PAGE

Jumaat, September 24, 2010

Beli dunia dengan akhirat bawa padah


Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah, bertemu lagi di petang Jumaat untuk label .

Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila seseorang itu mengaku dirinya sebagai Melayu dan beragama Islam yang taat mendirikan solat lima waktu seperti yang dituntut agama. Itu akuannya. Namun, dalam masa yang sama, dia juga adalah seorang yang suka menyakiti hati orang lain, pengamal rasuah, suka mengumpat dan kuat menipu orang dengan janji-janji yang menimbulkan harapan tinggi kepada yang mendengar.

Begitu juga ada yang zahirnya kelihatan amat taat pada perintah agama tetapi pada masa yang sama menjadi pemandu kereta yang kurang berdisiplin, tidak sabar dan tidak berakhlak murni ketika berada di jalan raya.

Ciri-ciri yang digambarkan ini adalah antara contoh yang mudah kita lihat dalam masyarakat Islam hari ini. Media perdana dalam hal agama pula, baik media cetak mahupun media elektronik bak talam dua muka. Mereka gigih mengemukakan halaman atau program-program agama tetapi dalam masa yang sama lebih banyak menghasilkan rancangan di mana ada adegannya bertentangan dengan nilai budaya bangsa dan tuntutan Islam sebenar, lantaran turut menaja dan menyemarakkan rasa seronok dan khayalan yang melalaikan terutama pada anak-anak muda.

Kekhayalan dalam bidang hiburan ini hari demi hari menjadikan ramai anggota masyarakat terutama muda-mudi terpengaruh dan hilang pedoman lalu tenggelam dalam kedhiupan kurang sihat yang mengetepikan nilai-nilai murni budaya bangsa selain terjebak ke alam munafik atau fasik. Justeru, walau macam mana hebatnya program agama dengan tokoh-tokoh agama tersohor dipaparkan, ciri hiburan jugalah yang lebih berpengaruh membawa seseorang itu gilakan dunia, lantas lama-kelamaan apa yang haram menjadi halal dan yang halal menjadi haram.

Ajaran al-Quran dan hadis ditolak malah lebih malang dibuang langsung. Allah SWT dan Rasul-Nya tidak lagi di hati apatah lagi ditaati manakala orang tua atau ibu bapa yang beriman dianggap sebagai penghalang kepada keseronokan hidup alaf baru jika mereka menentang. Orang tua dicemuh dan dianggap sebagai kain buruk yang tidak berguna dalam kehidupan.

Ramai anggota masyarakat kini tidak lagi berminat untuk berkiblat kepada yang dituntut oleh Islam tetapi pada kehidupan liar yang menyeronokkan lagi mengkhayalkan, hasil gagasan musuh-musuh Islam sejagat.

Aidil Fitri umpamanya, disambut dengan penuh riang dalam parti-parti yang menyeronokkan penuh dengan muzik baru, nyanyian dan bercampur-gaul secara bebas antara lelaki dan perempuan, satu amalan sosial oleh Barat malah ada yang menghidangkan minuman keras yang haram. Ramai anak muda kini hidup bergelumang dosa hanya kerana mahu hidup bebas seperti amalan masyarakat yang kurang percaya pada agama seperti di barat. Bagi mereka, apa yang dibuat oleh Barat semuanya betul. Sememangnya ada yang baik, tetapi yang memnjadi ikutan ramai ialah yang buruk-buruk belaka.

Berpegangan tangan, umpamanya, antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di kalangan muda-mudi malah yang masih di bangku sekolah lagi adalah satu hal biasa hari ini. Sebenarnya pada Islam, perbuatan begini adalah haram tetapi ia tidak dipedulikan langsung. Pada hakikatnya ia adalah satu perbuatan yang lebih keji dan buruk daripada memegang anjing atau babi. Memegang anjing atau babi yang najis itu hanya perlu dibersihkan menerusi kaedah samak atau sertu sahaja, dengan itu ia selesai dan si pemegangnya kembali menjadi bersih seperti sediakala. Sebaliknya apabila berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan, apatah lagi jika berpeluk-peluk ketika bercumbuan memadu asmara dengan yang bukan mahramnya, maka jadilah ia perbuatan haram dan berdosa. Dosanya tercatat kerana perbuatan itu melanggar perintah Allah SWT.

Gejala sosial kini nampaknya semakin menjadi-jadi di kalangan anak-anak muda disebabkan cara hidup moden yang tidak memberatkan kepada soal-soal agama. Tidak kurang pula yang terjerumus ke kancah maksiat seperti dadah, zina dan membuang anak, jenayah yang menyalahi undang-undang agama dan dunia.

Di manakah hendaknya diletakkan harapan bangsa seandainya gejala ini tidak disekat dari sekarang? Apakah tidak moleknya jika ada pihak-pihak tertentu, terutamanya empunya media cetak dan elektronik kita mengurangkan program hiburan yang kebanjirannya menjana kehidupan yang berpaksikan hendonisme iaitu kehidupan yang menganggap bahawa nikmat nafsu itulah nikmat yang paling agung daripada segala-galanya.

Jelas ini sama sekali bertentangan dengan idaman setiap yang beriman kepada Allah bahawa nikmat yang paling agung ialah ketika dapat menemui Allah SWT sendiri dan mendapat tempat syurga di akhirat kelak.

Sememangnyalah kita wajar balik kepada al-Quran kerana dalam hal sebegini, Allah SWT telah pun memberi ingatan dengan berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 86 yang bermaksud, “Mereka itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat. Maka tidak akan diringankan azabnya dan mereka tidak akan ditolong.”

Rasulullah SAW pernah menceritakan akan perkara sebegini dan tiada satu pun perkataan Baginda melainkan benar belaka, dalam hadis Baginda SAW yang bermaksud, “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani? Nabi SAW bersabda: Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Renung-renungkan!




Sumber : Aniqah Sept ‘09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kongsikan komen anda di sini...