ADAKAH anda tahu, laman web apakah yang dilayari oleh anak anda hari ini? Tahukah anda berapa jumlah rakan-rakannya di rangkaian laman sosial Facebook, Friendster, Twitter, Tagged dan sebagainya yang diakses hampir setiap hari tanpa kawalan anda?
Jika jawapannya tidak, mulai hari ini anda perlu menyimpan rasa ragu dan sedikit bimbang terhadap aktiviti siber anak anda kerana mereka sebenarnya terdedah kepada bahaya di alam maya.
Sememangnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat penting dan anda selaku ibu bapa tidak boleh menyekat anak anda untuk mendalami bidang tersebut supaya mereka tidak ketinggalan dalam bidang ICT yang semakin berkembang pesat. Bagaimanapun pemantauan golongan dewasa dari semasa ke semsa asangat diperlukan.
Anak saya sudah didedahkan dengan permainan komputer dan Internet sejak darjah tiga lagi, tetapi mereka perlu mematuhi jadual yang saya sediakan, bersama sedikit pemantauan.
“Sebelum mendedahkan anak-anak dengan alam siber, saya terlebih dahulu menerangkan mengenai apa yang bakal dilaluinya. Saya kerap berpesan supaya jangan sekali-kali meletakkan maklumat diri, membuka e-mel yang tidak dikenali dan bertemu dengan orang yang tidak dikenali dalam Facebook, Friendster dan sebagainya,” kata Khairul Basir Mohamad, 45.
Khairul Basir yang merupakan seorang guru memberitahu bahawa ibu bapa perlu menyiapkan diri masing-masing dengan ilmu ICT supaya tidak tercicir kerana anak-anak zaman sekarang sangat pantas menguasainya.
“Saya sendiri pun mempunyai akaun Facebook sendiri dan anak saya merupakan rakan saya dalam laman sosial tersebut. Dengan cara ini kita dapat memantau dengan siapa anak kita bergaul,” ujarnya.
Kegunaan pembelajaran
NORTON menawarkan perkhidmatan pemantauan aktiviti Internet anak anda secara percuma.
Bagaimanapun bagi Yusoff Abdullah, 43, yang bekerja sebagai pembantu am memberitahu, oleh kerana dirinya kurang arif menggunakan komputer dia berusaha memastikan anak-anaknya yang bersekolah, celik ICT dengan membelikan sebuah komputer untuk kegunaan pembelajaran.
“Saya tidak pernah tahu apa yang dilakukan mereka dengan komputer tersebut kerana saya sendiri tidak mahir menggunakannya lebih-lebih lagi apabila mahu mengakses Internet. Apa yang saya harapkan mereka tidak mengkhianati kepercayaan yang saya berikan kepada mereka,” katanya yakin.
Dua senario tersebut merupakan apa yang berlaku kepada ibu bapa di negara ini. Bagaimana pula dengan anak-anak membesar di kampung-kampung yang mana ibu bapa mereka buta ICT?
Kemungkinan anak-anak mereka akan terdedah dengan risiko bahan kandungan negatif dan jenayah siber yang mencari mangsa tidak kira usia. Apatah lagi memetik laporan Kosmo! remaja Melayu antara golongan muda yang paling gemar melayari laman web lucah baik di siber kafe atau di rumah.
Malah, ibu bapa perlu ada kegusaran di hati mereka setiap kali membenarkan anak-anak mereka mengakses Internet kerana satu kajian Norton Online Family Report 2010 mendedahkan bahawa 87% kanak-kanak di Malaysia mengalami pengalaman negatif ketika melayari Internet.
Sekat akses
“Sebagai contoh, empat daripada 10 kanak-kanak telah melakukan sesuatu yang mereka kesali dan 27% kanak-kanak memberitahu terdapat orang yang tidak dikenali cuba berjumpa mereka di alam nyata.”
PEMANTAUAN ibu bapa terhadap akses Internet anak-anak sangat penting untuk mengelakkan mereka terjerumus dengan laman web negatif. - Gambar hiasan
“Ibu bapa di Malaysia secara umumnya mengetahui mengenai aktiviti dan bahaya yang mungkin dihadapi oleh anak-anak mereka melalui pendedahan pada bahan yang tidak sepatutnya tetapi mereka masih memandang ringan terhadap risiko sebenar dan ada pula yang tidak tahu berapa lama anak mereka meluangkan masa di depan komputer melayari Internet,” kata Effendy Ibrahim daripada Norton's Internet Safety Advocate & Consumer Business Lead Asia.
Menurutnya, kanak-kanak meluangkan purata 19 jam menggunakan Internet dalam seminggu, sedangkan ibu bapa mereka mengandaikan mereka memperuntukkan masa 11 jam sahaja.
“Kajian tersebut juga mendapati 25% kanak-kanak berpendapat ibu bapa mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan di Internet tetapi hanya 3% sahaja yang mengakuinya sementara 40% ibu bapa yakin bahawa mereka tahu aktiviti anak-anak mereka ketika mengakses Internet. Ketidakprihatinan ibu bapa mengenai alam maya ini menyebabkan anak mereka terdedah kepada jenayah siber. Sehubungan itu, ibu bapa perlu sedar mengenai risiko sebenar yang dihadapi oleh anak masing-masing,” jelasnya.
Laman web kini merupakan taman permainan penjenayah siber yang menjadikan pengguna Internet muda seperti anak anda dan sesiapa sahaja sebagai mangsa. Kanak-kanak yang mengalami pengalaman buruk di Internet dihantui perasaan emosi yang memberikan impak kepada mereka seperti marah, sedih, sakit hati, terkejut, takut dan meluat.
“Segelintir ibu bapa telah menggariskan peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak mereka tetapi ia tidak mencukupi tanpa adanya pemantauan. Norton kini memperkenalkan perkhidmatan Norton Online Family (NOF) bagi menjamin keselamatan anak-anak anda ketika menggunakan Internet dan ia membolehkan anda mengetahui dan mengawal aktiviti anak anda ketika melayari alam maya,” katanya.
BANYAK laman web kini mengeksploitasi kanak-kanak menerusi kandungan-kandungan yang tidak sepatutnya.
Ibu bapa boleh memuat turun NOF secara percuma dengan 25 pilihan bahasa. Dengan ini, ia memberikan peluang kepada ibu bapa memantau aktiviti Internet anak dalam masa yang sama dapat menyekat laman-laman web negatif selain mengadakan perbincangan terbuka bersama anak masing-masing mengenainya.
NOF boleh didapati secara percuma di https://onlinefamily.norton.com. Muat turun aplikasi ini pada komputer anda di rumah dan anda dapat memantau aktiviti anak anda di Internet.
“Jika mereka mengakses laman-laman web yang telah anda sekat, sistem ini akan memaklumkan kepada anda dan pada masa yang sama memberikan anak anda amaran mengenai larangan melayari laman web tersebut. Uniknya sistem ini dapat memantau 15 orang kanak-kanak yang menggunakan komputer yang sama.”
“Larangan dalam NOF boleh disesuaikan mengikut peringkat umur. Jika ada cubaan melanggar sekatan yang dilakukan, jangan sesekali memarahi mereka seelok-eloknya, berdialoglah bersama mereka dan jelaskan mengapa anda berbuat demikian,” katanya.
Sumber : Nurul Izza Rosly [izza.rosly@kosmo.com.my] di Kosmo 23/07/2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...