PENAFSIRAN al-Quran memerlukan mereka yang berkelayakan supaya maksud yang ingin disampaikan tidak berbeza dengan makna sebenar. - Gambar hiasan
Ulama syarat kuasai bahasa Arab kerana kitab suci mengandungi tata bahasa tinggi
ALLAH memuliakan umat Islam dengan penurunan al-Quran, kitab penuh dengan kebesaran dan bukti keesaan Allah. Allah menyifatkan al-Quran sebagai sebaik-baik perkataan peringatan dan kisah (ahsan al-Hadith al-Mathani).
Firman Allah yang bermaksud: "Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya benar antara satu dengan yang lain dan yang berulang-ulang keterangannya dengan berbagai cara." (Surah al-Zumar, ayat 23)
Bidang tafsir adalah bidang paling ramai ulama berkhidmat padanya kerana mereka ingin berkhidmat kepada kitab Allah. Penafsiran al-Quran sentiasa berlaku sepanjang zaman sejak zaman Nabi Muhammad SAW sehinggalah hari akhirat.
Penafsiran al-Quran akan berterusan dan tidak terhenti zaman ini saja. Tafsir bermaksud penjelasan dan keterangan sementara daripada sudut istilah bermaksud ilmu membahaskan cara menuturkan lafaz al-Quran, mengetahui hukum terkandung dalamnya, menerangkan perkara kurang jelas dan mengetahui nasikh, mansukh dan sebab penurunannya.
Oleh itu, ulama menetapkan syarat untuk menafsirkan al-Quran iaitu mengetahui ilmu bahasa Arab kerana dengan ilmu itu dapat mengetahui makna perkataan dengan lebih tepat terutama penggunaannya di kalangan bangsa Arab.
Ilmu nahu dan ilmu Ma'ani kerana al-Quran mengandungi kandungan tata bahasa dan balaghah yang tinggi. Di samping itu, pentafsir perlu mengetahui sebab penurunan ayat, ilmu hadiah, kalam, qiraat dan feqah.
Ini adalah sebahagian syarat untuk menafsirkan al-Quran dan umat Islam disuruh supaya belajar dan memahami al-Quran. Tuntutan tadabur al-Quran supaya Muslimin dapat memahami dan berinteraksi dengan al-Quran secara akal serta hati.
Tafsir al-Ra'yi atau dirayah ialah tafsiran bersandarkan kepada ijtihad dan penelitian oleh ulama dalam memahami al-Quran. Wujud perselisihan pendapat mengenai penggunaan Tafsir al-Ra'yi. Ada ulama melarang penafsiran jenis ini disebabkan dakwaan menyebutkan Nabi Muhammad SAW melarang menggunakan akal dan pendapat sendiri untuk menafsirkan al-Quran.
Oleh itu, ulama mensyaratkan beberapa prinsip dan syarat ketat bagi membolehkan seseorang itu menafsirkan al-Quran supaya tidak mengikut hawa nafsu dan tanpa memiliki ilmu mantap. Perkara ditegah ialah penafsiran mengikut hawa nafsu dan tidak mengikut kaedah ditetapkan.
Mereka berdalilkan hadis dari Ibn Abbas yang bermaksud: "Dan sesiapa yang mengatakan sesuatu mengenai al-Quran dengan pendapatnya sendiri, maka bersiap-siaplah tempatnya di dalam api neraka."
Beliau mengambil pandangan Imam Abu Muhammad Ibn Atiyyah dalam mukadimah al-Muhharrar al-Wajiz yang menyebutkan: "Ini bermakna bahawa seseorang yang bertanya mengenai sesuatu makna dalam al-Quran, kemudian ia menjawab dengan pendapatnya, tanpa mempelajari dulu apa yang dikatakan ulama mengenai hal itu, dan makna yang dihasilkan berdasarkan kepada kaedah keilmuan seperti ilmu nahu dan usul fiqh.
Tidak termasuk dalam kategori hadis ini jika ahli bahasa Arab menafsirkan bahasa al-Quran, ahli nahu mengkaji nahu al-Quran, ahli fiqh mengkaji hukumnya dan setiap orang menghasilkan ijtihadnya yang dibangunkan di atas kaedah ilmu dan penyelidikan, maka orang yang mengeluarkan pendapat dengan sifat seperti itu, tidak termasuk dalam golongan yang mengeluarkan pendapat semata-mata hasil kefahaman pemikirannya saja."
Oleh demikian, pendekatan terbaik menafsirkan al-Quran ialah menggabungkan antara (mathur) riwayat dan (ra'yi) dirayat. Di samping itu, menafsirkan al-Quran dengan ayat al-Quran lain.
Dalam al-Quran ada bahagian daripadanya saling membenarkan bahagian lain. Perkara diungkapkan secara global pada satu tempat diperincikan di tempat lain, perkara yang nampak samar pada satu tempat dijelaskan di tempat lain.
Justeru, ayat dan makna harus diselaraskan satu sama lain sehingga kefahaman menjadi sempurna. Begitu juga menafsirkan al-Quran dengan sunnah yang sahih seperti dijelaskan Rasulullah SAW bahawa al-dhulm yang disebut dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman." (Surah al-An'am, ayat 82)
Kezaliman di sini bermaksud kemusyrikan. Tafsiran sahabat dan tabi'in digunakan kerana mereka mendapat didikan daripada Rasulullah SAW secara langsung. Mereka adalah golongan menyaksikan langsung sebab penurunan ayat al-Quran dan memperoleh pengajaran daripada Rasulullah SAW.
Pentafsir juga perlu menggunakan kaedah bahasa Arab yang betul sesuai pengertian diberikan pakar bahasa. Aspek terpenting ialah memerhatikan pengertian bahasa Arab itu pada masa diturunkan al-Quran. Kefahaman adalah pengertian digunakan pada masa itu atau makna yang dibatasi maknanya.
Di samping itu, memahami dengan mendalam penggunaan sesuatu kalimah dalam al-Quran seperti kalimah ijtanibuhu atau ijtinab yang dipakai dalam ayat larangan meminum arak, ayat larangan bersyirik dan dosa besar.
Kekurangan dalam memahami dan mendalami makna bahasa al-Quran menyebabkan seseorang itu membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Pentafsir juga perlu memperhatikan konteks ayat atau kalimah di tempatnya.
Ayat itu harus dikaitkan dengan konteksnya yang ada. Ia tidak harus diputuskan hubungannya dengan ayat sebelum mahupun ayat selepasnya seperti kalimah 'al-Kitab' yang mempunyai pelbagai makna berbeza dan maksud pada setiap tempat itu ditentukan oleh konteks kalimah.
Al-Kitab itu mempunyai makna al-Quran, ada bermaksud kitab Taurat, Injil dan ada yang bermaksud wahyu Ilahi diturunkan kepada salah seorang rasul Allah tanpa menamakan rasul berkenaan.
Pentafsir juga perlu memerhatikan sebab penurunan ayat. Ibn Taimiyyah menyebutkan, mengetahui sebab penurunan membantu pentafsir memahami sebab ayat al-Quran diturunkan. Imam al-Sayuti menyebutkan, mempelajari tafsir adalah fardu kifayah dan salah satu daripada ilmu Syariat Islam yang penting iaitu tafsir, hadis dan feqah.
Sumber : BHarian 2010/01/05
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...