PAGE

Jumaat, Julai 16, 2010

Bapa saman tiga anak RM2 juta

BAHAROM menunjukkan dokumen saman yang dikenakan ke atas anaknya sendiri.

SHAH ALAM: Seorang bapa yang mendakwa dikurung dan dipaksa tiga anak lelakinya menandatangani surat akuan bersumpah berhubung pembahagian dua lot tanah miliknya dan arwah isteri, memfailkan saman terhadap mereka, semalam, menuntut ganti rugi lebih RM2 juta.

Baharom Long, 85, pesara Keretapi Tanah Melayu (KTM) memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, melalui peguamnya Muhd Azmi Talib.

Beliau yang berasal dari Selayang, Selangor menamakan anak sulungnya seorang pesara tentera, Md Hanafiah, 55; Zakariah, 52 dan Musa, 50, kedua-duanya pekerja kargo syarikat penerbangan, sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutannya, Baharom mendakwa sekitar 2007, beliau dibawa oleh Zakariah dari Masjid Selayang ke rumah Md Hanafiah dan selepas masuk ke dalam rumah itu, defendan menutup dan mengunci semua pintu dan tingkap rumah serta mengelilinginya.

Baharom berkata, beliau kemudian dipaksa anak-anaknya untuk menandatangani satu surat yang tidak diketahui isi kandungannya dan diugut tidak akan dibenarkan berkahwin baru jika enggan berbuat demikian.

Beliau yang menyambut hari lahirnya semalam, berkata sekitar Mei dan Ogos 2008, ketiga-tiga anak lelakinya datang ke rumahnya di Selayang dan masuk ke dalam bilik untuk mencari geran tanah, tetapi gagal menemui dokumen itu.

Selepas saya mendapat salinan surat yang dipaksa ditandatangani itu, saya mendapati ia adalah surat akuan bersumpah berhubung pembahagian dua lot tanah milik saya dan arwah isteri di Selayang Baru dan Kampung Nakhoda di Batu Caves, katanya.
Akibat tindakan ketiga-tiga anaknya itu, Baharom mendakwa mengalami tekanan emosi, perasaan dan psikologi yang serius sehingga terpaksa menjalani rawatan tekanan jiwa dan mengambil ubat sehingga sekarang.

Sehubungan itu, plaintif menuntut daripada ketiga-tiga defendan ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, masing-masing berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas berjumlah RM16,000, faedah dan perisytiharan mahkamah bahawa surat akuan bersumpah ditandatanganinya tidak sah kerana tandatangan beliau diperoleh secara paksa.




Sumber : BH 16/07/2010

Capaian entry berkaitan :
  1. Saman anak, ibu bapa makin serius
  2. Bapa saman tiga anak RM2 juta
  3. Demi dua cucu, bapa saman anak RM20,000
  4. Diarah sara ibu bapa sepanjang hayat
  5. 'Gaji saya tidak cukup'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...