PAGE

Jumaat, Jun 04, 2010

Betullah orang Malaysia semakin gila!


Assalamualaikum warahmatullah,

Kita bertemu lagi di pagi Jumaat yang dirahmati-Nya. Hari ini saya kongsikan satu artikel yang saya baca di MalaysiaHarmoni. Isinya cukup sinis dan mampu menggerakkan kita untuk bermuhasabah diri.


Suatu ketika dahulu, kejadian orang membunuh orang dianggap berita yang sangat sensasi dan menakutkan. Terasa ngeri untuk kita dengar atau bicarakan. Begitu juga halnya dengan kes rogol, rompakan, zina, fitnah dan dengki khianat.

Hari ini, berita-berita yang memaparkan perkara-perkara buruk itu datang ke mata dan telinga kita setiap hari. Bukan kita suka begitu, tapi ia datang juga. Semakin cuba ditepis, semakin banyak pula yang hinggap, apatah lagi dalam zaman maklumat di hujung jari ini.

Benarlah kata sesetengah orang, kebiasaan adalah punca keterlaluan. Sesuatu perkara yang dianggap pantang larang atau ‘taboo’ sekalipun, jika sudah dibiasakan dan ramai orang melakukannya, paling tidak akan 'mencairkan' hati, lalu akhirnya sebagai jalan mudah kita katakan itu adalah takdir Ilahi. Begitulah serabutnya hidup ini kalau iman tidak dijadikan neraca keadilan.

Mengulas berita rogol misalnya, ‘busuk-busuk’ pun kita akan berkata, Apa nak buat, dah nasib dia, asalkan jangan terjadi pada anak bini aku sudah. Lebih sedikit, kita akan berkata, Itulah, siapa suruh pakai seksi. Dah kena, padan muka.

Betulkah sikap kita itu? Bagaimana kalau tiba-tiba memang sudah takdirnya, musibah itu menimpa salah seorang ahli keluarga kita? Bagaimana kalau waktu itu kita terdengar orang menuturkan kata- kata yang sama? Tidak terguriskah hati kita?

Bagaimana pula sekarang ini kita sudah banyak kali mendengar, mangsa rogol itu adalah gadis-gadis yang sopan yang bertudung dan menutup aurat dengan sempurna. Bagaimana pula apabila kita diberitahu mangsa rogol itu bukan setakat anak gadis, tetapi juga warga emas bergelar nenek dan bayi berusia lima bulan? Bagaimana? Bagaimana kebejatan ini boleh berlaku dalam negara yang bernama Malaysia?

Bolehkah kita mengatasi masalah ini begitu sahaja tanpa mengkaji akar umbinya? Bolehkah kita kesampingkan sistem perundangan Ilahi dan keberkatan yang dibawanya?

Itu baru cerita rogol. Cerita pembunuhan juga tidak kurang hebatnya. Masalah sosial seperti rempit, dadah, buang bayi? Belum lagi dimasukkan pula kisah kepincangan dalam perlaksanaan nafkah zahir dan batin atau kes keganasan rumahtangga dan sebagainya. Susah untuk kita lalui satu hari yang kita tidak terbaca, terdengar atau tertonton berita-berita pembunuhan dalam negara ini. Jalur ceritanya juga bukan calang-calang. Sesetengahnya boleh menandingi filem Hollywood. Pernahkah kita terfikir sebelum ini, seorang manusia boleh dibunuh dengan badannya diletupkan sehingga hancur berkecai? Dan mangsa itu pula seorang wanita!

Apabila perkara ini disebut, jangan cepat melatah dengan mendakwa saya menyokong orang itu dan menuduh orang ini. Saya tidak sebut siapa dan kenapa. Yang saya fokuskan adalah kenapa manusia sekarang, khususnya rakyat Malaysia sudah ada yang tergamak melakukan pembunuhan yang caranya tidak masuk akal? Masih ingatkah kita sekitar 17 tahun lalu, apabila seorang bomoh membunuh seorang ahli politik dengan bantuan suami dan seorang pembantunya? Kes itu menggemparkan dunia kerana ia bukan pembunuhan biasa; mayat mangsa telah dikerat-kerat menjadi 18 bahagian!

