KOTA KINABALU 22 Feb. - Akibat tekanan hidup seorang lelaki berusia 50 tahun nekad untuk terjun dari tingkat 11 Menara Jubili di sini hari ini.
Bagaimanapun tindakannya itu gagal selepas berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dan seorang pemandu di Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Menceritakan detik cemas itu, pemandu STB tersebut, Yahya Salim, 30, berkata, dia ternampak lelaki berkenaan keluar dari tingkap di tingkat 11 bangunan itu ketika sedang berehat di bawah.
"Saya terus bergegas ke atas dan mendapati dia sudah mengeluarkan seluruh badannya dan bersedia untuk terjun.
''Selain saya, beberapa orang yang datang cuba memujuk termasuk pengurus bangunan yang cuba untuk memberi angpau kepada lelaki berkenaan tetapi tidak diendahkan.
''Setelah hampir sejam memujuknya, salah seorang anggota bomba memecahkan tingkap bersebelahan lelaki tersebut dan dengan pantas menyambar lelaki berkenaan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Niam Hing Ming, berkata, sepasukan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke bangunan berkenaan selepas menerima laporan kecemasan pukul 4.10 petang.
''Walaupun dipujuk beberapa kali, lelaki tersebut nekad hendak terjun dari bangunan tersebut.
''Bagaimanapun selepas melihat dia sedikit leka, anggota bomba dengan bantuan pemandu STB itu terus menggunakan peluang menangkap dan seterusnya menyelamatkan lelaki berkenaan," katanya.
Sumber : Utusan 23/02/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...