Mereka yang mencatat BMI 30 ke atas perlu menitikberatkan pengurusan berat badan
OBESITI atau kegemukan ialah masalah sejagat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015 ada 2.3 bilion orang yang berusia 15 tahun ke atas boleh dikategorikan sebagai terlebih berat, manakala 700 juta yang lain dalam kategori obes. Selain itu 20 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun didapati terlebih berat pada 2005.
Kadangkala tindakan mengawal pemakanan, mengambil pil diet, bersenam atau kaedah menyedut lemak bukan lagi jawapan terbaik untuk menurunkan berat badan. Apatah lagi jika anda memiliki jisim berat badan (BMI) melebihi 37.2! Dikategorikan sebagai morbid obesiti, anda sebenarnya memerlukan kaedah pengurusan berat badan yang lebih baik.
Ada banyak prosedur perubatan yang selamat untuk anda pilih apabila berat badan mula mencecah kategori obes. Jangan tunggu sehingga BMI 37.2, sebaliknya jika BMI anda sudah mencatat angka 30 ke atas, ditambah dengan faktor rekod perubatan keluarga yang buruk, anda layak untuk memilih jalan pintas untuk kurus.
Pakar Runding Am, Gastrousus dan Pembedahan Laparaskopik, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr Lukman Mohd Rashid, berkata ada banyak prosedur perubatan yang selamat boleh dipilih mereka yang obes dengan syarat merujuk kepada doktor pakar untuk kaunseling dan nasihat.
"Nasihat doktor membantu seseorang itu membuat pilihan terbaik berdasarkan kemampuannya. Ada sesetengah prosedur pula tidak boleh dilakukan kepada kanak-kanak," katanya. Dr Lukman berkata, antara prosedur perubatan yang boleh dipilih ialah balon intragastrik atau pembedahan ikat perut (gastrik banding).
"Jika dibanding antara kedua-duanya, balon intragastrik ialah prosedur tanpa pembedahan, tidak kekal dan agak murah jika dibanding dengan teknik yang lain), manakala gastrik banding membabitkan pembedahan dan lebih mahal," katanya.
Belon intragastrik
Prosedur belon intragastik sudah dikenali sejak 1980. Berbanding pembedahan 'gastrik banding', prosedur ini bersifat sementara dan dianggap sebagai terapi menurunkan berat badan.
"Belon intragastik tidak membabitkan pembedahan. Sebaliknya, satu belon silikon akan dimasukkan ke bahagian perut dalam prosedur ringkas yang mengambil masa sekitar 30 minit," katanya.
Dalam prosedur ini, belon yang dibuat daripada silikon lembut akan dimasukkan ke dalam perut melalui mulut berpandukan kamera endoskopik. Bius am digunakan (atau sedation 'bius separa' boleh digunakan), membantu otot lebih rehat dan memudahkan prosedur. Apabila belon dimasukkan, ia akan diisi dengan saline (cecair) bersteril menerusi tiub kecil yang dilekat bersama belon. Belon mampu menampung cecair antara 400 cc hingga 700 cc bergantung kepada kesesuaian pesakit) yang mengisi sebahagian besar ruang perut. Disebabkan prosedur yang singkat, pesakit juga boleh pulang ke rumah selepas 24 jam.
"Bagaimanapun, belon tidak boleh lama berada dalam perut untuk mengelak komplikasi pecah jika digunakan selama lebih daripada enam bulan. Selepas itu, ia akan dikeluarkan dalam satu lagi prosedur ringkas. Ia adalah teknik pilihan, terutama kanak-kanak obes," katanya.
Kata Dr Lukman, belon yang mengisi sebahagian perut menyebabkan pesakit berasa kenyang dan kurang berselera makan. Tanpa pembedahan, prosedur ini hanya menyelaraskan diet dan mengubahsuai tingkah laku. Dalam tempoh enam bulan, seseorang itu mampu menurunkan berat badan sehingga 15 kilogram. Malah dalam dua minggu pertama, pesakit mampu mengurangkan hingga empat kilogram.
"Sebenarnya mengekalkan berat badan itu yang lebih sukar berbanding menurunkan berat badan. Walaupun belon akan dikeluarkan selepas enam bulan, tetapi mereka yang berdisiplin mampu mengekalkan berat badan. Mereka akan memperoleh berat badan ideal dan mempertahankannya tanpa bantuan belon," katanya.
