PAGE

Jumaat, Mac 26, 2010

Cuba bunuh diri selepas berpisah dengan kekasih

Anggota polis berjaya menahan seorang lelaki yang cuba membunuh diri di Bandar Seri Alam, Masai, semalam.


JOHOR BAHRU 25 Mac - "Jangan cuba masuk dalam rumah kalau tidak aku bunuh diri," demikian jerit seorang lelaki yang mengancam membunuh diri akibat dipercayai kecewa kerana cemburukan kekasihnya.

Lelaki tersebut yang dipercayai berasal dari Sarawak itu beberapa kali mengancam untuk membunuh diri dengan melilitkan wayar pada leher.

Dia yang berusia dalam lingkungan 30 tahun memasukkan wayar itu ke dalam soket sementara tangannya memegang sekeping kaca untuk menikam dadanya.

Ibarat adegan di dalam filem, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam di Jalan Tasek 42, Bandar Seri Alam, Masai dekat sini, menggemparkan jiran dan orang ramai di kawasan tersebut.

Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam yang menerima panggilan mengenai perkara itu bergegas ke tempat kejadian, namun gagal untuk memujuk lelaki terbabit.

Drama pujuk memujuk berlarutan selama tiga jam menyebabkan pihak polis terpaksa memanggil kakak lelaki tersebut dan juga kekasihnya.

Beberapa jiran yang ditemui memberitahu, lelaki itu gagal mengawal perasaannya apabila mendapati kekasihnya yang juga seorang ibu tunggal beranak satu mengambil keputusan untuk berpisah dengannya.

Walaupun kekasihnya cuba memujuk supaya jangan membunuh diri tetapi lelaki tersebut tidak dapat menerima kenyataan tersebut dan enggan mengendahkan rayuannya.

Suasana semakin panik apabila lelaki terbabit menjerit-jerit supaya kekasihnya kembali kepadanya tetapi kekasihnya menyuruhnya supaya melupakannya.

Setelah berlarutan hampir tiga jam lelaki terbabit kemudian naik semula ke bilik atas dan memanjat siling serta cuba melarikan diri melalui bumbung rumahnya.

Bagaimanapun, hasrat lelaki terbabit untuk terjun berjaya ditenteramkan oleh anggota polis dan kemudian menahannya di bumbung rumah tersebut.

Lelaki terbabit kemudian ditahan di IPD Seri Alam untuk siasatan lanjut kerana cubaan membunuh diri.

Sumber : Utusan 26/03/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...