PAGE

Isnin, Januari 11, 2010

30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun


KEBELAKANGAN ini terdapat pelbagai kejadian yang berlaku di negara kita khususnya dan di
seluruh dunia amnya yang menunjukkan bahawa tekanan mental semakin berleluasa dan telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Kejadian seperti membunuh diri, mengamuk, hilang kawalan emosi, kemarahan yang melampau, penyalahgunaan dadah, arak dan sebagainya merupakan sebahagian daripada bukti yang jelas di mata kita. Begitu juga ramifikasi dan komplikasi yang timbul seperti meningkatnya kes jenayah termasuk ragut, rogol atau membunuh yang rata-ratanya dikaitkan dengan permasalahan yang sama.

Dunia telah mengakui bahawa penyakit mental bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Penyakit mental dan kecelaruan tingkah laku wujud dalam semua masyarakat di mana sahaja mereka berada. Menurut anggaran yang dibuat oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, 154 juta orang di seluruh dunia mengidap masalah kemurungan, 25 juta mengidap penyakit skizofrenia dan 15 juta terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Sebanyak 877,000 orang pula mati kerana membunuh diri.

Di Malaysia, kita juga mengalami keadaan yang sama. Penemuan terbaru hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan prevalens masalah kesihatan mental melibatkan 11.2% orang dewasa, 20.3% dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Sesungguhnya ia menunjukkan peningkatan berbanding dengan kajian pada tahun 1996 yang hanya menunjukkan kadar 10.7% di kalangan orang dewasa dan 13% di kalangan kanak-kanak dan remaja. Lebih membimbangkan lagi ialah fakta yang menganggarkan kira 20 hingga 30 orang membunuh diri setiap tahun bagi setiap 100,000 rakyat di negara ini.

Anehnya walaupun kita semua sedar bahawa penyakit mental dan kesihatan mental itu penting dan boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, namun ramai dalam kalangan kita yang masih tidak mahu mengakuinya. Malu merupakan antara punca utama. Stigma dan penghinaan terhadap mereka yang mengalami masalah jiwa menyebabkan individu yang terbabit sering menafikannya. Begitu juga ahli keluarga mereka.

Masyarakat kita sebenarnya lebih mudah menerima alasan bahawa gangguan jiwa dan tingkah laku yang dialami oleh seseorang itu merupakan hasil daripada buatan orang daripada mengakui bahawa ia disebabkan oleh penyakit mental atau kecelaruan emosi. Ekoran daripada itu, bomoh dan pengamal perubatan tradisional menjadi tumpuan. Lebih menyedihkan ialah bila terdapat dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan moden sendiri yang tidak peka, tidak sedar atau tidak tahu bahawa pesakit yang berjumpa mereka itu sebenarnya mengalami gangguan jiwa dan bukannya gangguan jin mahupun syaitan.

Bagi mereka yang begitu bernasib baik untuk dirujuk berjumpa pakar jiwa, stigma sekali lagi menjadi isu. Itulah yang menyebabkan ramai individu lebih rela berdiam diri dan menanggung derita daripada dilihat berjumpa dengan pakar jiwa. Hakikatnya di Malaysia ini, jika telah dilabel sebagai pesakit jiwa, anda bukan sahaja mendapat malu, malah berisiko tinggi untuk dibuang kerja dan disisihkan lagi daripada masyarakat. Segala hak dan keistimewaan sebagai seorang insan mungkin tidak lagi menjadi milik anda.

Begitu juga individu yang cuba mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta dengan menggunakan insurans atau kad kesihatan. Anda sebenarnya tidak akan dibiayai untuk apa juga bentuk rawatan yang berkaitan jika doktor yang merawat mengesahkan bahawa simptom yang anda alami adalah akibat daripada stres, tekanan atau sebarang bentuk masalah jiwa.

Hakikatnya negara kita merupakan antara sebilangan kecil negara di dunia yang tidak menganggap dan mewajibkan penyakit jiwa sebagai salah satu penyakit kritikal atau penyakit yang perlu dilindungi oleh mana-mana insurans. Anda sebenarnya boleh mendapat rawatan yang cukup hebat dan terkini di mana-mana hospital swasta di Malaysia untuk penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan sebagainya.

Namun jika anda mengalami masalah jiwa atau gangguan mental, tempat anda hanyalah di klinik dan wad psikiatri di hospital kerajaan. Kad insurans atau perubatan anda tidak akan boleh membantu anda mendapatkan rawatan untuk penyakit jiwa di tempat lain.

Walaupun telah lama dan telah banyak desakan dan rayuan dibuat kepada kerajaan serta menteri yang bertanggungjawab oleh pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan, malangnya seperti biasa jawapan yang diperoleh ialah ia masih lagi dalam perhatian.

Mungkin bila lebih ramai lagi jiwa yang telah terkorban, barulah mereka akan mengambil tindakan. Ketika itu nanti ramailah pemimpin politik dan pegawai atasan berebut-rebut memberikan alasan, ulasan dan cadangan. Tidak ada yang aneh sebenarnya. Sikap reaktif dan bukan proaktif sebegini sememangnya menjadi ‘trademark’ dan budaya kita.

Sumber : Utusan 11/01/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...