Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Masih berkisar tentang pengawal keselamatan...
Walaupun mempunyai segulung ijazah, tetapi lelaki itu masih nekad untuk mencuba kerjaya sebagai pengawal keselamatan. Wartawan Kosmo! melaporkan kisah graduan yang menjadi pengawal keselamatan.
APAKAH pekerjaan impian seorang graduan selepas menerima segulung diploma, ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana pada hari konvokesyen? Bertugas di dalam pejabat berhawa dingin, berpakaian berjenama serta bertali leher, bergaul dengan golongan profesional dan tentunya gaji lumayan yang menjadi sasaran. Namun tidak semua impian itu dapat dicapai ekoran kemelut ekonomi yang mengehadkan peluang kerjaya yang sesuai dengan kelulusan akademik seseorang.
Mahu tidak mahu, ada graduan yang sanggup menjadi pengawal keselamatan untuk mencari rezeki. Mungkin selepas menganggur untuk satu tempoh yang lama, tentunya apa sahaja jenis pekerjaan terpaksa diterima dengan hati terbuka. Walaupun terpaksa bersengkang mata menjalankan tugas selama 12 jam untuk mengawal premis tertentu, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa pada hari ini.
Soalnya, sanggupkah graduan memilih pekerjaan yang hanya layak dipikul oleh lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja? Apatah lagi, kerjaya seperti itu dimomokkan sebagai pekerjaan kelas ketiga.
Namun, seorang graduan, Somasundram Maruda Dorai, 25, tekad menentang arus pemikiran seperti itu. Menamatkan pengajian dalam jurusan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau kini bertugas sebagai pengawal keselamatan di syarikat Visi L.A Security Force, Puchong, Selangor.
Jejaka yang lebih mesra dipanggil Arjun itu, sebenarnya cukup masak dalam dunia pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, lantaran bapanya adalah bekas pengawal keselamatan.
SOMASUNDRAM MARUDA memeriksa identiti seorang pelawat yang memasuki premis yang dikawalnya.
Namun, sebelum itu, dia sentiasa berasa pelik saban kali bapanya merungut mengenai rutin kerja dan kepenatan yang dialami sehari suntuk di tempat kerja.
"Dulu, saya ingatkan kerja seorang pengawal keselamatan hanyalah duduk, meronda dan berjaga sepanjang masa," katanya.
Namun, rungutan bapanya yang sentiasa berkumandang ke telinga Arjun itulah yang membuatkan dia berazam untuk mencuba kerja itu selepas mengakhiri pengajian di universiti. Apabila menyelami dan memikul sendiri tanggungjawab itu, barulah dia menyedari betapa kerjaya beruniform itu bukan sekadar 'goyang kaki' di hadapan pintu masuk utama ke sesebuah premis.
"Setelah tamat pengajian, saya menerima pelawaan daripada rakan-rakan untuk bekerja di pusat khidmat pelanggan, syarikat berasaskan teknologi maklumat dan bank untuk sementara waktu. Secara kebetulan, ketika itu, bapa saya bersara sebagai pengawal keselamatan di syarikat UMW Toyota pada September lalu. Maka, saya menggunakan peluang itu untuk menjadi pengawal keselamatan bagi menimba pengalaman," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Dengan bantuan seorang rakan baik, dia menghadiri temu duga di syarikat Visi L.A Security Force. Kelayakan akademik yang tinggi menyebabkan pihak pengurusan berasa bimbang untuk menawarkan kerja tersebut kepadanya.
WALAUPUN memiliki ijazah dalam bidang sumber manusia, Somasundram Maruda tidak kesal menjadi seorang pengawal keselamatan.
Namun, melihat kesungguhan Somasundram, mereka akur dengan keputusan itu dan menawarkan jawatan kosong tersebut kepadanya.
"Tidak dinafikan, ada kenalan saya memandang rendah apabila mengetahui saya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Mereka turut mendesak bapa saya mencarikan pekerjaan yang lebih sesuai mengikut kelulusan akademik yang saya miliki," ujar jejaka yang sudah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan sejak lima bulan yang lalu.
Bercerita tentang pengalamannya, anak sulung daripada empat adik beradik itu memberitahu, bermacam-macam gelagat manusia dilihatnya sepanjang waktu bertugas.
"Jika bertugas di kawasan perumahan, saya perlu memastikan keselamatan penghuni yang sibuk keluar dan masuk ke kediaman masing-masing. Ada ketikanya, saya perlu mengukir senyuman manis ketika membuka pintu untuk pelanggan masuk ke sesebuah pejabat. Tidak kurang juga, saya membantu pelanggan yang menghadapi kesukaran mengisi borang dan sebagainya. Meronda di kawasan perumahan dilakukan secara bergilir-gilir sepanjang waktu. Bukan mudah melakukan tugasan tersebut kerana setiap pengawal keselamatan tidak boleh menyinggung perasaan orang ramai. Di situlah, saya menyedari bahawa tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pengawal keselamatan amatlah berat," ujarnya.
