PAGE

Khamis, Mac 25, 2010

Usah jadikan gemuk, badan berbau alasan bercerai

Gambar hiasan


Wajarkah masalah kegemukan dan badan berbau menjadi pencetus kepada perceraian?


BENARKAH tubuh badan yang gemuk, berbau busuk serta tidak pandai menjaga keterampilan diri khususnya ketika hendak melakukan hubungan seks dikatakan antara faktor penyebab berlakunya perceraian di negara ini?

Biarpun isu ini bukan satu perkara yang mengejutkan, pendedahan yang dilakukan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah, baru-baru ini, berdasarkan satu kajian secara rambang yang dilakukan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) perlu diberi perhatian.

Murugiah berkata, faktor tersebut merupakan perkara utama mengapa pasangan suami isteri bercerai selain daripada masalah kewangan dan sikap pasangan masing-masing.

Katanya, masalah itu bukan sahaja tertumpu kepada wanita, tetapi juga kepada lelaki yang dilihat tidak menjaga diri seperti berperut buncit, tidak memberus gigi, mulut berbau busuk serta pelbagai lagi kekurangan fizikal yang menyebabkan isteri tidak tahan atau tidak dapat menerimanya.

Tambahnya lagi, di negara ini peratus perceraian mencecah 22% sejak beberapa tahun lalu dan dijangka terus meningkat dan antara penyumbang kepada kes-kes tersebut adalah masalah hubungan di antara suami isteri yang tidak dapat diselesaikan.

Lantas apabila ditimbulkan persoalan ini kepada Pensyarah Jabatan Undang-Undang Islam, Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Datin Paizah Ismail, beliau menegaskan, usah jadikan faktor busuk dan gemuk itu sebagai satu dasar yang 'kukuh' untuk melafazkan perceraian. Masalah seperti badan berbau dan fizikal itu masih boleh diselesaikan dan ia bukanlah satu alasan yang boleh menjurus penyebab perceraian.

''Di zaman yang serba moden ini, banyak produk atau bahan-bahan yang boleh menjadi pemangkin ke arah penampilan diri yang menarik. Sebagai contoh, penggunaan alat solek, minyak wangi, mandian spa dan sebagainya adalah salah satu kaedah yang boleh membantu mereka yang bermasalah badan berbau,'' katanya berseloroh.

Jelasnya lagi, Islam sendiri menitik beratkan aspek kebersihan, oleh itu individu terbabit perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kemas agar terhindar daripada sebarang masalah kesihatan.

"Bukankah kebersihan itu merupakan cerminan keimanan? Dalam erti kata lain, kita yang sering bertemu dengan orang ramai, sahabat handai, eloklah sekiranya keterampilan kita dilihat bersih dan terurus,'' katanya.

Namun, sekiranya suami atau isteri itu ingin juga bercerai hanya kerana masalah fizikal dan bau badan, mungkin ada alasan lain di sebalik maksud itu. Mungkin ketika itu hati mereka sudah tidak ada rasa kasih lagi mahu pun sudah 'melihat' insan lain. Apabila menyentuh mengenai masalah fizikal, Paizah menasihatkan para suami atau isteri agar menerima keadaan pasangan mereka seadanya.

''Siapa yang tak nak cantik. Tapi janganlah pula kita merubah fizikal kita dengan menggunakan pelbagai kaedah yang boleh memudaratkan diri dan menyalahi hukum dengan mengubah apa yang Tuhan sudah berikan kepada kita, kecuali atas dasar kesihatan,'' katanya.

Paizah juga menyarankan agar pihak isteri dan suami saling nasihat-menasihati diri pasangan masing-masing atas dasar bagaimana keadaan yang mereka berdua mahukan demi kesejahteraan rumah tangga masing-masing.

''Sekiranya suami nasihat, isteri kena dengar, begitu juga suami, dia juga perlu dengar. Kena ada saling berkompromi dalam hal-hal seperti ini,'' katanya.

