Iktibar dari kisah benar yang berlaku di mahkamah syariah.
BERIKANLAH isteri hak ke atas apa yang sepatut menjadi haknya. Biarpun mungkin terdapat sedikit 'kekurangan' dan 'tidak sempurna' seperti wanita normal namun hak isteri mesti dihormati.
Itu antara pengajaran yang dapat dikupas dan menjadi renungan hasil penghakiman seorang Hakim Syarie di salah sebuah Mahkamah Syariah di Selangor baru-baru ini. Hakim berkenaan membaca sepotong hadis yang bermaksud: "Di akhirat nanti ramai lelaki yang berjalan dalam keadaan bahu akan menjadi senget. Ia adalah akibat tidak berlaku adil kepada isteri-isteri mereka.''
Sebenarnya, jika melihat kepada fakta yang dibentangkan dalam prosiding itu, maka jelaslah permohonan itu bukanlah didorong oleh perasaan meluap-luap seorang suami untuk beristeri lagi. Ini kerana hakim tersebut, dalam penghakimannya ada mengimbas sedikit sebanyak fakta yang pernah dibentangkan di hadapan beliau.
Keikhlasan suami untuk membahagikan kasih sayang antara isteri pertama dan bakal isteri jelas tergambar apabila beliau mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran berpoligami ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Demi keadilan, semua saksi iaitu pemohon dan isteri pertamanya, serta bakal isteri dan juga wali kepada bakal isteri (bakal bapa mertua) tampil memberikan keterangan. Suami dalam keterangannya berjanji akan berlaku adil dalam semua hal dan tidak membeza-bezakan kasih sayang. Pemohon yang mengusahakan bengkel membaiki bot dan memiliki perniagaan menyewa kenderaan iaitu lori dan bas, menyediakan tempat tinggal bakal isteri (kini tunangannya) di Selangor. Manakala isteri pertamanya akan terus tinggal di kediaman mereka sekarang.
Pengertian sepotong hadis turut dibacakan kepada pemohon agar sentiasa menjadi pedoman sepanjang menjalani hidup berpoligami kelak. Terdapat perkara menarik yang dikupas dan diberikan penjelasan panjang lebar oleh hakim melalui hadis nabi tersebut. Ia mengenai hak atau giliran bermalam antara isteri. Sekiranya bakal isteri yang akan dinikahi itu berstatus anak dara maka giliran bermalam selama tujuh malam berturut-turut. Akan tetapi, jika bakal isteri ialah janda maka gilirannya, tiga malam sahaja. Namun tempoh tersebut hanya bagi peringkat awal perkahwinan, tegas hakim.
Peguam Syarie, Amli Embong yang pernah mengendalikan kes-kes permohonan untuk berpoligami, melihat tindakan pemohon berkenaan sebagai langkah yang terbaik bagi kedua belah pihak.
Mengambil keputusan bernikah di sempadan dan merahsiakannya, seolah-olah menjadi ikut-ikutan sejak dahulu hingga kini. Amli bimbang perkahwinan di sempadan barangkali tidak sah kerana ia mungkin dikendalikan oleh juru nikah tidak bertauliah. Akhirnya, mereka akan berhadapan tindakan undang-undang. Selangor adalah antara negeri yang ketat meluluskan permohonan berpoligami jika dibandingkan dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Jika melihat Seksyen 23(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, ia menetapkan keperluan mendapatkan izin mahkamah sebelum seseorang lelaki mahu berpoligami.
Pun begitu, andai kata mahkamah mendapati pemohon sesungguhnya memang layak dan memenuhi kriteria untuk berpoligami, sungguhpun isteri terdahulu tidak bersetuju, permohonan tersebut tetap diluluskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...