Arjun menambah, kadang-kala berlaku detik kecemasan seperti kes pecah rumah, samun dan pergaduhan yang mengganggu urusan pengawalan.
"Dua bulan lalu, ketika saya bertugas syif malam, berlaku pergaduhan di antara warga asing di kawasan perumahan yang sedang saya kawal. Dengan bantuan pengawal lain, kami sedaya upaya meleraikan pergaduhan tersebut. Akhirnya, saya berjaya memujuk pihak yang terlibat dan menyelesaikan masalah itu tanpa menganggu penduduk," ujarnya lagi.
Melihat kredibiliti dan keterampilan Arjun, syarikatnya telah menawarkan kenaikan pangkat sebagai penyelia dan kenaikan gaji. Mungkin itulah kelebihan pengawal keselamatan graduan kerana lebih profesional ketika bertugas.
TUGAS sebagai pengawal keselamatan kadang kala berlanjutan sehingga 12 jam sehari atau meronda di kawasan perumahan sehingga awal pagi.
Apabila, menyentuh soal gaji, Arjun mengakui pendapatan bulanan yang diperoleh adalah sekitar RM1,300 sebulan dan gaji itu hanya cukup untuk perbelanjaan makan dan urusan peribadi.
"Terdapat juga syarikat yang menawarkan gaji lumayan iaitu setaraf dengan kelayakan akademik pekerja terutamanya graduan.
"Ini bagus dan jika fenomena ini beterusan, pasti lebih ramai graduan dan golongan muda tampil menceburi bidang pengawal keselamatan yang memiliki pengiktirafan setaraf polis dan tentera," jelas jejaka yang ingin membuka syarikat keselamatan sendiri pada masa depan.
Sementara itu, Magendran Sundramoorthi, 24, yang turut berkhidmat di syarikat yang sama bangga memikul jawatan yang sarat dengan amanah dan kepercayaan orang ramai.
Menurutnya, orang ramai perlu mengikis tanggapan buruk bahawa kerja pengawal keselamatan adalah pekerjaan gred tiga yang hanya layak untuk golongan kurang kelayakan akademik.
Pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ini pernah berkhidmat sebagai konsultan kewangan di salah sebuah bank di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Gara-gara tertarik dengan perniagaan berasaskan sekuriti dan keselamatan, Magendran melepaskan jawatan konsultan dan memulakan karier sebagai pengawal keselamatan.
Pada satu perkembangan lain, Pengurus Besar Operasi, SRT-EON Security Services Sdn. Bhd., Mohd Zainudin Al- Helmy berkata, kerja sebagai pengawal keselamatan bukanlah semudah yang disangka.
"Setiap pekerja diwajibkan menghadiri kursus selama empat hari untuk mempelajari cara-cara mengendali senjata, perkakasan dan budaya pekerjaan," katanya.
Selain itu, katanya, masyarakat perlu mengikis sikap yang memandang rendah pekerjaan pengawal keselamatan agar lebih banyak golongan muda terutama penganggur lepasan graduan dan diploma menceburi pekerjaan itu.
"Graduan yang telah menceburi bidang ini wajar dipuji kerana sanggup membuang perasaan malu untuk mencari rezeki halal sekali gus mengutip pengalaman," katanya.
Menurutnya, syarikatnya turut menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan dan menawarkan gaji yang setaraf dengan kelulusan mereka.
Beliau mengakui, memang ada persepsi khalayak bahawa mereka yang menjadi pengawal keselamatan adalah golongan kelas bawahan dan mereka yang tercicir dalam pelajaran serta tiada pilihan lain untuk bekerja.
Budaya kerja polis
SEORANG pesara tentera yang berkhidmat di syarikat SRT-EON Security Services Sdn. Bhd. di Kelana Jaya, Daud Yakob,55, berkata, budaya kerja pengawal keselamatan masih sinonim dengan tugasan keselamatan yang dilakukan oleh polis dan tentera.
"Bezanya, tahap latihan dan pengendalian senjata dalam kerjaya polis dan tentera lebih banyak, berbanding dengan pengawal keselamatan. Namun adakalanya kami juga terpaksa bertarung nyawa untuk menjaga keselamatan orang ramai," katanya.
Beliau berkata, kerjaya itu menjadi pilihan kerana selepas bersara, beliau telah cuba melakukan pelbagai jenis kerja tetapi kesemuanya gagal memberi kepuasan dan pulangan yang sewajarnya, berbanding dengan apa yang dinikmatinya sekarang.
Lelaki yang berasal dari Slim River, Perak itu berharap, lebih ramai golongan muda termasuk graduan tampil menceburi bidang pengawal keselamatan.
Katanya, langkah itu boleh memberi pengiktirafan kepada pekerjaan pengawal keselamatan.
Sumber : Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kongsikan komen anda di sini...