PAGE

Isnin, Februari 22, 2010

Kaunselor Anda : Calon madu keempat


SOALAN :

SAYA pelajar sarjana, berusia 25 tahun dan bercinta dengan suami orang iaitu ‘L’ berusia 37 tahun. Dia beristeri tiga dan ada sembilan anak serta berharta, bekerjaya dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Isteri pertama dan isteri keduanya, anak yatim piatu sementara isteri ketiganya bekerjaya dan masing-masing berusia 27, 23 dan 27 tahun. Ya, mungkin orang menuduh saya anak dara gilakan suami orang yang berharta. Tetapi itu hanyalah andaian kerana hakikatnya, tidak seburuk itu. Ibu bapa menentang perhubungan saya dengannya kerana status beristeri ramai serta khabar angin L pandai guna-guna (kerana mampu berpoligami). Namun sepanjang perkenalan saya dengannya tiada rahsia, malah semua cerita dan fitnah tersebar itu turut berlaku sewaktu dia mahu berkahwin dengan isteri ketiganya.

Dari segi giliran dan material, L memang adil terhadap isteri-isterinya. Namun, dari segi kasih sayang, L mengakui kasih sayangnya terhadap isteri pertama sememangnya tiada tandingan. Sekurang-kurangnya dia jujur. L juga yang meminta saya segera memaklumkan ibu bapa mengenai perhubungan kami. Apa harus saya lakukan?

CALON KE-EMPAT


JAWAPAN :


Salam ukhuwah buat ‘Calon Keempat.’ Bersyukurlah kerana anda ditemukan dengan orang yang dicintai dan dia turut menyintai anda. Jika dihalusi, pertemuan itu bukan rancangannya anda tapi rancangan Allah SWT. Oleh itu hargailah setiap pertemuan kerana ia pasti menjanjikan sebuah pengajaran yang dapat dijadikan bahan berfikir.

Namun, berfikirlah sehalus-halusnya, agar apa yang anda fikirkan membuat anda berani melangkah ke hadapan dengan lebih berhati-hati. Jika bertindak tanpa berfikir akan membuahkan penyesalan, tapi jika anda sudah berfikir dan bertindak dengan penuh pasrah kepada Allah SWT, maka pasti anda akan dipimpin ke jalan yang benar.

Persoalan yang anda kemukakan ini sama beratnya dengan soalan kajian tesis sarjana anda. Ia harus dinilai dengan lengkap supaya hasil yang anda peroleh bermanfaat pada diri atau dipanggil signifikan sebagai dapatan kajian. Bina soalan kajian yang benar-benar boleh dijawab dengan jujur dan ikhlas serta tidak membuat anda serba salah menjawabnya. Dapatkan kaedah pengumpulan data yang sesuai agar maklumat itu dapat menjelaskan semua kemusykilan dan tidak membunuh diri sendiri dengan penyesalan dan kutukan.

Selepas itu, carilah kaedah yang baik dan sesuai untuk dilaksanakan dengan keluarga agar kajian anda diterima dan diluluskan secara terbuka dan ikhlas oleh semua pihak. Ibaratkan persoalan anda ini salah satu dari tajuk kajian anda.

