PAGE

Selasa, Mac 09, 2010

Berlumba-lumba mengerjakan kebaikan


Assalamualaikum warahmatullah,

Semangat untuk berlumba-lumba mengerjakan kebaikan adalah di antara perkara yang perlu dicambahkan di dalam jiwa setiap muslim yang beriman kepada Allah SWT kerana dengan cara demikian sahaja manusia boleh mendekatkan diri kepada Allah tuhan rabbul jalil. Selain daripada itu semangat berlumba-lumba juga merupakan suatu tujuan yang paling mulia dan paling utama. Di samping itu juga kita bertanggungjawab pula agar berusaha untuk menghilangkan atau mengurangkan amalan-amalan hina yang membawa kepada dosa dan murka Allah SWT.

Demikianlah dua tujuan besar bagi setiap individu yang beragama Islam iaitu berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan berusaha untuk membuang dan mengikis segala maksiat kepada Allah SWT. Segala perintah Allah adalah kebaikan dan setiap larangan-Nya adalah maksiat yang perlu dihindari oleh semua manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam berbuat) kebaikan, di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Perintah Allah SWT ini adalah berbentuk umum, semua yang beriman kepada-Nya tidak kira di mana ia berada dan apakah bidang yang diceburi, maka hendaklah ia berlumba-lumba mengerjakan kebaikan mengikut keadaan masing-masing. Seorang pedagang hendaklah berbuat baik semasa menjalankan dagangannya. Begitu juga dengan petani yang sepatutnya berlumba-lumba melakukan kebajikan melalui hasil pertaniannya. Islam memerintah agar berbuat baik mengikut bakat dan bidang masing-masing.

Islam menganjurkan kepada ummatnya agar meletakkan sikap berlumba-lumba di dalam kebajikan sebagai kiblat atau tujuan utama kerana dengan sikap demikian segala kejahatan akan terhindar dengan sendirinya. Di situ akan lahir berbagai-bagai kebaikan yang akan membina keselamatan dan kesejahteraan menuju ke arah perpaduan ummat yang sejati yang akhirnya akan membentuk sebuah tamadun manusia yang maju dan berjaya, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan berbuat baiklah kamu mudah-mudahan kamu akan memperoleh kejayaan." (Surah al-Hajj ayat 77)

Di dalam ayat-ayat yang lain juga diterangkan bahawa Allah SWT menggalakkan manusia melakukan perkara-perkara yang baik seperti yang terkandung di dalam surah Al Anbia' ayat 73 yang bermaksud, "Dan kami wahyukan kepada mereka supaya mengerjakan kebaikan-kebaikan, mendirikan solat, menunaikan zakat dan benar-benar beribadat kepada kami."

Begitu juga dengan apa yang terdapat di dalam ayat yang ke 90 dari surah yang sama, mafhumnya, "Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan selalu berdoa kepada kamu dalam keadaan suka mahupun duka. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada kami."

Perbuatan baik yang diperintah ini mencakupi semua aspek kebaikan seperti taat kepada Allah, ikhlas beramal semata-mata kepada-Nya, bermuamalah dengan baik sesama manusia bahkan apa saja yang dianggap baik oleh manusia dan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama dan akal yang sihat.

Ganjaran istimewa dari amal kebaikan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu: dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyerukannya seruan yang didengarinya oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah." (Abu ad-Dardaa' r.a.)

Dalam menghadapi kehidupan dunia manusia mestilah berwaspada, jangan mudah terpedaya dengan perkara yang melalaikan diri daripada berusaha mengerjakan amal kebaikan lebih-lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya. Dalam hadis ini Rasulullah SAW menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari terdapat dua malaikat yang menyeru manusia supaya:
  • Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang untuk mencapai keredhaan Allah.
  • Mengambil ingatan bahawa pendapatan seharian yang diperoleh meskipun sedikit tapi mencukupi keperluan hidup di dunia yang meliputi harta benda dan nikmat-nikmat yang lain sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan yang banyak tetapi melalaikan manusia itu daripada mengerjakan amal ibadat dan kebajikan sebagai bekal untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
Sesungguhnya manusia yang membelanjakan harta benda, ilmu pengetahuan dan tenaganya di jalan Allah akan sentiasa didoakan oleh malaikat semoga Allah memberikan balasan yang berganda-ganda untuk dirinya, sebaliknya bagi yang bakhil, didoakan agar ditimpa kerugian yang besar.

Renung-renungkan dan selamat beramal!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...