PAGE

Jumaat, April 23, 2010

Mi segera ganti nasi?


KUALA LUMPUR 22 April – Mi segera yang menyaksikan jualannya berjumlah AS$25 bilion tahun lalu, mungkin menggantikan nasi sebagai makanan ruji dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perubahan kini telah berlaku di Indonesia apabila mi segera sudah menggantikan tradisi pemakanan rakyat berpendapatan rendah di negara tersebut. Keadaan itu digalakkan lagi oleh harga mi segera yang lebih murah berbanding makanan ruji di negara tersebut.

Presiden Persatuan Mi Segera Dunia (WINA), Koki Ando berkata, berikutan aliran peningkatan itu, persatuan berkenaan meletakkan matlamat untuk menjadikan mi segera sebagai makanan global sebagai menggantikan makanan ruji di dunia. Katanya, khasiat mi segera juga telah diperkaya dengan nutrien dan zat makanan yang seimbang seperti protein dan karbohidrat yang membantu diet pemakanan individu.

Selain itu, kata Ando, sebanyak 300 produk baru mi segera dilancarkan sepanjang tahun di dunia yang menunjukkan terdapat permintaan terhadap pasaran produk tersebut.

“Mi segera semakin mendapat permintaan masyarakat dunia berikutan khasiat dan zat makanannya adalah setara dengan makanan ruji. Pada tahun lalu, WINA merekodkan sebanyak 91.5 bilion paket mi segera dijual di seluruh dunia yang menunjukkan peningkatan terhadap permintaannya,’’ katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Gabenor WINA di Malaysia yang juga Pengarah Eksekutif Makanan Nestle Products Sdn. Bhd. (Malaysia dan Singapura), Izham Mohamed berkata, dalam konteks di negara ini, penggunaan mi segera bakal meningkat berbanding dua tahun lalu. Pemulihan ekonomi, kata beliau, memberi peluang kepada rakyat untuk menggunakan mi segera sebagai sumber pemakanan tambahan di negara ini.

Menurut Izham, rakyat Malaysia makan mi segera sebanyak 1.3 juta bungkus sehari, sekali gus menyaksikan 1.2 bilion bungkus dijual tahun lalu.

“Perisa asam laksa dan tom yam mencatatkan jualan tertinggi dan menjadi kegemaran rakyat Malaysia,’’ kata beliau. Mi segera di Malaysia wujud sejak lewat tahun 1960-an.

Sumber : Utusan 23/04/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...