isa
Dunia hampir kiamat. Itulah kalimat yang terucap apabila menyaksikan dan menilai beberapa perkara yang dilakukan oleh manusia hari ini. Batas-batas ketamadunan seorang manusia semakin menipis. Manusia tidak lagi wujud sebagai makhluk tuhan paling mulia berbanding haiwan dan ciptaan Tuhan yang lain.
Menurut SMahadzir melalui artikelnya Antropologi Dalam Al-Quran (laman web YADIM, 22 Mei 2007), terdapat tiga istilah yang menerangkan makna asas manusia, iaitu ‘basyar’, ‘insan’, dan ‘al-nas’. ‘Basyar’ memberikan rujukan kepada manusia sebagai makhluk biologi.
Konsep ‘basyar’ selalu dihubungkan dengan sifat-sifat biologi manusia, iaitu makan, minum, seks, dan sebagainya. Konsep insan pula jelasnya merupakan keistimewaan manusia sebagai khalifah atau pemikul amanah, insan dihubungkan dengan ‘predisposition’ negatif dan positif diri manusia dan insan dihubungkan dengan proses penciptaan manusia. Ini bermakna semua konteks insan menunjukkan pada sifat-sifat psikologi atau spiritual.
Manakala konsep al-nas pula dikaitkan dengan hubungan manusia sesama manusia (hablu minan nas). Al-Quran menjelaskan bagaimana manusia dengan kelompok sosialnya berinteraksi sesama mereka. Ini menunjukkan bahawa al-Quran memandang manusia sebagai makhluk biologi, psikologi, dan sosial.
Manusia hari ini dilihat sebagai satu konsep yang terpisah. Aspek biologi tidak selari dengan psikologi malah terpisah dari konteks sosial. Kerana itu maka terlahir insan dan manusia yang tidak punya nilai yang konsisten. Percanggahan identiti dan krisis nilai yang berlaku menjadikan keadaan semakin tidak terkawal dan mengundang pelbagai konflik.
Bagaimana mahu membentuk ‘basyar’, ‘insan’ dan ‘al-nas’ secara tersusun walaupun Allah SWT sendiri menyatakan sifat manusia itu sentiasa bersemuka dengan yang baik dan buruk iaitu manusia mempunyai predisposisi negatif dan positif?
Firman Allah dalam surah Al-Sajdah yang bermaksud, “Tuhan yang membuat segala sesuatu yang diciptakan dengan sebaik-baiknya dan yang memulakan penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menciptakan keturunannya daripada saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan ke dalam tubuhnya akan roh ciptaan-Nya.” (Surah as-Sajdah [032] ayat 7~9)
Allah SWT menciptakan manusia sebaik-baik ciptaan. Hal yang membezakan manusia dengan ciptaan yang lain ialah akal. Dengan akal, tuhan membiarkan manusia berfikir dan menilai antara yang baik dengan yang buruk.
Islam sebagai agama yang paling sempurna menjanjikan syurga kepada umatnya yang taat dan beriman kepada Allah SWT. Ganjaran pahala dan syurga yang dijanjikan mudah digapai jika umat Islam menurut apa yang diperintahkan dan menghindar apa yang dilarang. Namun, semua itu tidak menjanjikan umat Islam menggunakan akal sebaiknya. Ramai yang tersungkur dan gagal dalam perjalanan menggapai syurga yang dijanjikan. Mengapa hal ini boleh berlaku sedangkan Islam dari aspek penyampaiannya amat jelas kepada umat Islam iaitu setiap perkara yang buruk itu ada balasannya?
Mungkin juga hal ini boleh dikaitkan dengan peristiwa semasa Allah SWT meminta syaitan sujud kepada Adam. Syaitan enggan kerana merasakan Adam yang dicipta daripada tanah lebih rendah tarafnya daripada syaitan yang dicipta daripada api.
Surah al-A'araf, ayat 14-16 menjelaskan, “Iblis menjawab: "Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan." Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.” Iblis menjawab: "Kerana Engkau Telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus.”
Melihat dendam dan keazaman sang syaitan mahu menyesatkan manusia, manusia harus sedar peranan yang perlu dimainkan dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Tanpa iman yang kukuh, syaitan dan iblis dengan mudah menunaikan sumpah mereka untuk menyesatkan umat manusia yang beragama Islam.
Mendidik Manusia Sedari Awal Pembentukannya
Terlalu kerap kita mendengar ungkapan ‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’. Begitu juga ungkapan lama seperti ‘bapa borek anak rintik’, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’, ‘bagaimana contoh begitulah gubahannya’, ‘bagaimana ditanam, begitulah dituai’, ‘bagaimana rupa begitulah bayangnya’… dan banyak lagi. Ungkapan pepatah dan peribahasa lama ini dengan jelas menyatakan bahawa bagaimana kita mendidik si cilik, begitulah nanti dewasanya si cilik dengan didikan kita.
Terdapat pelbagai jenis buku ditulis bagi memberi panduan kepada ibu bapa dalam menghadapi dunia keibubapaan. Sedari penjagaan bayi dalam kandungan, menamakan bayi dengan nama yang baik, panduan penjagaan bayi selepas dilahirkan sehingga bayi berusia akil baligh, serta panduan bagi psikologi ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Tidak terlupakan juga banyak bengkel dan seminar-seminar diadakan untuk ibu bapa menangani konflik dalam penjagaan anak-anak. Pelbagai medium terutama medium berbentuk teknologi dan ciptaan moden diwujudkan bagi membantu ibu bapa memainkan peranan sebaiknya dalam usaha memanusiakan anak-anak mereka.
