PAGE

Sabtu, Jun 19, 2010

Islam galak umat tuntut ilmu pengetahuan sepanjang hayat

~ gambar hiasan ~

ISLAM muncul membawa kegemilangan kepada manusia. Hal itu jelas diterjemahkan oleh umat terdahulu apabila mereka berjaya meneroka dan menggali pelbagai sumber ilmu yang mencetuskan era baru kepada dunia.

Semuanya itu berjaya direalisasikan kerana penghayatan mereka terhadap seruan Allah agar umat-Nya menuntut ilmu pengetahuan dan menjadikan aktiviti mengejar ilmu sebagai teras dalam kehidupan. Atas sebab itulah Imam Asy-Syafie ada berpesan kepada kita yang katanya: “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang soleh.”

Kita sebagai umat Islam sangat digalak dan dianjurkan menuntut ilmu pengetahuan apatah lagi dalam era masa kini yang memerlukan setiap insan berebut-rebut menggilap akal dengan ilmu. Akan tetapi jangan hanya kita tumpukan kepada ilmu dunia semata-mata dan meninggalkan ilmu agama.

Ada yang begitu ghairah mencari ilmu moden seperti sains dan teknologi namun mereka menjadi sangat jahil dalam ilmu agama. Keseimbangan menuntut ilmu pengetahuan sewajarnya dititikberatkan agar kehidupan kita di dunia ini tidak hanyut dibuai kebendaan dunia.

Firman Allah dalam Surah al-Mujahadah ayat 11 yang bermaksud: “Allah mengangkat orang yang beriman dan berilmu di kalangan kamu beberapa darjat.”

Inilah jaminan Allah kepada mukmin yang beriman dan berilmu pengetahuan. Sambil itu, Rasulullah SAW juga ada mengatakan, ‘Tidak ada ibadah kepada Allah yang lebih utama daripada kefahaman agama. Sesungguhnya seorang yang mendalam ilmu agamanya lebih susah untuk diperdayakan syaitan berbanding seribu orang ahli ibadah.’ (Hadis riwayat at-Tabrani).

Seandainya kita menoleh kepada paparan sejarah kegemilangan tamadun Islam, maka akan terselaklah pelbagai kejayaan dalam bermacam ilmu. Misalnya, ketika era kerajaan Islam di Sepanyol (Andalusia), penyerlahan ilmu pengetahuan dan penerokaan inovasi begitu bersemarak.

Hal itu diakui beberapa tokoh Barat sendiri. Antaranya ialah Robert Briffault melalui bukunya berjudul, The Making of Humanity ada menegaskan ‘Era kebangkitan sebenarnya sudah berlaku di tangan orang Arab dan Islam Sepanyol dan bukannya di tangan orang Eropah. Sepanyol dan bukannya Itali peledak kepada kebangkitan di Eropah.’

Phlip K Hitti di dalam bukunya The History of The Arabs turut mengakui kebenaran itu dengan menyatakan ‘Orang Islam Sepanyol berjaya mencatat sejarah keintelektualan yang agung pada zaman pertengahan dulu. Mereka sebenarnya pembawa obor budaya dan tamadun bagi seluruh dunia terutama antara abad kelapan dan ke-13 Masihi.’

Berdasarkan dua komentar tokoh Barat itu sudah cukup menggambarkan betapa umat Islam terdahulu dapat menghayati seruan agar mendalamkan ilmu pengetahuan. Mereka menjadi peneraju dan pelopor dalam mencipta aneka ilmu pengetahuan sedangkan pada waktu sisi dunia yang lain masih berada di dalam kegelapan. Kesungguhan mereka menggali ilmu pengetahuan sama ada dalam ilmu agama mahupun ilmu dunia yang lain, membuktikan semangat mereka yang ingin memartabatkan bangsa, negara dan agama ke mercu kegemilangan.

Umat Islam kini terus hanyut dalam kancah aktiviti yang tidak memberi manfaat, malah budaya menerokai ilmu semakin pudar daripada lubuk jiwa. Masyarakat Islam kini lebih tertarik kepada hiburan murahan sehingga akhirnya merebak pelbagai gejala sosial yang mencemaskan. Lihatlah senario remaja dan belia Islam sekarang. Gejala merempit di jalanan sehingga mengganggu ketenteraman awam, kes salah guna dadah, berzina dan pelbagai gejala negatif lagi menghantui umat Islam. Semakin hari semakin kronik merebaknya gejala buruk itu. Inilah akibatnya apabila umat Islam memuja dan terpengaruh dengan budaya asing yang songsang dan berbentuk jahiliah.

Ingatlah akan peringatan Rasulullah SAW: ‘Allah paling murka kepada mereka yang beragama Islam, tetapi mengikut landasan jahiliah dan juga kepada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak.’ (Hadis riwayat at-Tabrani dan Bukhari).

Oleh itu, sebagai umat terbaik yang diiktiraf oleh Allah seharusnya kembali semula ke landasan sebenar dan mengikuti jalan lurus agar imej dan martabat umat serta agama berada di persada dunia sebagaimana berjaya dilakukan umat Islam terdahulu.

Renung-renungkan!




Sumber : Wan Mohd Ruzlan Wan Omar di BHarian 19/06/2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...