Oleh Nurul Farina Nazlan [nfarina@bharian.com.my]
ANAK lelaki sering dikaitkan sebagai ‘anak emak’ kerana majoriti mereka mendapat layanan istimewa daripada si ibu berbanding anak perempuan yang lazimnya sering diarahkan untuk melakukan tugas rumah tangga bagi mengurangkan bebanan tugas yang perlu dilaksanakan suri rumah.
Bagaimanapun kedudukan sebagai ‘anak emak’ akan menjadi kurang elok apabila si ibu mula bersikap melangkau di luar sempadan sehingga bersifat keterlaluan dan sampai ke tahap mengongkong kehidupan anak lelaki sehingga ada dalam kes tertentu anak menjadi terlalu bergantung hidup, lalu tidak berani membuat keputusan dalam apa juga hal.
Pensyarah Pusat Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fatimah Yusooff, berkata dari sudut psikologi budaya anak emak berlaku dalam semua bangsa kerana kelahiran anak lelaki memang diharapkan dalam sesebuah keluarga.
“Dalam masyarakat Cina umpamanya, kehadiran anak lelaki sangat dinantikan kerana dia akan memanjangkan susur galur keturunannya melalui pangkal nama keluarga. Keutamaan anak lelaki dalam masyarakat India pula sering dipaparkan dalam filem dan drama mereka,” katanya ketika ditemui Sastera, di Bangi, baru-baru ini.
Selain itu, dalam sesebuah keluarga ibu selalunya menaruh harapan tinggi kepada anak lelaki kerana berharap mereka akan melindungi ibu bapa pada usia tua, meskipun harapan umum sedemikian belum tentu menjadi kenyataan, apalagi dalam kehidupan zaman moden kini, semakin ramai anak perempuan berani memikul tanggungjawab keluarga.
“Sebenarnya, kalau kita pandang daripada sudut positif, budaya anak emak ini bagus kerana anak lelaki berkenaan mengambil berat dan sentiasa menghormati serta mendahulukan ibunya dalam semua urusan, apatah lagi jika anak itu belum berkahwin,” jelasnya.
Sungguhpun demikian, si ibu tidak boleh mengambil kesempatan dengan mengongkong dan mencorakkan anak mengikut acuan mereka kerana si anak perlu diberi ruang serta kebebasan untuk membuat keputusan terutama apabila mereka melangkah ke alam dewasa bagi membolehkan mereka berdikari.
“Anak yang terlalu dibentuk si ibu akan berdepan dengan masalah apabila berkeluarga kerana lazimnya gagal mencorak kehidupan bersama-sama isteri, malahan lebih teruk jika dia suka membandingkan isterinya dengan ibunya sehingga boleh menimbulkan rasa kurang senang pasangannya,” katanya,
Bagaimanapun, Dr Fatimah mengakui dalam beberapa kes yang dikendalikannya, ada segelintir ibu yang tidak sedar bahawa kasih sayang yang keterlaluan terhadap anak akan mendatangkan kesan negatif, sehingga ada kalanya keakraban mereka boleh menggugat perkahwinan si anak.
“Sebenarnya, dalam keadaan tertentu, anak lelaki perlu mengikut landasan Islam dengan meletakkan fungsi mereka sebagai anak dan suami, manakala ibu pula perlu memberi kasih sayang yang adil antara anak lelaki dan perempuan agar tidak timbul masalah pilih kasih dan anak emak,” tegasnya.
Eksekutif Grafik dan Pemetaan, Sapura Secured Technologies, Audi Hani Abdullah, pula melihat budaya anak emak boleh mendatangkan rasa hormat dan sayang anak lelaki, tetapi mereka perlu sedar tidak boleh terlalu bergantung kepada ibu sehingga tidak mampu membuat keputusan besar dalam hidup sendiri.
“Seperti saya, ibu memang ingin saya bekerja dan mencari pasangan dari negeri di utara tanah air kerana takut hubungan kami menjadi renggang jika berjauhan daripadanya, tetapi selepas dijelaskan bahawa peluang pekerjaan dalam bidang saya lebih luas di Kuala Lumpur, dia akhirnya mengizinkan.”
“Perkara ini mungkin sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Sebagai anak kita tidak dapat menafikan apa yang dilakukan ibu sebenarnya banyak kebaikan. Kita selalu mengandaikan ibu berfikiran sempit sedangkan hakikatnya mereka sudah memikirkan sesuatu perkara itu untuk jangka masa panjang,” jelasnya.
Jurutera Penderiaan Jarak Jauh Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, Abdul Malik Yacob, mengakui yang dia memang rapat dengan ibunya kerana sebagai anak sulung beliau sedar dirinya mempunyai tanggungjawab besar terhadap keluarga dan kerana itu masih menetap dengan mereka di Kajang.
“Ibu melarang saya daripada menyewa rumah lain, walaupun saya bekerja di Shah Alam. Ibu pernah mencadangkan agar saya tinggal bersebelahan dengan rumahnya apabila berkahwin demi memelihara keintiman keluarga kami yang sedia terjalin,” katanya.
Beliau tidak menafikan ibunya pernah mencadangkan beberapa pilihannya untuk diperkenalkan kepada dirinya bagi membantunya memilih calon isteri, tetapi dalam masa sama beliau tidak menghalang dirinya untuk memilih teman hidup sendiri, tetapi akan memastikan mereka mempunyai ciri seperti yang dikehendaki ibunya.
“Bagi saya ada kalanya istilah ‘anak emak’ tidak sesuai kerana ada segelintir ibu yang jadi ‘emak anak’ kerana terlalu ingin mengawal kehidupan dan tidak mempercayai yang anaknya boleh berdikari dan membuat keputusan sendiri. Hal ini yang tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Sumber : BHarian 2009/12/17
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...