PAGE

Khamis, Februari 25, 2010

Masalah sosial: 14 rakyat India bunuh diri setiap jam

NEW DELHI 25 Feb. – India terus bergelut dengan satu daripada masalah sosial yang paling mengerikan – bunuh diri, di mana 14 orang bunuh diri setiap jam di seluruh negara itu.

Biro Rekod Jenayah Kebangsaan (NRCB) dalam laporan terbarunya mendedahkan 125,017 warga India membunuh diri pada 2008 berbanding 122,637 tahun sebelumnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, petani yang menghadapi masalah beban hutang adalah kategori tertinggi membunuh diri dengan 16,196 kes – meskipun mencatatkan sedikit penurunan dari 2007 dengan 16,632 kes.

Tetapi satu hakikat mengejutkan, The Times of India yang memetik kajian NRCB melaporkan kemiskinan yang sering dikaitkan sebagai penyebab utama berlakunya kejadian bunuh diri di India, bukan lagi faktor utama pada 2008.

"Apa yang mengejutkan ialah kemiskinan bukan faktor utama kerana lebih ramai orang membunuh diri kerana keluarga (23.8 peratus) dan masalah kesihatan (21.9 peratus) berbanding konflik percintaan, kebankrapan atau perubahan mengejut dalam kedudukan ekonomi, pertikaian mas kahwin dan kemiskinan,” lapor akhbar itu.

Menurut NRCB, negeri-negeri mundur seperti Bihar, Orissa atau Uttar Pradesh, yang mempunyai sejarah kadar bunuh diri yang tinggi pada masa lalu digantikan oleh negeri-negeri yang lebih maju – Karn ataka, Maharashtra dan Nadu Tamil – merekodkan senarai mangsa tertinggi pada 2008.

Lima bandar metropolitan – Bangalore, Chennai, Mumbai, Delhi dan Hyderabad – menyaksikan trend bunuh diri yang tinggi di India di kalangan 35 bandar raya utama.

Setiap tahun lebih 100,000 kes bunuh diri dilaporkan di India, iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah kes bunuh diri di seluruh dunia. – Bernama

Sumber : Utusan 25/02/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...