PAGE

Ahad, Mac 28, 2010

Q&A : Perlu sujud sahwi jika lupa lakukan tahiyyat awal

Persoalan Agama: Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

SOALAN :

ADA rakan saya yang menunaikan solat Zuhur dan Asar tetapi dia meninggalkan tahiyyat awal iaitu terus bangun selepas rakaat kedua. Saya menegurnya mengenai perkara ini dan dia menjawab bahawa tahiyyat awal itu adalah sunat. Apakah pandangan ustaz mengenai perkara ini, adakah ia benar.

AHA
Kulim, Kedah


JAWAPAN :

DI SINI saya ingin memetik buku Indahnya Hidup Bersyariat ditulis oleh Datuk Ismail Kamus yang seharusnya ada di setiap rumah orang Islam sebagai panduan mudah dalam melaksanakan ibadat.Di dalam solat, ada dua jenis sunat iaitu pertama, sunat Hai’ah dan kedua, sunat Ab’adh.
Sunat Ab’adh adalah sunat yang dikuatkan, yang seandainya terlupa mengerjakannya maka disunatkan sujud sahwi. Ia mengandungi tujuh perkara iaitu tahiyyat awal, selawat dalam tahiyyat awal, duduk tahiyyat, doa qunut dalam solat Subuh, selawat dalam qunut, berdiri ketika qunut, selawat ke atas keluarga Nabi ketika tahiyyat akhir.

Justeru, tahiyyat awal yang saudara maksudkan itu jika ditinggalkan tidaklah membawa kepada batal solat tetapi perlu melakukan sujud sahwi menurut mazhab Syafie.

Manakala sunat Hai’ah pula sunat yang apabila ditinggalkan, tidak perlu melakukan sujud sahwi. Ada 14 perkara, antaranya mengangkat tangan ketika takbir, membaca doa iftitah, membaca A’uzubillah (Taawuz), membaca ‘Amin’ selepas al-Fatihah dan sebagainya.

Dalam kitab Bulughul Maram oleh Ibn Hajar al-Asqalani meletakkan satu bab Sujud Sahwi dan memetik hadis, daripada Abdullah bin Buhainah, bahawasanya Nabi SAW pernah bersolat Zuhur berserta mereka, lalu Baginda berdiri sesudah dua rakaat yang pertama, (iaitu Baginda tidak duduk tahiyyat awal), maka orang pun berdiri bersertanya, hingga apabila selesai solat dan orang-orang tunggu untuk salam. Baginda bertakbir sambil duduk dan Baginda sujud dua kali sebelum Baginda memberi salam.”

Wallahualam.

Sumber : BHarian 28/03/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...