Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kisah ayah tua (dan berpenyakit) ditinggalkan oleh anaknya sendiri yang cukup dikasihinya. Kisah seorang ayah tua ditinggalkan keseorangan selepas dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan sakit buah pinggang dan kisah seorang bapa tua yang ditinggalkan di perhentian bas di PutraJaya. Malangnya, warga tua ini dihantar sendiri oleh anak lelakinya ke perhentian bas tersebut. Cuba anda bayangkan, perasaan mereka yang ditinggalkan begitu sahaja. Sampai hatikah anda? Tak dapat saya bayangkan, wajah sedih ayah tua ini akan menghantui anaknya sampai bila-bila. Sebak rasa hati saya bila membaca kisah begini...
Mengapa saya masukkan entry Diarah sara ibu bapa sepanjang hayat dan'Gaji saya tidak cukup', ya? Saya tidak berniat langsung untuk mengaibkan sesiapa, tetapi banyak pengajaran yang boleh kita dapat daripada kisah ini.
Dalam Islam, anak lelaki dipertanggungjawapkan menjaga ibu dan ayah yang telah tua dan uzur, sesuai dengan apa yang telah digariskan oleh syarak. Tanggungjawab membela orang tua tidak tertakluk kepada anak perempuan semata-mata, jika mereka mempunyai anak lelaki. Mengapa saya katakan begini? Sila semak entry Ramai suami tak berilmu? untuk maklumat lanjut. Hairan saya, petikan mengatakan "Raja Suzana, anak kelima daripada lapan beradik ". Ibu dan ayah ini tiada anak lelaki, kah? Saya lihat, lebih ramai anak perempuan yang mengambil-alih tanggungjawap menjaga ibu ayah yang telah tua, bukan adik-beradik lelaki mereka. Mengapa ini terjadi?
Membaca 'Gaji saya tidak cukup' pula, entahlah.. Bagi saya, gaji RM4,400.00 sebulan itu agak besar jumlahnya. Jika hendak diberikan kepada ibu ayah RM1,000 seorang pun cukupi. Adakah pendapatannya jauh dari berkah Allah SWT? Nauzubillah... Kita akan rasa cukup walaupun berpendapatan kecil jika rezeki kita diberkahi Allah SWT. Check list hari ini, adakah kita merasakan pendapatan kita mencukupi? Atau kita pergi kerja dan bertungkus lumus mencari pendapatan lebih tetapi kita masih merasa tidak mencukupi? Jika ini yang berlaku, marilah kita bermuhasabah diri. SEMAKLAH semula hubungan kita dengan Allah.
Dalam berita itu juga mengatakan, "pendapatan bulanannya berjumlah RM4,400 tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan menyebabkan kekurangan itu terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim. Selain itu, dia turut memaklumkan mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank termasuk pinjaman peribadi dan peruntukan gaji yang dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak-anaknya."
Hairannya saya... Dalam kes ini, siapakah BREAD WINNER keluarga? Bukankah suami yang dipertanggungjawabkan dalam soal mencari nafkah? Bukankah Raja Suzana cuma perlu bayar pinjaman peribadi sahaja? Makanan, pakaian dan keperluan lain serta insurans pendidikan anak-anak tertakluk di bawah tanggunjawap suami dia... Pada anggapan saya, memang patutlah ibu dan ayah ini menyaman anak mereka. Mungkin ibu dan ayah ini sebenarnya hendak 'mengajar' menantu, bukannya anak mereka. Ish... Saya tak suka cerita begini... Otak jadi kotor...
Seorang rakan blogger UMMU WAHEEDAH, memberi komen yang agak menarik untuk kita fikirkan : Saya pun serabut, tapi macam-macam kita boleh fikir dari kisah benar ini. Yang saya nampak, kaum wanita yang jadi semakin terdesak... Semua mereka hendak buat, sudahlah kerja dapat suami 'king kontrol', sebab itulah duit tak cukup memanjang... Kalau sampai nak campak mak bapak, memang kurang asamlah. Katanya lagi, kadang-kadang ibu dan ayah juga ada salahnya. Jika anak perempuan sudah semakin lanjut dan masih belum berkahwin, mereka akan buat anak perempuan jadi 'desperate'. Selagi tidak berkahwin, ibu ayah asyik membebel atau mendesak. Tidak mustahil bila asyik diasak sepanjang masa, anak perempuan akan 'terdesak' dan berkahwin dengan sesiapa saja, orang kata kes 'tangkap' muat kerana hendak menutup 'aib' ibu dan ayah yang kononnya anak dara mereka tidak laku.
Seorang sahabat yanglain pula berpesan kepada saya, JANGAN sesekali pindahkan harta yang kita ada kepada waris, selagi kita masih hidup... Logiknya, jika harta telah kita pindahkan kepada sekian-sekian anak, rasa tanggungjawab untuk menjaga kita bila kita tua dan uzur nanti semakin nipis. Jika harta masih dalam genggaman kita, mereka akan dekat dengan kita dan cuba berbuat baik, kerana takut tidak dapat harta pula... Hemmm... Ada juga betulnya...
Hai... DUNiA SEMAKiN KALUT JADiNYA... Apa jua pertentangan dengan ibu dan ayah tidak akan memang sebab Allah sentiasa berpihak kepada mereka, biar apa pun situasinya. Andainya kita derhaka kepada kedua ibu ayah kita menang di dunia, kita tetap dianggap kalah di akhirat. Apa-apa kesimpulan yang boleh kita dapati daripada kisah ini ialah : Ingatlah firman Allah yang maksudnya, "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Lukman, ayat 14)
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 1, bermaksud: “Dan takutlah kepada Allah yang minta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”
Ibu bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah. Ibu bapa juga adalah orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan pertalian darah. Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan yang maha besar dari Allah sebagai orang yang harus dihormati kerana jasa mereka sejak kita dalam kandungan sehingga dewasa. Malah, sehingga kita mati pun, jasa dan pertalian darah antara kita dan ibu bapa tak akan pernah putus. Iman seseorang juga tidak sempurna jika mencalarkan kebeningan hati ibu bapa.
Pernah diceritakan pada zaman nabi mengenai jasa seorang ibu membesarkan anaknya. Kisah ini berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Ada seorang pemuda berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan.
Pemuda itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?”
Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”
Bayangkan betapa beratnya kepayahan yang dilalui oleh pemuda ini, walaupun begitu, jasa kepada ibunya itu tidak terbalas sedikitpun. Begitulah besarnya jasa ibu kepada anak-anaknya. Bila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan mereka, jelas, ia tidak dapat dibalas dengan apa jua perkara yang kita lakukan.
Dan peringatan Rasulullah SAW dalam lewat hadis baginda : Kewajipan kita dalam mentaati kedua ibu dan ayah. Menderhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW pernah menceritakan mengenai dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya, “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Pengajaran yang boleh kita dapati daripada hadis di atas ialah :
1. Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.
2. Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.
3. Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.
4. Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.
5. Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah SWT, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.
Renung-renungkan.
Capaian entry berkaitan :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...