Pembedahan ikat perut (gastrik banding)
Pembedahan ikat perut ialah satu lagi prosedur pembedahan mengawal berat badan yang popular. Tidak seperti belon intragastrik, prosedur ini membabitkan pembedahan dan memakan masa antara satu ke dua jam.
"Bagaimanapun, prosedur ini disarankan kepada mereka yang mengalami masalah morbid obesiti dan mengelak komplikasi penyakit yang berkaitan dengan obesiti. Ia bukan pembedahan kosmetik," katanya.
Kata Dr Lukman, morbid obesiti mahupun obesiti adalah ancaman kesihatan yang membawa kepada komplikasi penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi dan masalah berdengkur atau pernafasan. Malah, kemandulan juga boleh dikaitkan dengan morbid obesiti.
Justeru, ia seharusnya tidak disalah guna oleh mereka yang tidak sepatutnya. Misalnya, model yang ingin kekal kurus. Dalam prosedur pembedahan ikat perut, gegelung silikon penyekat akan diletakkan di sekeliling perut untuk membentuk perut seperti punjut kecil. Bahagian yang dijerut dengan silikon menyebabkan laluan atas perut itu sempit. Ini membuatkan pesakit berasa kenyang walaupun pengambilan makanan dihadkan. Malah dalam sesetengah kes, jika pesakit itu masih menikmati makanan sesuka hati, dia akan termuntah. Namun, prosedur begini memerlukan kerjasama dan disiplin pesakit.
Dr Lukman berkata, walaupun makanan pejal tidak boleh melepasi ikatan perut tetapi makanan dalam bentuk cecair boleh melepasinya. Justeru, pembedahan ini tidak akan mencapai sasaran jika pesakit masih mengambil minuman dengan kadar kalsium atau karbohidrat yang tinggi.
Dalam prosedur ini, bahagian atas perut akan diikat tetapi kedua-dua bahagian akan disambungkan ruang saluran kecil. Makanan akan melalui ruang ini daripada bahagian atas perut dengan lebih perlahan menyebabkan rasa kenyang lebih lama. Gegelung yang mengikat bahagian perut boleh dilaraskan kerana bahagian permukaan dalamnya boleh diisi dengan larutan bergaram atau dikempiskan untuk mengubah saiz ruang, seperti gelung tekanan darah. Ia disambungkan menerusi tiub ke takungan larut garam yang diletakkan di bawah kulit dan lemak ketika pembedahan. Takungan ini tidak boleh dilihat tetapi dirasai apabila anda menekan abdomen. Selepas pembedahan, doktor boleh mengawal larutan bergaram dalam gegelung memasukkan jarum halus menerusi kulit.
Pembedahan ini membantu pesakit menurunkan hingga 40 peratus berat badannya. Bagaimanapun, jumlah itu berbeza untuk setiap orang. Ikatan pada perut juga boleh dibuka jika pesakit sudah mendapatkan berat badan yang sesuai atau berubah fikiran. Kata Dr Lukman, berbanding belon intragastrik, prosedur ini agak mahal bergantung pada pusat rawatan yang dipilih pesakit.
INFO: Obesiti dan prosedur ikat perut
- Senaman, diet dan pil kurus bukan jawapan terbaik untuk anda yang mengalami morbid obesiti
- Prosedur menurunkan berat badan boleh dilakukan sekiranya BMI anda melebihi 30
- Belon intragastrik adalah prosedur tanpa bedah dan dilakukan dalam masa 30 minit
- Belon intragastrik bagaimanapun bukan prosedur kekal. Belon perlu dikeluarkan enam bulan selepas prosedur.
- Pembedahan ikat perut adalah prosedur popular menurunkan berat badan bagi mereka yang morbid obesiti.
- Pembedahan ini membabitkan jerutan bahagian atas perut dengan gegelung boleh laras
- Selepas pembedahan, pesakit perlu mematuhi diet yang disarankan dan membuat rawatan susulan.
Sumber : Hafizah Iszahanid [hafiza@bharian.com.my] di BHarian 2009/08/23
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...