Al-Quran sendiri memainkan tanggungjawab yang besar dalam mengingatkan ibu bapa tentang peranan mereka mendidik anak. Begitu juga peranan anak terhadap ibu bapa serta hubungan baik sesama manusia.
Kelalaian ibu bapa tidak harus digaduhkan atau dipanjang-panjangkan. Terutama apabila si anak melakukan sesuatu yang tidak baik. Ungkapan ‘bukan salah ibu mengandung’ seringkali diluahkan oleh ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak. Memang bukan salah ibu mengandung sehingga terlahir anak yang begitu atau begini. Namun, kesilapan kecil ibu bapa dan kelekaan yang mereka lakukan tidak harus diambil ringan dan dilupakan begitu sahaja.
Antara kelekaan ibu bapa yang sering berlaku adalah;
1. Kurang berdoa semasa mengandung dan membesarkan anak. Banyak doa yang boleh diamalkan seperti doa Saidul Istighfar, memohon rahmat, memohon zuriat yang baik dan sebagainya.
2. Memberi ajaran tarhib (menakutkan) daripada targhib (dorongan atau motivasi). Biasanya ibu bapa mengambil jalan mudah dengan menakut-nakutkan anak dengan sesuatu agar anak mendengar kata-kata mereka. Antara perkara tarhib yang mereka gunakan ialah menakutkan anak dengan hantu, binatang yang berbisa dan sebagainya.
3. Tidak tegas dalam mendidik anak-anak iaitu tidak mendisiplinkan anak-anak dengan hukum agama terutamanya solat dan aurat sejak mereka kecil.
4. Menegur anak secara negatif dengan menggunakan kata-kata yang kasar dan menjatuhkan maruah mereka. Hal ini harus dielakkan kerana kata-kata ibu dan bapa merupakan doa buat anak mereka.
5. Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani, rohani dan intelektual.
6. Kurang memberi sentuhan kepada anak-anak seperti menghabiskan masa yang berkualiti untuk anak-anak kerana sibuk bekerja.
7. Penampilan diri ibu bapa yang tidak manis untuk anak-anak. Walaupun punya talian darah, etika berpakaian tetap harus dijaga dan batas pandangan antara anak dan ibu bapa harus dipelihara.
8. Institusi kekeluargaan yang tidak harmoni menyumbang peribadi yang tidak seimbang dalam jiwa anak-anak.
9. Tidak mengawasi aktiviti anak-anak. Ibu bapa tidak mengambil tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak di luar rumah, rancangan yang ditonton di televisyen dan sebagainya.
10. Memberi tanggungjawab memelihara anak kepada pembantu rumah sedangkan ibu bapa telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk memelihara dan mendidik anak-anak.
Melihat kepada beberapa kelekaan yang telah dilakukan oleh ibu bapa masa kini, jika tidak ditangani, tidak mustahil setiap hari kita akan membaca berita tentang tingkah laku anak-anak yang tidak masuk akal.
Selalunya anak-anak yang menerima pendidikan dan persekitaran yang tidak baik akan menunjukkan sikap sebenar mereka apabila mereka berada di alam persekolahan atau meninjak usia remaja. Tidak hairan, kebanyakan kes jenayah melibatkan usia remaja. Ini termasuklah anak-anak remaja yang terlibat dalam kes mencuri, mencederakan orang lain, dadah, seks rambang, pembuangan anak dan paling memilukan jenayah berat seperti membunuh dan sebagainya.
Apabila membaca berita begini, terlintas di fikiran kita tentang pengaruh-pengaruh luar yang menyebabkan anak-anak menjadi liar dan tidak terkawal. Ya, pengaruh dari persekitaran memang tidak dapat dihalang. Namun, seperti yang diberitakan sejak awal bahawa keikhlasan menjalankan amanah sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak akan membantu mereka menggunakan akal dalam menerima atau menolak pengaruh yang mendatangi mereka.
Anak-anak umpama kain putih. Ibu bapa adalah pencoraknya. Apabila anak-anak dewasa, mereka akan cuba mengubah atau menokok tambah corak yang telah dilakarkan. Jika corak yang dilukis sedari awal oleh ibu bapa merupakan corak kelekaan, maka apabila si anak dewasa, corak kelekaan itu akan merugikan anak-anak kecuali anak tersebut bijak berfikir dan mencorakkan sendiri kehidupan mereka dengan corak yang bermakna.
Membentuk manusia bukan dengan menghantarnya ke sekolah semata-mata. Setinggi atau selama mana manusia bersekolah, tidak akan mampu mengubah sikap buruknya jika akar umbinya iaitu iman tidak ditanam sedari kecil. Malah sedari awal pembentukan manusia di dalam rahim ibu, manusia di sekelilingnya terutama ibu bapanya harus mencorak diri mereka dengan corak yang bermakna disulami dengan iman dan akal yang utuh. Dengan demikian, generasi yang terlahir dan membesar kelak adalah generasi yang bermakna dan bermanfaat untuk bangsanya dan agamanya.
Sumber : YADiM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...