Pemuda baru sedar lebih menyintai X daripada sepupunya
SOALAN:
SAYA berkawan baik dengan gadis X sejak kecil lagi. Kami kawan sepermainan dan saya menganggapnya sama seperti kawan lelaki lain. Apabila dewasa, saya jatuh cinta dengan sepupu X. Kami bercinta tetapi malangnya, saya tidak bahagia seperti berkawan dengan X. Saya keliru, mungkinkah saya sebenarnya menyintai X selama ini tetapi tidak menyedarinya. Berterus terang pula hanya menjadikan kekasih saya kecewa sedangkan menyimpan rasa pula jadikan menyebabkan saya merana.
Lelaki Keliru.
JAWAPAN:
WAHAI Lelaki Keliru yang dikasihi, keadaan anda benar-benar ibarat kata pepatah ‘ditelan mati emak, di luah mati bapa’ tapi itulah yang harus anda hadapi kerana anda tidak pasti apa yang anda cari selama ini. Inilah padahnya apabila sudah terlajak kasih.
Lebih malang lagi, anda tidak memahami diri sendiri sehinggakan, anda berasakan boleh memilih siapa saja yang anda mahukan, mengikut mata dan selera dengan membelakangkan kata hati. Anda melihat wanita tidak ubah seperti ikan di pasar. Suka pilih-pilih tetapi apabila salah pilih, anda kalut. Sebab itu anda dihukum Allah SWT dengan rasa gelisah dan hilang keyakinan diri dan hilang tumpuan.
Keadaan ini bertambah buruk bila anda berasakan anda paling berhak memilih tanpa memikirkan perasaan orang yang akan anda pilih. Namun begitu anda masih mampu memperbaiki diri dan keputusan anda andainya anda mahu berlaku jujur dengan diri sendiri dan dengan kekasih anda juga dengan wanita X. Sebagai orang yang sedang membuat pilihan, maka nyatakan apa yang terbuku di hati dengan penuh sedar dan insaf kepada kekasih anda sekarang bahawa anda tidak mendapat kedamaian dalam hubungan bersamanya kerana diganggu kenangan manis bersama X. Dan perasaan itu sebenarnya sangat mendalam dan anda tidak dapat melupakan dia.
Bagi Umi, mengakulah kesilapan yang anda lakukan kepada sepupu X yang dipilih sebagai kekasih selama ini. Ini sangat penting, kerana anda belum bernikah. Jika anda tidak mampu berterus terang sekarang kepada kekasih anda sekarang, berkemungkinan anda tidak dapat memanjangkan usia perkahwinan di masa akan datang. Kasih tidak dapat dipaksa dan kita tidak mampu membohongi hati. Jika kekasih dapat menerima keadaan ini walau betapa pun lukanya, ini sudah sangat baik kerana dia mengetahui perasaan anda sebenar sekarang dan sebelum melintasi gerbang perkahwinan.
Lebih penting, dia masih anak dara dan bukan bergelar janda pada usia muda apabila anda bertindak menukar fikiran. Bermohon kepada Allah SWT agar X mampu memahami perasaan yang sedang anda alami sekarang. Jika nasib baik menyebelahi anda, anda boleh memohon bantuan kekasih anda untuk menyampaikan hasrat hati anda kepada X. Andai kata diterima maka Alhamdullillah...tapi jika sebaliknya berlaku, bersabar dan mohon bantuan Allah SWT sebanyak-banyaknya. Tapi jika anda mampu dan berpeluang menyatakan sendiri isi hati dan menerangkan apa yang anda alami selama ini adalah paling baik, mungkin melalui e-mel atau sistem pesanan ringkas tanpa orang tengah.
Namun segala keputusan adalah terserah kepada Allah SWT kerana manusia hanya mampu berusaha, tapi hasilnya di tangan-Nya. Tetapi risiko yang perlu anda hadapi ialah anda bersedia menghadapi kemungkinan hilang kekasih sekarang atau hilang kedua-duanya sekali. Doa Umi agar anda lebih bertanggung jawab terhadap diri anda. Jika terlaksana apa ‘pucuk dicita ulam mendatang’ hargailah dengan penuh keinsafan dan kesyukuran kepada Allah SWT sebanyak-banyaknya.
Namun jika sebaliknya, sabarlah meneruskan kehidupan. Bangunkan keyakinan bahawa Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi, kaum itu tidak mengubahnya. Allah SWT tetap bersamamu dalam keadaan apa sekali pun Mohon petunjuk dan kekuatan daripada-Nya kerana hanya Dia mengetahui siapakah jodoh kita.
Info
Bagi pembaca yang ingin berkongsi masalah dan pendapat dengan Dr Rubiah K Hamzah, anda boleh menghantar soalan anda ke alamat Ruangan Kaunselor Anda, Berita Minggu, 31, Balai Berita, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau e-mel bminggu@bharian.com.my
Sumber : Bersama Dr Rubiah K Hamzah [bminggu@bharian.com.my] di BHarian 28/03/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...