Kini, berbagai-bagai jenayah lagi berlaku. Baik yang kolar putih, kolar biru, kolar hitam, kolar kelabu tahi anjing semuanya melata. Yang menagih dadah melata. Yang meminum arak ramai. Yang berjudi nombor ekor melambak. Yang merempit dan menyamun bagai tidak terbendung. Yang berkonsert ratusan ribu. Yang berzina dan ‘ringan-ringan’ bertimbun. Yang membuka aurat dan bergaul bebas lagilah bersepah-sepah.

Boleh jadi ada orang berkata bukan semua yang disebutkan tadi jenayah. Ya, bukan semuanya. Sebahagiannya adalah salah laku moral. Tetapi ia tetap kemungkaran yang wajib ditentang. Jika tidak, ia pasti akan mengundang bala bencana kepada kita semua, dan bala itu melata juga sifatnya.

Nampaknya ramai antara kita yang sudah tidak kisah halal haram. Kita semakin tidak takut dosa. Semakin ramai dalam kalangan kita, rakyat Malaysia ini yang gila. Kita gila kerana tidak adil, tidak meletakkan sesuatu di tempatnya. Kita gila kerana semahu-mahunya memikirkan kesenangan di dunia semata-mata. Kita gila kerana tidak memikirkan kesakitan dan kesusahan orang lain hasil perbuatan buruk kita.

Insaflah, sebenarnya ramai antara kita yang gila kerana tidak sempurna menunaikan solat fardu lima waktu sehari. Ya, benar kerana antara syarat sah solat adalah berakal atau waras. Orang yang tidak solat tidak waras kerana sengaja meletakkan dirinya dalam kebinasaan.

Pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah mendedahkan, 80% umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu sehari. Peratusan ini diperoleh melalui tinjauan beliau dalam program-program ceramah dan motivasi yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.

Tambah beliau, hanya sekitar 17~20% sahaja yang cukup menunaikan solat fardu lima waktu sehari. Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini. Lebih menyedihkan, dalam kalangan pelajar sekolah menengah, hanya 15% sahaja mengaku mengerjakan solat lima kali sehari. Yang 15% itu pun jumlah pelajar yang melakukan solat, atau 20% bagi orang awam. Kekhusyukannya, kesempurnaannya bagaimana pula? Perkara ini perlu kepada perbincangan lain yang lebih khusus pula. Namun dengan bersangka baik sekalipun, angka 20% itu sudah cukup menakutkan bagi satu kewajipan yang Nabi ingatkan menjadi pembeza antara Muslim dengan kafir.

Dan fakta ini ternyata menyamai dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sejumlah 86.2% responden mengakui kerap meninggalkan solat dan sejumlah kecil responden yang melaksanakan solat dengan secukupnya. Bayangkan...

Menurut Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah lagi, antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga.

Selain dari itu kadar pelaksanaan yang rendah dalam ibadah solat di kalangan responden dalam kajian ini juga mungkin dapat dikaitkan dengan tahap pengetahuan dan kemahiran responden dalam menunaikan ibadat tersebut. Apakah faktor yang menyebabkan jumlah besar responden tidak menunaikan solat dalam kehidupan mereka? Persoalan ini mungkin tidak dapat diselesaikan dengan menjaga fakta-fakta atau cara melaksanakan solat. Sesungguhnya ia melibatkan banyak faktor lain termasuk motivasi pelaksanaan solat dan ibadat.

Menurut al-Kumayi (2009) terdapat tiga halangan dalam melaksanakan ibadah iaitu :
  • Malas (kasal) mengerjakan ibadat kepada Allah, sedang setiap insan sanggup dan berupaya melakukan ibadah.
  • Lemah fikiran (futur) atau tidak memiliki tekad yang kuat kerana terpengaruh dengan kehidupan dunia.
  • Bosan (malal) atau cepat berasa bosan melakukan ibadah sedangkan tujuan belum tercapai.

Sesungguhnya amalan atau perbuatan meninggalkan solat ini merupakan masalah yang serius atau cukup berat, kerana baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya.

Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan peluh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat dan penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar. Aspek ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam organisasi atau pun yang melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan syarak.

Percayalah, punca utama kita sanggup melakukan perkara-perkara yang jahat dan merosakkan adalah tidak mendirikan solat. Bukankah Allah telah menyatakan solat itu dapat mencegah perbuatan yang keji dan mungkar?

Sudahkah anda menunaikan solat?

Renung-renungkan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...