Pun begitu, beliau juga menasihatkan agar para isteri berhias untuk suami mereka.

''Bukannya kita nak berhias secara lebih-lebih, cukuplah sekadar dapat menyenangkan hati suami kita yang memandang. Jangan jadikan kesibukan menguruskan rumah tangga sebagai alasan untuk kita tidak sempat berhias diri,'' ujarnya.


Cari titik persefahaman, keserasian


Gambar hiasan

Persefahaman antara pasangan suami dan isteri perlu untuk rumah tangga yang bahagia.


Perkahwinan bukanlah sesuatu yang sentiasa sempurna. Hidup dalam alam rumah tangga memang banyak cabaran dan rintangan untuk dihadapi. Oleh itu, sebagai manusia yang normal adalah menjadi tanggung jawab kita mengenali secara dekat pasangan masing-masing.

''Biar apa pun terjadi, kita seharusnya prihatin dengan pasangan, jangan hanya nampak keburukan semata-mata. Setiap pasangan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Justeru, titik persefahaman dan keserasian perlu dicari agar rumah tangga yang dibina atas dasar rasa hormat-menghormati dan sentiasa aman damai,'' ujar Profesor Madya Dr. Haslee Sharil Abdullah.

Beliau yang merupakan Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya memberitahu, hal itu penting dalam menjaga kerukunan dan keharmonian rumah tangga. Katanya, daya tarikan antara pasangan adalah perkara asas yang boleh menyatukan dua hati.

''Jika hati sudah berkenaan, tidak kira apa pun keadaan, cantik ataupun sebaliknya, ia pasti memberi keselesaan kepada kita," katanya.

Oleh itu tegasnya, isu penampilan adalah asas penting yang harus diberi keutamaan dalam menjaga keharmonian rumahtangga.

''Daya tarikan dan penampilan seseorang adalah subjektif dan mengikut cita rasa masing-masing. Namun sebagai pasangan, kita seharusnya peka dengan kehendak pasangan kita supaya si dia tidak berubah haluan,'' ujarnya.

Katanya lagi, perkara itu mustahak bagi mengelak salah seorang pasangan berubah hati dan mencari keseronokan di tempat lain.

''Biarpun ia nampaknya kecil, sebenarnya ia memberikan kesan yang besar dalam hubungan suami isteri," ujar beliau.

Katanya, sekiranya perlu ubah dalam penampilan diri, ia tidak menjadi kesalahan demi hubungan suci yang telah lama terbina. Dalam pada itu tegasnya lagi, dalam menangani pelbagai permasalahan, komunikasi adalah penting dalam menyelesaikan kemelut yang melanda jiwa dan perasaan.

''Dalam keadaan ini, mereka mestilah meluahkan segala yang tidak berkenaan dari hati ke hati, jangan memendam rasa kerana itu bahaya,'' kata Haslee.

Namun, beliau mengharapkan pasangan agar sentiasa berdiplomasi dalam menegaskan sesuatu jika terdapat perkara yang tidak puas hati.

''Tidak salah menegur pasangan kita, tetapi biarlah kena pada caranya supaya tidak terguris perasaannya. Tegurlah secara lembut dan berikan dirinya peluang untuk berubah ke arah yang positif ,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, setiap masalah ada penyelesaiannya. Jika kedua-dua pihak boleh berunding, pasangan yang bermasalah usah terus berdendam dan tidak mengungkit perkara lama. Beliau menjelaskan kesan penceraian ke atas keluarga dan masyarakat amat banyak dan dari segi jangka panjangnya amat buruk.

Jika institusi kekeluargaan sudah pincang akan berlakulah pelbagai gejala kurang sihat.

Sumber : Utusan dan Utusan




Capaian entry berkaitan :
  1. Biarlah perceraian jalan terakhir yang dipilih

1 ulasan:

Kongsikan komen anda di sini...