Pertama ambil cermin muka dan tatap wajah anda sedalam-dalam dan terperinci mungkin. Bukan sekadar melihat kulit tapi melihat sampai ke air muka serta kepada apa saja yang pernah dipapar dan disimpan oleh wajah anda. Antara persoalan yang harus anda tanyakan :
  1. Adakah wajah itu sudah memaparkan hati yang ikhlas terhadap keputusan yang diambil?
  2. Adakah wajah itu layaknya hanya menjadi isteri keempat, bukan isteri pertama?
  3. Adakah wajah itu sudah tidak melihat ke arah harta suami lebih dari hatinya, orang dan keluarga, serta kehidupan sebenarnya sebagai hamba Allah?
  4. Adakah wajah itu pasrah menerima ketentuan tidak adil dan tidak diperhatikan?
  5. Adakah wajah itu masih boleh senyum walaupun menentang pandangan ibu bapa?
  6. Tanya juga adakah wajah itu mampu berdepan keluarga di hari perkahwinan?
  7. Adakah wajah yang sama itu juga sudah mampu tersenyum jika diserang atau dikeji isteri dan anak-anak isteri yang lain?
  8. Apakah wajah itu bersedia andai kata dipinggirkan suami yang sibuk melayan isterinya yang lain.
  9. Juga, apakah wajah itu boleh bersyukur jika suami tidak mengikut giliran yang adil?
  10. Dan teruslah bertanya adakah wajah anda masih senyum jika anda terpaksa memandu sendiri ke hospital untuk bersalin kerana suami bersama isteri lain memenuhi giliran mereka?
  11. Adakah wajah yang sama itu mampu senyum jika disisih oleh keluarga sendiri dan keluarga suami?
  12. Adakah anda masih boleh senyum dengan ikhlas jika suami tidak pernah berhari raya dengan anda kerana memberi tumpuan pada isteri lain yang punya anak dan suami pula keberatan balik ke rumah keluarga anda kerana perkahwinan anda tidak direstui mereka?
  13. Adakah wajah itu akan terus senyum jika nama anda tertinggal dalam wasiat atau dapat bahagian paling kecil kerana anda isteri paling singkat dengan suami?
  14. Apakah anda mampu berdepan semua isteri-isteri yang ada andai kata suami sakit di rumah isteri yang lain?
  15. Dan akhir sekali, adakah wajah itu akan ceria jika tidak dibenarkan melawat jenazah suami yang dikapankan di rumah isteri yang lain?
Jika kesemua soalan ini anda mampu jawab dengan ikhlas dan anda pasrah dengan apa yang akan mendatang, maka teruskanlah hajat anda selepas mendapat izin kedua orang tua terutama wali anda yang akan membolehkan anda diijabkabulkan secara rasmi.

Andai proses ini bermasalah, tandanya anda harus tabah melalui hidup tanpa gelak ketawa keluarga. Sebab itu dikatakan percintaan itu manis dan indah, tapi jika tidak dilayari dengan nama Allah SWT dan pergaulan tidak menurut saluran ditetapkan-Nya, umur berapa pun percintaan itu akan menghadiahkan air mata duka dan perpisahan sebagai hantarannya. Lalu dikatakan jika tiada pengorbanan itu bukan cinta namanya, tapi jangan korbankan kasih sayang Allah SWT dan kasih sayang keluarga pada kita kerana andai hilang dua kasih sayang ini, cinta anda akan bertakhta di neraka.

Oleh itu belajarlah jadi hamba Allah SWT yang benar-benar taat sepenuh hati kepada-Nya, lalu anda merasa sentuhan Allah yang Maha Lembut yang akhirnya mendorong anda menangis sujud bersimpuh pada-Nya setiap masa.

Jika ini sudah anda rasakan, maka mohonlah kepada Allah SWT yang sudah menyejukkan api yang membakar Nabi Ibrahim, agar disejukkan hati keluarga untuk menyetujui calon pilihan anda kerana Allah SWT mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka (QS Al-Fath:18) dan mohon ampunlah kepada Allah SWT kerana doa yang bersungguh-sungguh. Ini kerana orang yang sudah diampun akan lebih mudah dikabulkan doanya kerana Allah SWT sudah berfirman : Berdoalah kamu kepada Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. (QS Al-Mu’min:60).

Pesanan akhir Umi, "Reda Allah SWT ada dalam redanya ibu bapa dan syurga itu di telapak kaki ibu."

# Info

Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan anda ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, 31, Balai Berita, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my

Sumber : Dr Rubiah K Hamzah di BHarian 2010/02/21


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...