PAGE

Selasa, Mei 25, 2010

'Zuriat Kita' suntik kesedaran

Rosmah Mansor bersalaman dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik pada majlis perlancaran Zuriat Kita baru-baru ini.

GEJALA sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda pengurangan kian membimbangkan. Apatah lagi dengan penularan kes pembuangan bayi yang semakin meruncing akhir-akhir ini.

Paparan demi paparan yang dilaporkan media telah membangkitkan kesedaran ramai pihak dalam membanteras kes pembuangan bayi yang tidak berdosa.

Atas sebab itu, MFDM Holdings menerusi misi tanggungjawab sosialnya mengambil inisiatif menerbitkan rancangan majalah keluarga berkonsepkan pendidikan dan keagamaan, Zuriat Kita dalam usaha menyuntik kesedaran dan nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat.

Bakal memulakan tayangan pada 18 Julai ini, rantaian 12 episod arahan Abdullah Abdul Hamid yang bersiaran di Astro Oasis (saluran 106, Astro) itu terbahagi kepada tiga segmen utama iaitu Perspektif, Keluarga Bahagia dan Ad-din.

Hos-hos yang terlibat menjayakan program tersebut ialah Noryn Aziz, Harun Salim Bachik, Mila, Adibah Noor, Aziz Desa, Aznil Nawawi, Nazri Johani, Sharifah Khasif dan Wardina Saffiyah.

Menurut Abdullah pada majlis pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Hotel One World, Damansara baru-baru ini, antara pendekatan program tersebut ialah membawa iris penonton menyingkap pelbagai pengalaman serta pengakuan daripada mereka yang pernah terlibat dengan pembuangan bayi secara tidak langsung.

"Setakat ini dalam mencari maklum balas yang dimuatkan dalam Zuriat Kita, kami cuba mendekati penghuni di rumah-rumah perlindungan serta ke institusi pengajian tinggi di mana ahli-ahli akademiknya membuat kajian tentang masalah ini. "Daripada maklumat yang kami perolehi, kami kumpulkan untuk menjadi rujukan dan paparan dalam Zuriat Kita. Tidak dinafikan bukan mudah mendapatkan pengakuan daripada para penghuni rumah perlindungan. Malah yang lebih memeritkan kami, setelah penggambaran mereka mengubah fikiran dan tidak membenarkan kisah mereka dipaparkan," kata Abdullah.

Selain disertai oleh artis dan selebriti terkenal tanah air, Zuriat Kita turut disertai oleh Persatuan Jaksa Pendamai Selangor (JP).

Cuba menyeimbangkan intipati yang mengupas perspektif gejala pembuangan bayi, turut dipaparkan ialah pengakuan daripada remaja lelaki dan pandangan pihak-pihak tertentu tentang sikap segelintir lelaki yang secara tidak langsung menjurus ke arah penularan pembuangan bayi.

Ringkas mengenai paparan yang diselongkar dalam tiga segmen yang disediakan, Perspektif meninjau serta membincangkan pelbagai isu pembuangan bayi. Menerusi segmen ini, temu bual dengan pihak-pihak tertentu termasuk pihak berkuasa, badan bebas, tokoh masyarakat serta pengakuan daripada remaja dan gadis yang terlanjur dipaparkan. Tujuannya untuk mengenal pasti punca serta mengumpul maklumat terkini tentang pembuangan bayi daripada pelbagai perspektif.

Segmen Keluarga Bahagia pula menyuntik rasa prihatin dan perikemanusiaan masyarakat terhadap pengorbanan individu yang sanggup berkorban harta dan keringat dalam membesarkan anak-anak yang merupakan anugerah tidak ternilai. Bukan sahaja pengorbanan daripada keluarga kandung malah, keluarga angkat dalam membesarkan anak yang cacat serta ramai dari pelbagai latar termasuk keluarga setinggan, miskin, seni, atlet dan rumah perlindungan.

Manakala segmen Ad-din memberi pelbagai maklumat berguna dalam menimbulkan kesedaran masyarakat betapa berharganya nyawa yang harus dipelihara sebaiknya dari sudut agama mengikut al-Quran dan sunnah. Menerusi segmen ini, proses kejadian manusia daripada mula hingga lahir serta tip dan pandangan tokoh-tokoh agama dipaparkan.

Pengerusi Eksekutif MFDM Holdings, Datuk Seri Mohamad Fathil Mahmood pada majlis yang sama memberitahu, dengan adanya segmen-segmen tertentu, harapannya terhadap jaluran pendidikan yang cuba digarap sampai kepada penonton. Malah, kata beliau, ini merupakan salah satu usaha menolak nilai-nilai negatif seperti pergaulan bebas, zina, eksploitasi seks, penderaan dan kekejaman serta perbuatan membuang bayi yang tidak berdosa di kalangan masyarakat.

"Hasrat MFDM adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang gejala pembuangan bayi apatah lagi, di kalangan masyarakat tidak ramai yang tahu punca dan sebab terjadinya penularan. Dengan adanya Zuriat Kita, diharap kita boleh membantu supaya gejala ini tidak berterusan," kata beliau.

Sementara itu, mengulas tentang penglibatan artis serta hos yang ramai dalam rancangan tersebut, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar memberitahu, peranan artis cukup kuat dalam menarik minat masyarakat melakukan sesuatu perkara.

"Justeru, apabila melibatkan artis dan mereka pula yang bercakap tentang sesuatu perkara kepada masyarakat mungkin akan membawa perubahan dan kesan yang lebih positif," katanya.

Sumber : Utusan 25/05/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...