Perbuatan didorong hawa nafsu bertentangan dengan apa ditetapkan Allah
SOALAN :
SAYA malu melihat satu trend ketika ini lelaki dan wanita Islam tidak segan berpelukan dan berlaga pipi sewaktu bertemu dan mengucapkan selamat tinggal. Saya pernah bertanya kepada tuan punya badan dan jawapan diberikan ialah perbuatan itu sekadar mempamerkan kemesraan tanpa sebarang perasaan ghairah. Apakah jawapan itu boleh diterima?
MUSYKIL,
Cheras.
JAWAPAN :
Apabila kita menyebut mengenai agama atau syariat, ia bukanlah sesuatu yang ditetapkan oleh hawa nafsu tetapi oleh Allah. Biasanya yang disukai oleh hawa nafsu ini bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Hawa nafsu bukanlah boleh diikuti sepenuhnya tetapi perlu dikawal dan diatur. Sekiranya manusia itu mengikut sepenuhnya hawa nafsu, ia tidak ubah seperti haiwan, bahkan lebih rendah daripada haiwan. Allah SWT berfirman dalam surah Mukminun ayat 71 yang bermaksud: “Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada padanya. (Bukan saja Kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka. Maka al-Quran yang demikian keadaannya, mereka juga tidak mahu menerimanya.”
Sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Tirmizi, daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus r.a. daripada Nabi SAW, baginda bersabda, “Orang yang cerdik iaitu orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekal nanti sesudah mati. Dan orang yang lemah (fikirannya) iaitu orang yang hanya menurut hawa nafsunya tetapi ia mengharapkan pelbagai harapan kepada Allah SWT.”
Apa yang dilakukan oleh teman saudari hukumnya adalah haram dan perlu diperbetulkan. Dibimbangi fahaman seperti ini ditiru dan menjadi ikutan kepada orang lain yang jahil. Lebih parah lagi sekiranya ia menjadi suatu kebiasaan atau budaya disebabkan oleh perbuatan seseorang itu.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mengajak kepada petunjuk (kebenaran), maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan barang siapa yang mengajak kepada kesesatan maka ia mendapat dosa seperti dosa orang yang mengerjakannya dengan tidak mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
Justeru, untuk mengelak daripada kecelakaan yang besar di akhirat, seseorang itu perlu menuntut ilmu. Ilmu agama bukanlah suatu yang boleh dibuat-buat atau direka-reka. Ia adalah ketetapan Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam surah Yunus ayat 32 yang bermaksud: “Maka tidak ada sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan.”
Sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik keterangan adalah Kitabullah (al-Quran), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW, dan sejahat-jahat perkara adalah sesuatu yang diada-adakan (dalam urusan agama), serta setiap bidaah (yang direka-reka dalam urusan agama itu) adalah sesat.”
Wallahualam.
Sumber : BHarian 18/04/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...