PAGE

Ahad, Februari 21, 2010

Kaunselor Anda : Ibu cerewet, suka leter


Anak tak wajar benci kedua-dua orang tuanya, malah harus hargai peluang diberikan itu

SOALAN :

Puan, saya anak bongsu dalam keluarga, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang berumur tiga tahun. Sikap buruk saya ialah kurang sabar dan cepat marah yang menyebabkan saya menjadi anak derhaka.

Ibu tinggal bersama kerana amat sayangkan cucunya ini yang rapat dengannya sejak lahir. Saya akui sering membantah kata-kata ibu dan jarang sependapat dengannya, termasuklah soal menjaga cucu yang nakal. Kami seolah-olah tidak serasi tetapi dia tetap tinggal bersama kerana cucu dan kerja suami saya yang selalu bekerja di luar kawasan. Ibu selalu berkata, saya degil dan tidak boleh ditegur seperti ayah saya. Anak saya juga boleh jadi degil seperti saya nanti.

Sebenarnya, saya juga ingin membahagiakan ibu seperti orang lain. Kebahagiaan rumah tangga ini kerana berkat hadirnya seorang ibu. Saya tahu hidup tidak bererti tanpa redanya. Saya sedar dosa dan balasan Tuhan tetapi saya terlalu lemah apabila dileteri dan sikap cerewetnya yang mungkin disebabkan faktor usianya yang kian tua.

Tambah tertekan, sikap ayah dan ibu yang tak bertegur sapa. Kadangkala kerana marahkan ayah, saya dan anak menjadi mangsa ‘mood’ ibu. Hubungan kami baik saja asalkan dia tidak mula berleter. Saya tidak putus berdoa supaya Allah SWT lembutkan hati saya, berzikir setakat termampu. Begitu juga dengan solat sunat. Tetapi saya tetap melukai hatinya.

Saya pernah terfikir lebih baik saya berjauhan daripadanya tetapi kerap pulang asalkan dia bahagia dan saya tidak menambah dosa. Tetapi saya tak tergamak memisahkannya dengan cucu, walaupun untuk sehari. Kenapa saya gagal menjadi anak baik seperti kakak dan abang?

Hamba-Nya yang hina.


JAWAPAN :


Salam kesabaran buat anak yang mencari jalan ke syurga. Syukur setinggi-tingginya ke hadrat Illahi kerana anda adalah hamba Allah SWT paling bertuah di dunia kerana diberi kesempatan tinggal bersama ibu bapa. Ini bermakna anda dijaga oleh ibu yang menyebabkan kita layak menjadi ahli syurga. Ibu anda itu pula sudi tinggal bersama dengan anda.

Sedarlah wahai hamba Allah, bukan senang untuk mendapat kesempatan ibu bapa tinggal bersama anak-anaknya. Tapi anda sudah terbuka hati orang tua mahu duduk bersama anda, maka syukurilah itu.

Ini kerana rezeki anda akan dimudahkan kerana menyara orang tua anda iaitu orang kedua selepas Allah SWT dan Rasul yang wajib anda cintai. Ini dijelaskan dalam al-Quran, surah An Nisaa’:36 yang bermaksud: “Sembahlah Allah SWT dan jangan kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kerabat karib, anak-anak yatim. Menyedari hakikat ini, bermakna anda sedang diuji Allah SWT sama ada anda layak menempah tiket ke syurga melalui jasa berbuat baik dengan ibu bapa. Anda sudah dipilih menjadi calon syurga dan mahu atau tidak, layak atau tidak, adalah pilihan anda.

Jika pilihan anda mahu masuk syurga, Allah SWT melalui jasa baik doa ibu bapa maka anda harus berubah. Sikap ini penting kerana Allah SWT sudah berpesan menurut Iman Ahmad dalam bukunya Az-Zuhd, Allah pernah berfirman: “Sungguh aneh kamu wahai anak Adam. Aku ciptakan kamu, namun kamu menyembah selain Aku, dan Aku beri kamu rezeki namun kamu bersyukur kepada (pihak) selain aku. Kebaikan turun kepadamu tapi kejahatan naik kepada-Ku....”

Daripada pesanan ini ambillah pengajaran bahawa Allah SWT memberikan anda kelebihan tapi anda tidak menghargainya.

