BANTU... umat Islam perlu menanamkan semangat dan jiwa untuk membantu golongan kurang bernasib baik.
BENAR, tangan memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.
Menderma dan bersedekah pasti akan menambahkan rezeki buat kita. Itu adalah sebahagian cara mendapatkan kemurahan serta keberkatan rezeki. Namun, masih ramai di kalangan umat Islam bimbang dan tidak yakin jika dia mengeluarkan sedikit daripada rezeki yang diterima untuk dimanfaatkan kepada orang lain.
Hakim bin Hizam meriwayatkan, katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sedekah yang paling utama atau sedekah yang paling baik adalah sedekah daripada orang kaya dan tangan yang berada di atas itu lebih baik daripada tangan yang berada di bawah serta mulakanlah dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu (isteri dan anak-anak)." (Hadis riwayat Muslim).
Maka sebagai umat Islam, kita perlu menanamkan semangat dan jiwa untuk membantu kalangan masyarakat yang kurang bernasib baik terutama kaum keluarga terdekat terlebih dahulu. Dalam hal ini, Rasulullah pernah berpesan soal nafkah dan didikan ahli keluarga hendaklah diutamakan.
Daripada Abu Hurairah meriwayatkan: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Jika salah seorang antara kamu keluar pada waktu pagi untuk mencari kayu, lalu dia memikulnya di atas belakangnya; kemudian dia bersedekah dengannya dan tidak mengharapkan pemberian daripada orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang lain. Tanpa mengira sama ada orang itu memberi kepadanya atau tidak kerana tangan yang berada di atas itu lebih mulia daripada tangan yang berada di bawah dan mulalah dengan memberi nafkah atau mendidik orang yang berada di bawah tanggunganmu terlebih dulu." (Hadis riwayat al-Bukhari).
Manakala sikap 'berkira' perlu dielakkan kerana ia pasti menyempitkan peluang untuk memperoleh rezeki.
Sebenarnya ramai yang mengibaratkan apabila mereka berbelanja sudah pasti nilai duit atau harta itu semakin berkurangan. Mereka sebenarnya perlu berasa yakin rezeki itu akan bertambah sekiranya ia digunakan untuk tujuan kebaikan terutama membantu golongan memerlukan.
Kita juga biasa mendengar masyarakat kita mengungkapkan perkataan 'murah rezeki'. Ungkapan itu diucapkan sebagai doa atau ucapan terima kasih jika mereka menerima sesuatu. Rezeki yang dijanjikan Allah memang benar dan kadang kala manusia tidak menyedari Allah kurniakan rezeki itu dalam pelbagai cara.
Allah berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah at-Talaq ayat 2 hingga 3)
Islam tidak suka umatnya berpeluk tubuh. Selagi masih bertenaga dan sihat tubuh badan mereka perlu memberikan komitmen terhadap kerja tanpa mengharap bantuan daripada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah dosa yang dipikul oleh seseorang itu apabila dia mensia-siakan orang (isteri dan anak-anak) yang dalam tanggungannya." (Hadis riwayat Abu Daud)
Justeru, apa saja bentuk sumbangan dan pengorbanan yang kita lakukan seperti ilmu pengetahuan, tenaga, masa, nasihat perlu dilaksanakan dengan sebaiknya supaya rezeki kita bertambah luas.
Bagaimanapun, tidak ramai manusia mampu mencapai darjat berkenaan, malah ramai yang melakukan kebaikan, tetapi dalam masa sama masih mengharapkan ganjaran.
Kita perlu ketahui bahawa nikmat seperti rumah tangga bahagia, kesihatan baik serta keseronokan bekerja adalah hasil daripada keberkatan rezeki yang diterima.
Nabi bersabda yang bermaksud: "Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecacatan dan kebinasaan." (At-Tabrani, Al-Haitahami sanadnya dari Hasan)
Namun Allah tetap akan menduga hamba-Nya bagi melihat sejauh mana keimanan serta kesabaran mereka jika ditimpa pelbagai ujian. Berusaha mencari rezeki halal sememangnya dituntut dalam Islam selain menganjurkan umatnya mencari rezeki pada awal pagi kerana di dalamnya penuh dengan keberkatan.
