Assalamualaikum warahmatullah,
Pembentukan sesebuah rumah tangga yang aman dan bahagia terhasil dari kombinasi suami isteri yang faham dengan jelas akan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Suami diwajibkan berusaha mencari nafkah untuk menampung kehidupan keluarga, melindungi serta mempertahankan keluarganya.
Allah SWT berfirman, maksudnya, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggung jawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah An-Nisaa’, ayat 34)
Namun demikian, kebelakangan ini seringkali dilaporkan bahawa ramai suami yang alpa dan lupa akan tanggung jawab mereka. Mereka gagal untuk memimpin dan memelihara diri sendiri, apatah lagi untuk berfungsi sebagai peneraju utama dalam keluarga. Mereka gagal memahami firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari siksa api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia-manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala…” (Surah At-Tahrim, ayat 6)
Tanggung jawab yang dipikul oleh suami sangat luas skopnya. Sekadar menyenaraikan beberapa tanggungjawab asas sebagai pedoman dan kayu ukur untuk bermuhasabah dan menyoal diri sendiri, “Adakah saya telah melaksanakan tanggung jawab ini dengan sempurna?”
Antaranya:
1. Menjadi pemimpin keluarga.
Sebagai seorang suami, adakah kita telah memenuhi tanggung jawab mengajarkan isteri dan anak-anak tentang ilmu Tauhid seperti Rukun Islam, Rukun Iman dan sebagainya dengan sempurna? Bagaimana pula dengan ilmu Fiqh misalnya rukun sembahyang, puasa juga perkara-perkara yang diklasifikasikan sebagai halal, haram, sunat, makruh dan harus? Pernahkah kita menerangkan kepada isteri ataupun anak perempuan mengenai haid, nifas, wiladah serta cara menyucikannya?
Semua persoalan di atas sering dipandang remeh oleh suami yang merupakan ketua keluarga. Ada di antara kita yang cetek ilmu agamanya, malah lebih malang ada yang langsung tidak mengetahui akan skop ilmu yang dinyatakan di atas. Kurang mempersiapkan diri sebelum memasuki alam perkahwinan serta mengambil sambil lewa akan persoalan agama merupakan antara punca terjadinya perkara ini. Rasululullah SAW bersabda, maksudnya, “Tidak mendapati akan Allah oleh seseorang dengan dosa yang lebih besar daripada dosa yang jahil akan segala isi rumahnya.”
Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa, “sesuatu kebinasaan yang akan menimpa seseorang suami adalah akibat kegagalan melaksanakan hak kepada anak-anak dan isteri. Mereka ini terdiri daripada suami yang tidak berani menegur menunjuk ajar anak dan isteri sehingga sanggup membiarkan mereka melakukan perbuatan yang melanggar syariat.”
Terdapat banyak perkara yang melanggar syariat dilakukan oleh anak isteri tetapi suami tidak mampu untuk menegurnya atau sengaja membiarkannya. Antaranya seperti tidak bersembahyang, mengumpat, mendengar lagu-lagu yang mengkhayalkan, mendedahkan aurat, mengeluarkan kata-kata lucah dan seumpamanya.
Seterusnya, Imam Ghazali menyatakan lagi bahawa, “kebinasaan yang terdapat bagi seseorang yang berumah tangga itu terlalu banyak, hingga tidak dapat diperkatakan satu persatu. Seseorang itu tidak dapat lari dari kebinasaan ini melainkan orang itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan agama dan mempunyai hikmah serta kebijaksanaan dalam memimpin dan mendidik isteri seta anak-anak di dalam rumahtangga.”
2. Pemberian nafkah.
Seseorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan tanggungannya semenjak mula berlakunya akad nikah, sekalipun isterinya itu seorang yang kaya raya. Hak isteri tersebut untuk mendapatkan nafkah tidak akan berubah dan kewajipan itu tetap ke atas suami. Justeru, suami wajib berusaha mencari nafkah yang halal bagi menampung kehidupan keluarga.
Nafkah boleh diklasifikasikan kepada tiga (3) bahagian iaitu:
- Nafkah kepada isteri iaitu meliputi nafkah zahir dan batin kepada isteri yang sah. Manakala bagi isteri yang telah diceraikan, masih berhak menerima nafkah zahir selama tempoh iddah talak raj’ie.
- Nafkah anak iaitu pemberian nafkah kepada anak yang sah taraf serta belum mencapai umur akhil baligh. Walau bagaimanapun, sekiranya anak tersebut sudah mencapai umur akhil baligh tetapi masih belum berupaya mencari rezeki, maka dia berhak menerima nafkah.
- Nafkah usul adalah nafkah yang diberikan oleh sebab pertalian darah. Misalnya, anak memberi nafkah kepada ibu bapa dengan syarat ibu bapa tersebut terlalu susah sehingga tidak mampu lagi untuk menyara hidup.
Wahai lelaki, suami dan bapa-bapa sekalian! Marilah kita renung ke dalam diri kita dan berfikir sejenak sejauh manakah kita telah melaksanakan kewajipan serta tanggung jawab kita terhadap keluarga. Kita telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk menjadi pemimpin dan pastinya Allah SWT akan menyoal dan menilai apa yang telah kita laksanakan.
Pejamkan mata dan tanya diri sendiri dan tanyakan kepada diri kita :
- Cukupkah perbelanjaan harian yang kita bekalkan buat isteri dan anak-anak?
- Berapa kali kita memeluk dan mengucup anak-anak dalam sehari?
- Sudah cukupkah bekalan ilmu duniawi dan ukhrawi diajarkan kepada mereka?
- Paling utama, tanyalah pada diri sendiri; Adakah aku ini bapa yang bertanggung jawab?
Selamat Hari Bapa.
Sumber : KPWKM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...