Nasihat saya, anda perlu menghargai apa yang di depan mata sebelum barang itu hilang dari kehidupan anda dan kemudian anda menyesal. Perubahan pertama yang anda perlu buat selepas meneruskan apa yang sudah anda amalkan ialah, semak selalu diri anda dari segi minda. Apa yang otak anda selalu fikirkan? Adakah yang anda fikirkan itu positif atau negatif? Setiap hari pada setiap masa , sama ada ada di rumah atau di luar rumah. Jika anda selalu memikirkan yang negatif, bermakna anda belum mengurus fikiran anda dengan baik.

Akibatnya anda selalu melihat sesuatu dengan fikiran negatif. Pemikiran sebegini akan membuat pemiliknya melihat sesuatu dengan pemikiran negatif, salah dan tidak baik. Walaupun sebenarnya banyak kebaikan yang ada hasilnya anda tidak akan berterima kasih dan menghargai apa yang anda miliki. Sulit melihat sesuatu dari sudut positif.

Sikap begini akan menzahirkan perasaan tidak senang, tidak selesa dan sering menyalahkan orang lain jika berdepan keadaan tidak selesa dan selalu berasa diri sendiri lebih benar. Jika inilah pemikiran anda, usahakan untuk belajar mengurus fikiran agar sentiasa memikirkan yang positif saja.

Ini kerana fungsi dan sifat akal itu mampu membuat syurga menjadi neraka dan neraka menjadi syurga. Oleh itu semak sendiri fikiran anda dengan bertanya kepada diri sendiri - apa yang sedang anda fikirkan. Jika memikirkan yang negatif, tukarkan menjadi positif dengan mengaitkannya dengan segala yang ada di dunia ini adalah di bawah kuasa-Nya dan apa yang berlaku, juga dengan izin-Nya. Apabila berfikiran sedemikian, kita serahkan akhirnya kepada Allah SWT tanpa rasa ragu dan bimbang.

Selepas mampu membangunkan gaya berfikir positif, maka semak pula perasaan anda. Adakah perasaan anda juga positif? Selalu semak, apa perasaan aku sekarang? Jika tidak gembira, tukarkan kepada perasaan positif dengan alasan perasaan negatif menjadikan kesihatan muah terjejas. Untuk kekal sihat, bangunkan perasaan positif terhadap semua yang berlaku kerana setiap kejadian yang kita alami, baik positif atau negatif, adalah kemahuan-Nya. Tugas hamba Allah SWT adalah menerima ketentuan-Nya dengan rasa bersyukur dan mereka seperti ini lazimnya dapat menjalani hidup lebih tenang dan mengelak daripada melukakan orang lain, apalagi insan bergelar ibu.

Allah SWT juga ada menegaskan: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah SWT mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (QS Al-Baqarah:216).

Akhirnya belajarlah menambah ilmu kerana ilmu itu adalah cahaya bagi hati, kehidupan bagi roh dan bahan bakar bagi tabiat. Kebodohan itu sangat membosankan dan menyedihkan.

Oleh itu apabila anda ingin sentiasa bahagia, tuntutlah ilmu, galilah pengetahuan, dan raihlah pelbagai manfaat, nescaya semua kesedihan, kemarahan , kepedihan dan kebosanan anda akan lenyap dengan selalu berdoa, “Dan katakanlah, Ya Rabb-ku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan. (QS.Thaha:114).

Selamat menjernihkan fikiran dan perasaan kerana kematian ada di setiap umur. Jangan sampai menyesal kerana tidak puas membalas jasa orang tua. Sementara mereka ada dan anda juga masih bernyawa, tataplah wajah ibu dengan gembira jika mahu mendapat keampunan Allah SWT untuk menjadi penghuni syurga-Nya.

Apa lagilah besarnya balasan kebaikan daripada Allah SWT jika ibu bapa berasa bahagia bersama kita seperti mana kita menyambut kehadiran anak kita. Jangan juga nanti menyesal jika anak kita melayan kita sebegitu rupa nanti kerana lumrahnya alam ‘apa yang kita semai itulah yang kita tuai.’ Oleh itu semailah yang baik agar anak kita nanti akan melayan kita sebagai mana kita melayan orang tua kita. Selamat menjadi contoh terbaik buat anak.

Sumber : Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi) di BHarian 2009/12/06

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...