Al-Bazar, Thabrani fil Ausath meriwayatkan sebuah hadis nabi yang bermaksud: Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Berpagi-pagilah mencari rezeki, kerana sesungguhnya berpagi-pagi itu membawa berkat dan menghasilkan kemenangan.'
Bagi mereka yang liat bangun pada waktu pagi bermakna mereka menghambat atau menyekat rezekinya sendiri. Rasulullah amat memuji orang yang rajin berusaha sehingga jika dia pulang ke rumah pada waktu petang dengan keadaan letih maka dia beroleh keampunan daripada Allah.
Nabi bersabda yang bermaksud: "Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya." (Riwayat Ibnu Majah, Ahmad Hadis Hasan)
Islam amat mementingkan kemajuan dunia dan akhirat. Ada juga yang kuat berusaha namun masih belum mencapai hasilnya. Dalam hal itu, seseorang Muslim perlu tahu bahawa tidak semua usaha yang dilakukan akan menampakkan hasil diharapkan. Ada yang cepat dan ada pula lambat. Allah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Jika sesuatu usaha kita berhasil, maka janganlah pula kita berlagak dan sombong.
Pensyarah Jabatan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata kemurahan rezeki dapat digambarkan apabila seseorang itu memperoleh sesuatu dengan cara yang mudah.
"Itu yang dikatakan murah rezeki dan kadang kala Allah memberi ganjaran berkenaan walaupun usaha terhadap perkara itu dilakukan pada tahap minimum. Bahkan pada satu ketika, mereka memperoleh sesuatu tanpa sebarang usaha kerana Allah berikan atas keluasan kasih sayang-Nya," katanya.
Rahimi berkata keberkatan rezeki mengikut konsep Raghib al Asfahani adalah apabila merasakan sedikit itu banyak (mencukupi) manakala yang banyak pula akan terus berkekalan.
"Mengikut pandangan syarak, kita akan sentiasa merasa cukup dengan apa yang dimiliki dan memastikan ia digunakan ke arah kebaikan," katanya.
Beliau berkata sikap golongan kufur nikmat Allah adalah apabila merasakan apa yang dimiliki itu hasil usaha mereka sendiri.
"Mereka ingkar tanggungjawab terhadap harta berkenaan yang sepatutnya dikongsi dan diberikan sama kepada orang yang memerlukan. Membantu golongan susah adalah jalan terbaik bagi membuktikan kesyukuran kepada Allah SWT yang diberikan menerusi zakat (secara wajib) atau sedekah (pilihan)," katanya.
Rahimi berkata pagi adalah waktu terbaik keluar mencari rezeki dan ia adalah saranan Rasulullah SAW dalam mencapai keberkatan.
"Namun bagi mencapai keberkatan sebenarnya tidak terhad pada waktu itu saja kerana rezeki boleh diperoleh pada bila-bila masa asalkan dilakukan dengan cara dan sumber halal. Syarat asas memperoleh rezeki halal adalah takwa iaitu sentiasa memastikan kita tidak melanggar larangan Allah ketika berusaha mendapatkannya," katanya.
Sementara itu, Rahimi ketika mengulas penggunaan atau menggantung ayat seribu dinar di premis sebagai pelaris jualan berkata ia tidak salah, tetapi perlu beringat Allah memberi dan membuka hati pelanggan.
"Bukan ayat itu, tetapi Allah. Allah memerintahkan kepada kita jika inginkan rezeki murah bukan sekadar menggantungkan ayat, tetapi perlu mempraktikkan kandungan ayat itu. Antara amalan yang digalakkan adalah berdoa, berzikir dengan menyebut nama Allah yang berkait dengan sifat kemurahan Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Razzaq, al-Fattah, al-Syakur dan al-Karim. Jadikan nama ini sebagai zikir dan pembuka kepada doa atau permintaan kita," katanya.
Sumber : Mohd Fadly Samsudin [fadly@hmetro.com.my] di HMetro 02/04/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...