PAGE

Selasa, Jun 01, 2010

Membaca bahan berbentuk ilmu patut diutamakan


Mukmin mampu bangkit menjadi ummah terbilang jika amalan membaca jadi budaya


ISLAM meletakkan amalan membaca pada kedudukan tertinggi dan seharusnya dihayati sepenuhnya segenap lapisan masyarakat. Wahyu pertama diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW menjelaskan suruhan supaya umat Islam membangunkan diri dan ummah melalui pembacaan untuk menuntut ilmu.

Bertitik tolak daripada pemahaman perintah Allah itu, umat pada zaman Rasulullah dan kerajaan Islam seperti Bani Umaiyah, Abasiyyah dan Turki Uthmaniyah, berjaya muncul sebagai kerajaan bertamadun tinggi dengan pelbagai reka cipta dan inovasi hebat.

Juga muncul ratusan ilmuwan tersohor yang berjaya menterjemahkan surah al-Alaq dengan sempurna. Ulama silam begitu mengambil berat soal penggunaan masa dan pada mereka masa seharusnya digunakan untuk manfaat diri serta ummah. Mereka banyak menghabiskan masa dengan membaca dan tidak rela kehilangan masa melainkan digunakan sepenuhnya untuk belajar serta mengajar.

Imam Ibnu Jarir Ath Thabari (310 Hijrah) boleh dijadikan contoh kepada semua. Abu Jaafar meriwayatkan, pada waktu Ibnu Jarir sedang sakit dan sempat datang menziarahinya, ketika itu beliau ada menunjukkan kepada Imam Ibnu Jarir doa diriwayatkan oleh Jaafar bin Muhammad.

Lantas Imam Ibnu Jarir terus meminta diambil pena dan kertas untuknya menulis. Kemudian dikatakan kepadanya: “Apakah ketika ini masa yang sesuai? Tetapi Imam Ibnu Jarir menjawab: Tidak wajar bagi manusia meninggalkan kutipan ilmu, hingga kematian menjemputnya.”

Maka tidak hairanlah dilaporkan bahawa beliau berjaya menulis sebanyak 14 lembar dalam sehari dan dikatakan juga keseluruhan karyanya berjumlah 358 ribu lembar, antaranya kitab sejarah 10 jilid tulisan beliau.

Inilah antara contoh ulama silam yang tekun belajar, mengkaji serta menggunakan setiap masa bagi menghasilkan sesuatu yang bermakna buat ummah.

Oleh itu, untuk mengembalikan kegemilangan tamadun ummah, kita seharusnya membudayakan amalan membaca dan membuat kajian dalam apa bidang sekalipun. Jadikan buku sebagai rakan setia.

Satu lagi yang menjadi fenomena dewasa ini ialah munculnya genre penulisan bercorak picisan dan berbaur cinta yang lebih banyak menghanyutkan remaja serta belia dibuai hiburan kosong semata-mata. Sebaliknya buku bercorak ilmiah sama ada dalam aspek agama atau ilmu pengetahuan semasa yang lain sangat kurang diminati. Apa guna amalan membaca semakin berkembang tetapi sumber pembacaan hanya tertumpu kepada bahan berbentuk hiburan saja.

Remaja seharusnya dipupuk dengan amalan membaca buku hebat yang terkandung isi bermanfaat kerana bahan bacaan sedemikian boleh mencetuskan tahap keilmuan yang tinggi. Sebenarnya inilah diamalkan rakyat di negara maju sekarang seperti di Jepun. Kecekalan mereka membaca dan mengkaji melalui pembacaan buku ilmiah menjana pelbagai idea kreatif serta inovasi yang hebat sehingga mampu menjadi negara maju dan bertamadun tinggi.

Ingatlah pesan Saidina Ali bin Abi Talib: “Bukanlah suatu kebaikan jika milikmu hanyalah anak dan harta saja, tetapi kebaikan yang sebenarnya ialah banyak ilmu pengetahuan.” Pesan beliau lagi: “Orang berilmu lebih utama daripada orang selalu berpuasa, bersolat dan berjihad. Apabila mati orang berilmu maka terjadi suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain oleh penggantinya (yang berilmu juga).”

Demikianlah penting ilmu dalam Islam dan satu cara terbaik untuk memperoleh ilmu pengetahuan ialah melalui pembacaan. Oleh itu, budaya membaca di kalangan mukmin mesti menjadi rutin harian yang tidak boleh dikesampingkan.

Umat Islam mampu bangkit menjadi ummah terbilang mengulangi sejarah ketamadunan terdahulu, asalkan amalan membaca itu sebati dan menebal dalam sanubari setiap mukmin

Sumber : Wan Mohd Ruzlan Wan Omar di BHarian 01/06/2010


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...